Bab 2

2K 51 0
                                    

"I'M your husband."

Terasa berhenti jantungku. Bergegar kepalaku. Berdentum seluruh dunia saat kata-kata itu menembusi telinga. Apatah lagi, ia dituturkan dengan sangat senada, sangat selamba, sangat bersahaja.

Keluar dari celahan bibir lelaki itu yang kini menjatuhkan kaki ke atas lantai, duduk membelakangiku di birai katil, mengambil T-shirt kelabu yang entah datang dari mana dan menyarungnya ke tubuh.

Aku cuma terpaku. Masih dengan jantung terhenti degupan, kepala bergegar dan dunia berdentum. Segala-galanya terasa kosong. Sunyi sepi.

"Hei..."

Sayup-sayup, suara garau itu berbunyi lagi. Mata buntangku masih tepat kepada dia yang perlahan-lahan berpaling. Kemudian menggerak tubuh dan datang merapat. Semakin rapat dan rapat dan...

Pipiku terasa disentuh.

Mata yang sedia buntang serta-merta membesar. Tanganku laju menepis jari-jemari yang melekat di pipi. Tidak cukup dengan itu, aku menolak dadanya kuat-kuat. Reaksi serupa yang aku buat beberapa ketika lepas.

"Jangan sentuh aku!"

Aku menengking lantang. Gebar yang sedari tadi menutupi tubuh ditarik lebih dekat ke dada. Tindakan refleks walhal tubuhku berbalut elok.

Dia melirik sekilas, sebelum bangkit dari katil. Berdiri dengan anak mata yang jatuh ke bawah. Kepalaku automatik terdongak ke atas. Melawan renungannya. Gegendang telinga masih terngiang-ngiang dengan pengakuan di luar jangkaan.

"I'm your husband."

Bila masa aku bernikah? Aku cuma sudah bertunang. Tunanganku pula bukan lelaki ini. Sama sekali bukan!

Mengingati hakikat tersebut, dadaku memberat. Mata semakin lebat bertakung. Tidak dapat ditahan. Wajah Muzaffar yang melintas dalam fikiran, menyesakkan lagi jantung.

Oh, Tuhan! Macam mana aku mahu berhadapan dengan dia?

"Apa... Apa yang kau... Dah buat pada aku?"

Terketar-ketar aku mengulang soalan serupa tadi. Tangan yang masih memegang gebar, digenggam lebih kuat. Mahu menahan getaran tubuh yang tidak habis-habis menggigil dan tujahan dalam otak yang tidak sudah-sudah memikirkan kemungkinan buruk itu.

Dia melepaskan keluhan. Agak kuat bunyinya. Agak berat. Matanya berkelip sekali sebelum mulutnya terbuka.

"Inara..."

Dan menyeru namaku. Wajahku terasa berderau. Lelaki ini... Lelaki asing ini tahu namaku.

"Ayudia Inara..."

Dia tahu nama penuh aku.

"Ara tahu tak? Ini dah kali ke berapa Ara buat adegan macam ni? Menjerit macam ni, tanya abang macam ni, tolak abang macam ni..."

Dahiku sedikit-sedikit berkerut. Tidak faham.

"Dah kali kelima." Dia menjawab sendiri, seraya mengangkat kaki ke depan. Elok berdiri di hadapan langsir yang tergantung dari siling ke lantai. Dengan sekali tarik, langsir tersebut terbuka luas. Cahaya terang serta-merta menembusi masuk. Aku memusing kepala ke kiri dan mengatup mata. Silau!

"Dan kali kelima juga, abang perlu ulang..."

Mataku terbuka semula. Kepala dikalih memandang dia yang masih berdiri di depan jendela. Membelakangi cahaya mentari pagi. Aku mungkin sudah gila, tetapi lelaki asing ini tiba-tiba kelihatan bersinar. Rambut hitamnya bersinar. Mata hitamnya juga tampak bersinar. Memancarkan renungan kepadaku.

Ada sesuatu yang tersirat dalam pandangan matanya. Entah kenapa, itu yang terlintas dalam akal fikiranku.

"Yang abang ini..."

Memori InaraWhere stories live. Discover now