Bab 8

1.1K 27 2
                                    

KAABAH yang kelihatan di atas sejadah, aku tatap tanpa kelip. Kosong pandangan mataku, sama kosong dengan otak yang tidak ingat apa-apa. Entah sudah berapa lama aku berkeadaan begini, aku juga tidak pasti.

Seusai solat subuh tadi, aku berteleku, berdoa, mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dan turut membaca tafsirnya. Aku, serupa dengan makhluk Allah yang lain, cuba mencari ketenangan dengan mendekati-Nya. Bukankah itu yang sepatutnya manusia seperti aku lakukan?

Berserah kepada Dia, bila masa aku tidak boleh bergantung kepada manusia lain. Bukan ibu. Bukan juga Gibran. Kerana Dialah pemegang segala sesuatu. Mengetahui semua yang berlaku dalam dunia sejagat ini. Hatta, apa yang sedang jadi kepada seekor semut hitam kecil di atas batu hitam kecil pada malam hari yang juga hitam. Itulah kekuasaan Allah yang satu.

Mungkin kerana menyedari hakikat itu, aku menangis lagi beberapa ketika lepas. Dalam keadaan bersujud, menyerah kepada-Nya dan mengharapkan Dia menghadiahkan secebis kekuatan kepadaku untuk menghadapi segala-galanya. Bukankah Dia tidak akan membebani hamba-Nya dengan apa yang tidak mampu tertanggung? Justeru, aku perlu yakin bahawa aku boleh menghadapi semua ini.

Tetapi...

Aku tidak yakin. Aku benar-benar tidak yakin bahawa aku boleh jadi kuat seperti itu. Sedarku pagi tadi, masih teringatkan Muzaffar dan peritnya mengetahui dia sudah meninggalkan aku. Sedarku pagi tadi, masih teringatkan lelaki asing yang jadi suamiku dan sudah aku lukai kerana aku mengingati lelaki lain. Sedarku pagi tadi, masih terbelenggu dengan macam-macam persoalan yang tiada jawapan dan tidak mahu diberi jawapannya.

Perlahan-lahan, aku mengatup mata dan menggenggam tangan. Entah kenapa aku buat begitu, aku juga tidak tahu. Mungkin mahu menarik ketenangan dan kekuatan yang sangat aku ingini sekarang. Atau mungkin juga, sekadar mahu berpura-pura berani. Bukankah kata orang...

A lie told often enough becomes the truth.

Ya, aku yang bernama Ayudia Inara. Seorang wanita yang kuat. Yang berani. Tidak kira walau apa pun yang dunia lempar kepada dia, wanita ini akan tetap kuat. Akan tetap berani. Akan tetap tenang menghadapinya.

Aku mengulang-ulang ayat yang sama dalam diri. Biarlah penipuan ini bertukar jadi kebenaran. Biarlah aku yang lemah ini, benar-benar jadi wanita kuat, berani dan tenang.

Izinkan aku jadi wanita seperti itu, Ya Allah!

Serentak dengan laungan dalam hati itu, air mataku menitis setitik. Tidak berhenti di situ, bahkan jadi lebih lebat. Lalu, aku menjatuhkan semula kepala ke atas sejadah. Bersujud dan menghamburkan tangisan semahu-mahunya di situ. Hanya untuk kali ini, izinkan juga aku melepaskan rasa hati.

Seketika berlalu...

Aku mengangkat kepala. Kedua-dua belah tangan dibawa menyentuh pipi kanan dan kiri. Menyeka sisa-sisa tangisan yang membasahi. Kemudian, aku menggali nafas dalam-dalam. Pandangan juga dibawa ke hadapan.

Kukuh.

Cukuplah seorang Ayudia Inara menangis. Hari ini, pada hari kedua dia mengingati apa yang berlaku semalam, dia tidak akan menangis lagi. Atau sekurang-kurangnya, tidak seperti semalam dan pagi tadi. Tidak seteruk itu.

Usai menanam azam dan merasakan diri semakin tenteram, aku bangkit dari sejadah. Sempat mengutipnya, sebelum berlalu ke rak penyangkut. Telekung putih yang aku pakai, ditanggal dan digantung elok-elok.

Sesudah itu, aku bergerak menghampiri jendela. Dari sebalik langsir putih, aku dapat melihat sinar mentari pagi yang menembus masuk. Bibirku menguntum senyum. Sinaran ini seperti memberi tanda bahawa hari ini akan jadi lebih baik daripada semalam.

Sebaik tiba dekat, aku membuka jendela tersebut. Berkeriuk bunyinya. Tidak kuat tetapi cukup untuk membuatkan telingaku agak ngilu. Sedikit-sedikit, pemandangan pagi terbentang depan jendela. Kabus putih memenuhi segenap sudut. Tidak terlalu tebal. Cukup-cukup untuk mengingatkan aku bahawa aku sekarang berada di Kundasang. Angin pagi mula menyentuh kulit. Dingin mencengkam. Aku memeluk tubuh dan menggerak kepala ke luar jendela. Serta-merta, udara segar menyapa wajah. Mataku terpejam sesaat. Menikmati.

Memori InaraWhere stories live. Discover now