1

42 0 0
                                    


Cherd tersandar ke dinding sebelum terjelepuk ke lantai. Ada darah yang mengalir di bibir membasahi kumis tebalnya. Matanya kebiruan membengkak selepas ditinju bertubi-tubi oleh lelaki di hadapannya apabila dia terkocoh-kocoh mahu mengeluarkan pistol yang diselit di pinggang seluarnya sebentar tadi. Amarah membara tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa dek kesakitan yang membejat pergerakan di kedua-dua belah kaki – patah gamaknya.

          Di hadapannya ada seorang lelaki yang berbaju sweatshirt rona putih dan berseluar tidur bercorak checkered – lebih tepat lagi ialah tuan kepada rumah yang dia berada sekarang.

          Lelaki itu menarik kerusi rotan mendekat sebelum duduk di atasnya. Darah yang mengalir di bibir Cherd diseka oleh lelaki itu dengan sehelai tisu. Cherd mengambal wajah lelaki dihadapannya itu dengan pandangan yang kelam.

          Cahaya daripada lampu jalan yang tembus melalui celah jendela yang terbuka membias mata lelaki itu dan jelas terpancar satu pandangan yang dingin dan kejam.

          "Apa yang kau fikirkan ya?" tanya lelaki itu. Nadanya begitu rendah dan satu senyuman menakutkan disimpul.

          Bibir Cherd bergetar seperti mahu mengeluarkan kata-kata tetapi tiada suara yang kedengaran. Dadanya kembang kuncup mencari nafas, lelah setelah berhempas pulas melawan lelaki itu tadi. Hatinya sedikit sebanyak kesal kerana telah masuk ke rumah yang fikirnya dihuni oleh seorang lelaki nerd. Sangkaannya tersilap kerana ada seorang lagi teman yang menghuni rumah itu dan lelaki tersebut kekuatannya tidak terduga.

          Lelaki itu bangun dan bergerak menuju ke ruang dapur yang gelap dan muncul beberapa ketika kemudian dengan gelas kaca berisi air masak ditangannya.

          "Minum bro, kau nampak penat," gelas diletakkan di atas lantai di hadapan Cherd dan lelaki itu kembali duduk di atas kerusi rotan. Matanya tajam menikam setiap pergerakan Cherd.

          Peluh yang mengalir di dahi diseka dengan hujung baju yang sudah basah. Cherd mengambil air itu lalu diteguk rakus. Dia betul-betul penat. Kemudian dia meraba-raba pinggangnya dan matanya melilau mencari gerangan senjata yang dibawanya.

          "Cari ni ke?" tanya lelaki di hadapannya menjawab kebingungan Cherd sambil mengangkat sepucuk pistol.

          Cherd merenung wajah lelaki itu. Dia tidak pernah melihat lelaki itu sebelum ini. Dia menjadi hairan kerana rumah yang dia berada sekarang selama ini didiami hanya oleh seorang lelaki. Dia yakin kerana dia sudah mengintip dan mengekori lelaki nerd itu selama sebulan. Dia tahu lelaki nerd itu berkerja di syarikat kejuruteraan besar di ibu kota dan menyebabkan dia memilih lelaki itu sebagai target. Cherd, lelaki berkumis tebal itu ialah seorang penganggur yang menghabiskan hari-harinya dengan menyamun rumah-rumah orang kaya. Selama dia melakukan kegiatan ini, tidak pernah sekalipun dia ditumpaskan oleh sesiapa bahkan pihak penguasa juga tidak dapat mengesan jejaknya. Namun hari ini, buat pertama kalinya dia gagal.

          "Kau siapa?" Cherd menggagahkan diri bersuara.

          Lelaki itu ketawa dengan nada mendatar. "Kau tanya aku siapa? Kau yang masuk rumah aku ni."

          Cherd diam.

          Lelaki itu bangun daripada kerusi dan mencangkung di hadapannya. Pistol diacukan ke dahinya.

          "Sekali lagi aku tanya, apa yang kau fikirkan dengan masuk ke rumah ini?"

