Bab 15

937 23 2
                                    

Terkebil-kebil mata Leia memandang tubuh Debbie yang sedang nyenyak tidur. Kawannya letih, barangkali. Namun bila difikir-fikirkan, apalah sangat kerja Debbie siang tadi? Sama saja dengan Leia. Bancuh air lemon. Kumpul jagung. Tolong Leia siang jagung untuk dijadikan bubur. Kemudian, menyantuni pekerja-pekerja ladang. Malam tadi pula, Caleb dan Matilda yang memanggang jagung.

Leia membetulkan bantal, mencari keselesaan. Selepas mengucapkan selamat malam kepada Darrel tadi, Leia terus menarik Debbie masuk ke rumah. Kononnya dia dah letih. Padahal, dia jadi tidak keruan dipanggil 'love' oleh Darrel. Takkan semudah itu menuturkan kata sayang?

Dan kini, dia susah mahu tidur. Perbincangannya dengan Debbie sebelum lampu dipadamkan sebentar tadi terngiang-ngiang.

"Kenapa kau dan abang kau beza sangat, eh Debbie?"

Debbie ketawa. Dia duduk bersila di atas katil dan meletakkan bantal di atas ribaannya.

"Kau perasan, eh?"

"Tentulah aku perasan. Kau mata hazel. Dia mata biru. Kau baik dan sopan dalam berkawan. Dia asyik menggatal saja."

Debbie ketawa lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Bergema ke seluruh bilik.

"Kalau kau ingat aku dan Darrel bukan adik-beradik kandung sebab warna mata kami berlainan, kau salah teka. Ibu aku mata biru. Ayah aku mata hazel." Debbie mengeluarkan satu album lama dari laci tepi katil. Dia memberikan album itu kepada Leia.

Sambil Leia melihat gambar dalam album itu, Debbie menyambung. "Kalau aku menggatal dengan kau, itu dah lain jadinya. Itu LGBT, Leia. Agama kita larang keras LGBT, kan?" Debbie mengingatkan. Tanpa menanti reaksi daripada Leia, Debbie menyambung. "Senang cakap, abang aku tu, ada konflik dalaman dengan agama kami. Ada benda yang dia tak setuju."

"Apa dia?" tanya Leia walaupun dia sudah perasan yang banyak juga hukum agama yang Darrel langgar. Sejak berkawan dengan Debbie, sedikit sebanyak Leia tahu juga apa yang diajarkan oleh agama yang dianuti oleh Debbie dan abangnya itu.

"Aku tak tahu. Tapi, dia tak suka orang paksa-paksa dia. Atuk aku pula orang kuat agama. Ayah aku pun. Jadi, bila mereka paksa Darrel untuk jadi 'alim', abang aku memberontak. Masa itu, dia remaja lagi."

"Bagaimana cara dia memberontak?"

"Itu kau kena tanya dia. Ada benda-benda yang aku tak boleh cerita. Tapi kalau dia cerita sendiri, itu maknanya dia percaya pada kau. Ayah aku sengaja wasiatkan ladang ini kepada Darrel. Supaya dia tak buat perkara-perkara yang tak berfaedah itu lagi. Aku rasa tindakan ayah aku tu betul. Tengok Darrel sekarang. Dia dah jadi lelaki yang bertanggungjawab. Aku rasa dia berjaya usahakan ladang ini."

Leia senyum senget. Memanglah usaha Darrel mengerjakan ladang ini mengagumkan. Tapi, Darrel juga menganggap semua wanita cantik sebagai 'ladang' untuknya 'bercucuk tanam'.

"Perangai gatal dia dengan perempuan tu, aku tak boleh komen. Memang susah nak ubah, kut. Tapi tak boleh salahkan abang aku. Dia kacak. Seksi. Ada duit. Kalau dia tak cari perempuan, perempuan yang cari dia."

Leia kembali ke alam nyata. Dia melepaskan nafas perlahan dan melempar pandang apabila terdengarkan bunyi dengkuran kecil. Debbie sudah nyenyak tidur.

Teringatkan perbualan mereka itu, minda Leia cergas bekerja. Dia tidak faham dengan prinsip hidup Darrel. Dia juga tertanya-tanya, apa pekerjaan Darrel sebelum menjadi peladang? Apa perkara-perkara yang tidak berfaedah yang Darrel pernah lakukan?

Setelah lama terkebil-kebil tidak boleh tidur, Leia menurunkan kaki dari katil. Dia membetulkan tudung dan keluar dari bilik. Niatnya mahu membancuh air coklat. Minuman itu dikatakan boleh memudahkan tidur.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 10, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Kontra Yang MenyatukanWhere stories live. Discover now