Bab 7

1.5K 24 0
                                    

"Assalamualaikum dan selamat petang, Puan Safiya."

Terdengar sapaan ceria di muka pintu biliknya, Safiya angkat kepala. Terpandang sahaja Datuk Helmi yang sedang tersengih di muka pintu, air mukanya terus berubah. Tubuhnya ditegakkan dan lelaki itu dipandang tidak beriak.

Bala! Hati mendengus bersama keluhan.

"Assalamualaikum..." Sekali lagi Datuk Helmi menghulurkan salam dan terus melangkah masuk walau tidak dipelawa. Safiya yang sedang terpaku di tempatnya dihampiri.

Dengan senyum yang dibuat-buat, salam lelaki itu disambut. Arghhh! Dia cukuplah menyampah melihat orang tua tidak sedar diri ini. Dan kenapa pulalah lelaki itu muncul pada waktu-waktu begini? Siapa yang dicarinya? Tak mungkin lelaki tua itu datang semata-mata untuk menemui dia? Masaklah kalau itu sebabnya.

"Sibuk?" Lelaki yang sudah hampir menjengah enam puluh tahun itu menyapa lagi.

Mata diliarkan ke atas meja kemudian laju kepalanya diangguk. Rasanya kalau Datuk Helmi melihat sendiri dokumen yang bersusun di atas mejanya, pasti lelaki itu tahu situasinya sekarang.

"Haih! Ini yang I nak marah. Nampaknya I kena kompelin dengan Datuk Seri Marzuki sebab beri you kerja banyak sangat. Kesian sayang I."

Urghhh! Hampir nak termuntah dia mendengar kata-kata lelaki itu. Aku sayang dia? Boleh putus nyawa dia dibuatnya. Ya Allah, kalaulah dia ada kuasa, memang sudah dilenyapkan lelaki miang itu dari muka bumi ini tapi sayangnya dia hanya boleh mengutuk dalam hati sahaja.

"Eh! Ini memang kerja saya, Datuk. Lagipun saya memang dibayar gaji untuk buat kerja-kerja ni," ucapnya dengan senyum yang tiada ikhlasnya. Memandai sahaja hendak mengadu kepada bos besar dia. Ingat Datuk Seri Marzuki ada masa hendak melayan miang kau tu?! bentaknya tapi hanya terluah dalam hati juga.

"Emmm... Sebab I tahu you penat, mari I belanja you high tea."

Safiya berdeham dan kepalanya digeleng. "It's okay, Datuk. Terima kasih," tolaknya. Tidaklah dia mengikut lelaki miang itu. Hendak duduk minum semeja pun dia tidak berselera. Paling malas kalau lelaki itu menyebut lagi tentang tawaran supaya menjadi isterinya.

"Marilah I belanja you. Kalau you takut nak keluar sebab sekarang waktu kerja, I boleh call Datuk Seri Marzuki untuk minta izin." Telefon bimbit di dalam poket seluarnya dikeluarkan.

"Eh! Tak apa. Tak payah, Datuk. I betul-betul busy sekarang nak temankan Datuk minum petang," tolaknya beria-ia.

"Puan Safiya, I bukannya selalu datang sini. Sampai hati you tolak permintaan I. Lagipun tak salah rasanya kalau you teman I untuk minum petang. Lagipun I kan klien terbesar syarikat you," jolok Datuk Helmi lagi.

Safiya hela nafas. Itu sahajalah alasan yang sering Datuk Helmi gunakan. Dia klien terbesar tapi Datuk Helmi ingat hanya dia sahaja ke klien terbesar syarikatnya? Geramnya lahai! Tetapi hendak ditolak serba salah pula. Hendak diterima, dia pula yang tak sanggup berduaan dengan si tua itu.

"Marilah," desak Datuk Helmi tanpa henti.

"Okey, tapi dekat bawah saja, ya?" Akhirnya dia terpaksa mengalah. Demi kerja dan periuk nasi kau, Fiya. Lagipun hanya minum petang sahaja. Hati berbisik memujuk diri sendiri.

Senyum Datuk Helmi melebar. "Sila," ajaknya dan tangan ditalakan ke pintu.

Dengan helaan nafas panjang, Safiya akur dan langkah dibuka. Datuk Helmi pula terus mengambil peluang itu untuk berjalan beriringan dengannya. Mereka keluar sahaja dari biliknya, semua mata kakitangan yang berada di situ tidak berkelip memandang. Ya Allah, entah apa lagilah gosip yang akan bertebaran nanti? Hati berbisik resah.

Cinta KeduaWhere stories live. Discover now