          Tubuh Cherd menggeletar. Sejuk yang merambat daripada muncung pistol terasa seperti mata sabit yang dibawa oleh grim reaper – dengan hanya satu ketikan, bila-bila sahaja nyawanya boleh melayang. Dia tidak betah berbuat apa-apa. Kudratnya seperti telah hilang keseluruhannya apabila berlawan sebentar tadi.

          Pistol ditunjal-tunjal ke dahi Cherd apabila lelaki itu tidak mendapat sebarang jawapan daripadanya. Seketika kemudian picu ditarik. Cherd menelan liur. Darahnya bergemuruh.

          "Siapa kau dan apa yang kau nak daripada kami?"

          "A...aakuu...aku nak merompak."

          "Rompak rumah ni?

          Cherd cuma mengangguk. Satu senyuman terkulum di bibir lelaki di hadapannya. Cherd tidak dapat membezakan senyuman itu sesuatu yang memaniskan atau menambah kedinginan raut wajah lelaki itu. Dia juga tidak dapat menduga makna disebalik senyuman itu.

          "Terima kasih kerana jujur."

          Pistol P92 yang sedari tadi melekap kemas di dahi Cherd dialihkan. Lelaki itu mengambil sebiji bantal yang berada di belakang badannya.. Belum sempat Cherd melepaskan nafas lega, satu tembakan dilepaskan melalui bantal yang ditekap di hujung pistol. Peluru menghentam bahu kiri Cherd. Jeritan bergema. Satu das lagi dilepaskan ke bahu kanan pula. Urat kerongkong Cherd seperti mahu putus menjerit kesakitan. Matanya terbuntang luas menghadapi kesakitan yang belum pernah dirasai sebelum ini. Jantungnya berdegup kencang seperti mahu meletup.

          "Selamat malam bro." Ucapan terakhir yang Cherd dengari sebelum satu lagi bunyi letupan daripada muncung pistol yang kali ini menyentap terus rohnya keluar daripada jasad. Kepalanya bersepai dan tubuh kaku Cherd jatuh ke lantai dengan mata terbelalak.

          Lelaki itu berdiri. Mayat Cherd ditarik sebelum dikendong dan dibawanya ke garaj yang terletak di bahagian belakang rumah. Dua tong asid dituang ke dalam tong besi berbentuk kuboid bersaiz sofa 3-seater. Mayat dihumban ke dalam tong. Proses itu mereputkan dan menghancurkan isi dan kulit sehingga yang tinggal hanyalah tulang-belulang.

          Laci meja bacaan di sudut ruang tamu ditarik dan P92 diletakkan di situ. Kemudian dia membuka sweatshirtnya yang sudah dilumuri darah dan mencampaknya ke dalam unggun api ruang pemanas. Api menyambar laju dan membakarnya sehingga menjadi debu.

          Lelaki itu berjalan ke jendela lalu ditutupnya rapat. Angin sejuk puncak bukit Marel sempat menggigit kulit tubuhnya yang tidak berbaju. Dia segera masuk ke bilik. Sehelai sweater cashmere hitam disarung ketubuh. Kemudian dia keluar dan bergerak ke sebuah bilik yang sedari tadi tertutup rapat. Tombol pintu dipulas dan pintu ditolak sedikit sebelum menjenguk ke dalam.

          "Kau okay?" tanyanya.

          Sunyi.

          "Okay, nasib baik kau tak terganggu. Sorrylah, bising sikit tadi, ada orang nak rompak rumah kita ni," sambungnya lagi berserta tawa kecil. Cahaya daripada lampu tidur di sudut bilik membias ke satu susuk tubuh yang membelakangi pintu yang terbuka. Tubuh itu tidak berkutik, sedang lena diulit kedinginan malam – tidak menunjukkan tanda-tanda dia terganggu dengan perihal tadi. Lelaki tersebut menarik sengih. Dia kemudian menarik pintu perlahan-lahan dan menutupya dengan cermat.

          "Selamat malam, Boy."


          

(Teaser) DuaWhere stories live. Discover now