Bab 11

1.6K 19 0
                                    

"Aku beri kau masa sehingga hujung bulan ni. Kalau kau masih tak selesaikan juga, kau tahulah apa yang akan aku lakukan!"

"Aku tak ada duitlah buat masa sekarang. Boleh tak kau bagi masa lagi?" balasnya dengan suara yang ditahan-tahan kerana bimbang ada yang mendengar perbualan tersebut. Tubuh yang sedang bersandar di kerusi dirapatkan ke bibir meja.

"Farhan! Aku dah beri banyak masa kepada kau tapi bunga pun kau susah nak bayar. Habis tu, kau nak aku tunggu sampai bila? Hei! Kami bukan badan kebajikanlah, bhai!"

"Aku tahu tapi bagilah aku masa. Aku tengah ikhtiar ni," rayunya lagi.

"Aku beri sampai hujung bulan ni saja. Kau masih ada masa lagi tiga minggu. Kalau sampai masa nanti masih tak ada, aku cari kau di pejabat."

"Tolonglah, Meng. Janganlah macam tu. Malu aku kalau sampai dekat pejabat kau cari." Farhan mula tidak senang duduk. Dia bingkas bangun dan rambutnya diraup.

"Kalau kau tak nak malu, bayar sebelum sampai tarikh yang aku bagi. Kalau tidak, jangan salahkan aku sebab aku dah ingatkan!" ugutnya.

Telefon bimbit dicampakkan ke atas meja bersama dengusan keras. Bingung dengan masalah yang baru membelenggu hidupnya, rambutnya diraup dan tubuh disandarkan ke kerusi. Mana dia hendak cari duit sebanyak lima belas ribu dalam waktu terdekat itu? Hendak membuat pinjaman bank, dia masih ada pinjaman yang belum selesai. Kalau dia gagal menyelesaikan pinjaman tersebut, pasti hidupnya tidak akan tenang selepas ini.

Semuanya gara-gara anak sulung Maya punya angkara. Terlalu berani bawa kereta orang tanpa lesen. Bila kemalangan, dia pula yang terpaksa menanggung bebannya. Terdesak punya pasal, akhirnya dia terpaksa meminjam duit daripada along dan sekarang, terimalah padahnya. Hendak bayar bunga sahaja pun dia tak mampu. Sudahnya, siang malam along kejar. Maya pula bukan hendak membantu tetapi tidak sudah-sudah mengungkit tentang dia duduk menumpang di rumah isterinya itu. Arghhh! Kusut dia memikirkannya.

Hendak meminjam daripada adik-beradik, masing-masing seolah-olah meminggirkannya sejak dia berkahwin dengan Maya dan bercerai dengan Safiya. Orang tuanya pula lagilah tidak mengendahkan dia sekarang. Kalau dia mengadu, silap hari bulan dia pula yang dikatakan bodoh tak sedar diuntung.

Ya, baru dia sedar sekarang yang dia betul-betul bodoh. Terlalu mengikut nafsu akhirnya terperangkap dengan kata-kata manis Maya, sedang hakikatnya kini segalanya tak seindah yang dia harapkan. Indahnya sekejap tapi selebihnya hidup dalam keserabutan.

Menyesal sekarang pun tiada gunanya, Farhan! bisiknya mengejek diri sendiri. Apabila berada di dalam keadaan begitu, mulalah setiap kebaikan bekas isterinya terlayar satu per satu. Bagaimana Safiya bersabar dengan kerenahnya dahulu. Bagaimana susahnya Safiya sepanjang hidup bersamanya. Dia sahaja yang berajakan ego dan status sebagai suami sehingga Safiya memendam perasaan sendiri. Mengingatkan semua itu, keluhan berat dilepaskan.

Sejak kebelakangan itu juga, rasa rindu kepada anak-anak sendiri semakin menghimpit hati tetapi dia malu untuk berdepan dengan mereka. Malu dengan apa yang dia lakukan dan malu kerana baru sekarang dia ingat tentang darah daging sendiri.

Along!

Angah!

Rintihnya bersama perasaan yang sarat di dadanya.

"Fiya..." Safiya angkat kepala. Hairi dipandang dengan senyuman.

"Tahniah untuk pembentangan tadi." Hairi buang senyum. Safiya yang sedang menyusun dokumen yang dibawanya dalam mesyuarat itu dihampiri semakin dekat.

"Belum diluluskan lagi, jadi tak perlulah ucap tahniah dulu," gelaknya. Dokumen yang sudah dikemas dicapai. Bilik mesyuarat yang sudah lengang itu dipandang. Cepatnya masing-masing dah hilang. Zira lagi advance. Siap aje meeting, dia terus cabut lari. Mentang-mentang sudah pukul lima lebih. Dia juga yang masih terkulat-kulat di situ sebab ada urusan belum selesai. Nasib baik tiada apa yang perlu dia kejarkan di rumah.

Cinta KeduaWhere stories live. Discover now