"Beginilah, kalau Fiya rasa Fiya belum bersedia, I tak akan paksa tapi kita boleh teruskan hubungan kita sehinggalah Fiya bersedia." Datuk Helmi bersuara lagi apabila Safiya hanya berdiam diri di tempatnya. Masakan dia menerima keputusan itu bulat-bulat? Tak, dia akan pastikan Safiya menerima juga lamarannya.

"Maksud Datuk?" Dahi dikerutkan.

"Jangan salah faham. I bukan nak jadikan you sebagai mistress I tapi mungkin kita boleh... Emmm... Jadi kekasih dulu? You boleh temankan I bila ada majlis yang perlu I hadiri di atas kapasiti you sebagai someone special for me." Bersinar-sinar mata Datuk Helmi tatkala memberikan cadangan tersebut. Kalau Safiya belum bersedia menjadi isterinya, tak salah kalau dia usung si cantik itu ke sana sini sebagai kekasihnya.

Kekasih? Yuck! Hampir termuntah Safiya mendengar cadangan orang tua itu. Hendak diheret dia ke sana ke mari atas kapasiti kekasih? Datuk Helmi ingat dia perempuan murah? Oh! Tolonglah.

"I rasa I dah berikan keputusan yang jelas tadi, Datuk. I betul-betul minta maaf sebab I tak boleh terima tawaran atau lamaran Datuk. Maaf," ucapnya dan dia bingkas bangun.

"I balik ofis dulu. Thanks for the drink," sambungnya dan terus beredar.

Datuk Helmi tergamam dan hanya memandang sahaja Safiya beredar dari situ dengan mata terkebil-kebil.

"You pasti akan jadi isteri I juga, Safiya. Tak mungkin you kebal dengan duit dan kemewahan!" dengusnya dengan muka berkerut-kerut geram.

Langkah diayun laju. Sejak keluar dari kafe tadi, mulut dia tidak berhenti-henti menyumpah lelaki tua miang dan tak sedarkan diri itu. Peliknya, kenapa orang tua itu tidak faham-faham yang dia tak sudi jadi orang kedua, ketiga atau keempat dalam hidup lelaki itu? Cukup-cukuplah tiga bini yang ada tu.

Masakan pada usia begitu, 'adik' lelaki itu masih kuat lagi? Arghhh! Baru hidup nak rasa tenang dan bahagia, tiba-tiba muncul pula manusia dari zaman batu mana yang cuba memporak-perandakan perasaan dia. Kalau bujang, handsome, sado, tidak mengapalah juga. Ini tidak, rumah dah halau-halau suruh pergi tapi lelaki tua itu masih tak reti hendak sedarkan diri lagi. Atau mungkin rumah Datuk Helmi tidak ada cermin, sebab itulah dia tak nampak usianya yang sudah hampir menuju mati! Haih! Stres!

Sedang membebel-bebel, pintu lif terbuka dan dengan terkocoh-kocoh dia terus masuk. Baru sahaja pintu lif hendak tertutup, ada satu tangan yang tiba-tiba menghalang menyebabkan pintu lif terbuka semula. Dalam keadaan dia yang sedang terpinga-pinga, tiba-tiba masuk pula lelaki yang digelarkan Mr. Gentleman oleh ramai kakitangan syarikat sedang berdiri di sebelahnya. Oh! Ini satu lagi bala. Mulut berdesir perlahan. Mulalah tak senang berdiri dia dibuatnya.

"Nampak saya terus stres ke?" Izham senyum segaris dan butang ke tingkat lima belas ditekan.

Safiya buat-buat senyum dan langsung tidak menjawab pertanyaan lelaki itu. Sejak lamaran Izham beberapa hari lalu, dia memang berdoa agar tidak bertemu dengan Izham lagi tetapi entah apalah malang nasib dia hari itu boleh berada di dalam satu lif pula? Oh! Nasib. Selepas berdepan dengan Datuk Helmi, kini Izham pula berdiri betul-betul di sebelahnya.

"Dari awak kahwin dengan Datuk yang dah berbini tiga tu, lebih baik awak terima lamaran saya," ucap Izham bersahaja. Safiya dikerling sekilas.

Tersentak, laju Safiya palingkan kepalanya ke sebelah. "Huh?!" Mereka berpandangan seketika sebelum Safiya memalingkan mukanya ke hadapan semula. Izham nampak dia dengan Datuk Helmi tadi? Aduh!

"Ini kali kedua saya melamar dan awak masih buat muka seolah-olah sedang berdepan dengan lelaki miang dan gatal yang tak henti-henti cuba menggoda awak." Tawa kecil Izham meletus.

"Muka saya nampak macam lelaki-lelaki miang dan gatal yang cuba memikat awak ke?" ucapnya lagi dengan tawa yang masih bersisa.

"Tapi kenapa saya?" Soalan itu lagi yang dia tanyakan.

"Jawapan saya tetap sama. Hendak saya ulang semula?" Safiya dipandang kembali dan kening dijongket.

Safiya terdiam. Dia memang sudah tahu sangat apa jawapannya tapi dia masih keliru kenapa pilih dia yang bergelar janda? Izham bukan calang-calang orang di syarikat mereka bekerja. Dengan jawatannya sebagai ketua pegawai operasi syarikat, memang ramai anak-anak gadis yang sudi menjadi isterinya walau apa jua status yang dipegangnya. Maklumlah, budak-budak sekarang asal lelaki berduit, berkereta besar, laki orang pun tidak mengapa.

"Saya beri Fiya masa untuk fikirkan lagi tentang lamaran saya. Selepas itu kita akan bincangkan tentang fasa seterusnya." Izham bersuara lagi.

"Malam ni saya akan call Fiya. Jangan tak angkat pula," pesannya dan terus keluar sebaik pintu lif terbuka di tingkat yang sepatutnya.

Safiya... Hanya terkebil-kebil dan diam tak terkata. Tiba-tiba dia baru tersedar yang dia telah pun melepasi pejabatnya yang terletak di tingkat lapan. Patutlah dia pelik kenapa lif itu langsung tidak berhenti dan hanya berhenti di tingkat lima belas.

Ya Allah, aku tak tekan rupa-rupanya! Arghhh! Fiya! 

Cinta KeduaWhere stories live. Discover now