Bab 2 Candlelight Dinner

4.4K 177 57
                                    

SELEPAS bersolat maghrib, aku terus bersiap. Haidar masih belum nampak muka. Janjinya nak pulang sebelum maghrib tapi dah nak masuk waktu isyak, bayang dia pun tak nampak. Dah banyak kali aku menelefonnya tapi satu pun dia tak jawab. Mesej WhatsApp pun dia tak balas. Aku faham dia sibuk tapi takkanlah tiada masa langsung membalas mesej. Sekarang aku tak pasti samada dia masih nak bawa aku keluar makan malam atau tidak. Tapi walau macam mana pun aku tetap sabar menanti kepulangannya.

Aku turun ke tingkat bawah dan menunggu di ruang tamu. Perut yang kelaparan aku usap perlahan. Sejak petang tadi aku tak makan apa-apa. Bukan tak ingat pesanan Haidar yang menyuruhku menjamah makanan dulu sebelum keluar. Tapi aku yang tak nak. Aku mahu menikmati makan malamku bersamanya. Bukan selalu aku dapat luangkan waktu dengan dia.

"Puan dah ready ke?"

Eddy menyapaku ketika aku sedang menonton siaran Buletin Utama. Aku tak sedar langsung kedatangan Eddy walhal bukan aku tengok sangat pun siaran berita di kaca televisyen. Kalau ditanya berita apa yang jadi fokus malam ni, aku langsung tak tahu. Aku lebih banyak termenung daripada mendengar butir bicara pembaca berita depanku.

"Dah." Aku jongket kening memandang wajah orang kepercayaan Haidar ini. Cuak juga mendengar soalannya. Macam ada yang tak kena aje.

"Kalau puan dah ready, jom ikut saya." Eddy sengih tengok muka pelik aku.

"Ke mana?" Kali ni dahi aku pula yang berkerut. Aku sepatutnya pergi dengan Haidar. Itu janji kami tadi. Tapi tak tahulah pula jika rancangan dah bertukar di saat akhir.

"Bos suruh saya bawa puan pergi satu tempat ni. Bos minta saya sampaikan ucapan maaf pada puan sebab tak dapat balik rumah. Katanya ada meeting penting tadi."

"Okey."

Aku dah agak ini yang sebenarnya terjadi. Kerap kali perkara ni berlaku pada aku sampai aku dah lali. Tapi geram pula bila Haidar memilih untuk menyampaikan pesanannya kepada Eddy tapi tidak pada aku. Hisy....siapa yang jadi isterinya? Aku ke Eddy? Tak lama mana pun jika dia taip sebaris ayat pendek mengatakan dia sibuk. Huh! Ni yang buat aku rasa macam nak merajuk!

Aku bangun dari sofa dan capai beg tangan di atas meja. Bila aku sampai di porch, Joe dah siap menghidupkan enjin kereta. Eddy membukakan pintu belakang dan menunggu aku masuk. Pintu kereta ditutup.

Kereta bergerak meninggalkan kawasan Bangi menuju ke pusat bandaraya. Tak tahulah ke mana Joe dan Eddy nak bawa aku. Tak kuasa aku nak tanya mereka. Mereka berdua pun tengah seronok bersembang pasal buah hati masing-masing. Macam tak selesa pula nak mencelah. Haih...aku mengeluh. Sudahnya aku lemparkan pandangan melihat suasana bandaraya yang nampak 'hidup' di waktu malam.

Melihat papan tanda, kereta yang dipandu Joe sedang menuju ke Subang. Ofis Haidar juga terletak di Subang. Hmm...ini mesti Haidar minta Joe bawa aku ke ofisnya. Itu yang bermain di benakku.

Kereta terus bergerak dan akhirnya berhenti di hadapan sebuah kafe. Cheese You Cafe. Itu nama yang tertera di papan tanda. Nampaknya salah tebakanku tadi. Jadi Haidar arahkan Joe dan Eddy bawa aku ke kafe ni. Teruja hatiku memikirkan Haidar dah menunggu di dalam kafe yang di luarnya nampak sangat eksklusif. Dada aku pula dah berdebar semacam. Seperti ada ribuan rama-rama berterbangan hinggap di hatiku.

Hisy...jangan ingat selepas berkahwin dua tahun, aku dah tak rasa semua debaran perasaan ni lagi. Ia tak pernah berkurang malah semakin kuat. Apa taknya, dapat hidup berdua dengan lelaki yang aku sayangi dan mencintai aku. Tentulah bahagianya menggunung tinggi. Ah! Sukar aku nak jelaskan perasaanku. Faham-faham sendiri ajelah.

Eddy keluar dari kereta dan membukakan pintu untukku. Susah payah aku keluar membawa perutku yang memboyot. Langkahku ke pintu kafe ditemani Eddy. Daun pintu ditariknya agar aku tak perlu bersusah payah membukanya lagi. Aduhai...tiba-tiba aku rasa sangat bersyukur dilayan macam puteri raja. Kalau aku bukan isteri Haidar, tak ada siapa nak layan aku macam ni.

AKU LELAKI SEJATIMU - Special Edition (COMPLETED)Where stories live. Discover now