"So, Puan Safiya. Tawaran I sebelum ini masih terbuka luas untuk you. Jadi, apa keputusan you?" Datuk Helmi terus bersuara sebaik pesanan mereka dihantar pelayan. Kopi tarik di atas meja dicapai dan dihirup perlahan.

Arghhh! Sudah dia agak, pasti tentang tawaran itu yang ingin lelaki tua itu sebutkan. Baru sahaja dia hendak bersangka baik tetapi rupa-rupanya, niat lelaki itu tetap sama. Tidak habis-habis dengan tawaran gila dia. Walaupun hati memberontak geram, dia diam sahaja sedang mata masih tidak berkalih merenung wajah Datuk Helmi yang sedang tersenyum kambing di hadapannya itu. Nasib baiklah lelaki itu klien terbesar di syarikat dia bekerja. Kalau tidak, sudah lama air Milo panas di atas meja dia curahkan ke muka lelaki yang budget handsome dan sado itu.

"Cik Nur Adira Safiya... Emmm... I rasa panggilan cik tu lebih sesuai daripada panggilan puan. Lagipun you kan dah single sekarang." Datuk Helmi tersengih gatal. Tubuh disandarkan ke kerusi dan kaki disilangkan sedang mata terus galak merenung wanita di hadapannya itu. Walaupun wanita itu ialah janda beranak dua, tapi dia akui yang Safiya masih cantik dan bentuk badannya masih menarik lagi. Sebab itulah dia masih tidak putus asa untuk mendapatkan wanita itu walau berkali-kali ditolak.

Demi Tuhan, sengih Datuk Helmi ketika itu kelihatan sangat menjijikkan. Sudahlah gigi pun kuning! Arghhh! Geli... Benci... Meluat! Semua rasa itu ada. Datuk Helmi ingat janda seperti dia hadap agaknya dengan tawaran begitu. Sorry! Lambat lagilah, Datuk! Hati membentak geram.

"I tunggu jawapan you, Safiya."

Safiya berdeham dan membetulkan duduk. Renungan Datuk Helmi dibalas. Tiada walau sekelumit senyum pun yang dipamerkan di bibirnya kala itu. Kalau boleh dia tunjukkan betapa bencinya dia dengan lelaki itu, memang dia akan tunjukkan. Bukan hanya pada reaksi wajah tapi dengan perbuatan juga. Biar lelaki tua itu rasa!

"Datuk, seratus ribu yang Datuk tawarkan itu tak cukup untuk beli diri I," bedilnya agak berani tetapi dengan nada suara yang terkawal. Mampuslah kalau lelaki itu hendak marah sekali pun kerana ia tentang diri dan hidup dia. Masakan baru keluar dari mulut buaya hendak terperangkap ke mulut naga pula? Kalau itu pilihan yang dia buat, memang dialah yang bodoh sebenarnya.

"Kalau tak cukup, berapa you nak? I sanggup beri berapa saja asal you sudi jadi isteri I. Dua ratus ribu? Atau lebih? You just name it!" Datuk Helmi semakin berani membuat tawaran. Bagai yang dia duga, perempuan seperti Safiya tentu akan cair jika ditawarkan dengan duit. Perempuan mana yang tidak ingin hidup mewah? Lelaki seperti dia pula tidak teragak-agak untuk menggunakan wang ringgit demi mendapatkan apa yang dia mahu.

Nampaknya Datuk Helmi benar-benar bersungguh-sungguh. Dia pula yang terkedu dibuatnya. Haih!

"Kalau dulu I bercerai kerana suami I ada perempuan lain, jadi kenapa sekarang I perlu terima lamaran Datuk untuk jadi yang keempat?" Kening dijongketkan seakan-akan mencabar.

Datuk Helmi ketawa besar. "Bekas suami you tak mampu tapi I mampu," ucapnya membangga diri.

Arghhh! Itu pula jawapan yang diberinya. Orang berpengalaman seperti Datuk Helmi tentu ada sahaja jawapannya.

"Maaf, Datuk. I tetap dengan pendirian I. I tak akan lukakan hati perempuan lain semata-mata untuk kesenangan diri sendiri. Lagipun I senang dengan hidup I sekarang dan I belum terfikir untuk berkahwin lagi," tolak Safiya untuk yang kesekian kalinya.

"Jangan terburu-buru, Fiya. I beri you masa untuk fikirkan lagi. I ikhlas nak memperisterikan you dan I janji I tak akan abaikan you seperti mana bekas suami you lakukan. I akan beri you apa sahaja yang you mahu. Duit? Rumah dan kereta mewah? You sebut saja," pujuk Datuk Helmi bersungguh.

Oh! Lelaki... Mudahnya berjanji. Lupa agaknya dengan janji-janji yang ditaburkan kepada isteri-isterinya yang lain. Sayangnya, aku bukan perempuan yang mudah termakan dengan kata-kata manis begitu. Cukuplah aku digula-gulakan dengan cinta Farhan dahulu tetapi sekarang aku sudah cukup matang untuk menilai kata-kata lelaki. Titik!

Cinta KeduaWhere stories live. Discover now