Bab 7

654 16 0
                                    

Makan malam yang disediakan oleh Matilda untuk Debbie dan Leia ringkas sahaja tapi cukup mengenyangkan. Lobak dan brokoli rebus. Juga filet ikan yang dipanggang bersama herba yang dipetik dari belakang rumah. Matilda juga membuat kentang putar.

"Debbie, kita hanya akan duduk dalam bilik aje ke?"

Ketika sampai tadi, Debbie langsung tidak mengajak Leia melihat-lihat ladang. Mahu meninjau seorang diri, Leia rasa tidak selamat. Ramai sangat pekerja lelaki bertubuh sasa sedang bekerja di ladang. Sekarang pula sudah malam. Apa lagi yang boleh dibuat selain dari mengunyah kacang badam yang dibeli dari supermarket siang tadi. Kata Debbie, orang Yahudi suka makan badam bersama susu sebagai kudap-kudapan.

"Dah malam. Aku malas nak keluarlah. Tapi kalau kau nak baca buku, ada bilik bacaan kat bawah."

"Oh! Bagus tu. Jom, temankan aku." Leia sudah melompat dari tempat duduknya di bucu katil. Dia memandang Debbie yang masih belum berganjak. Masih lagi mengunyah badam sambil mata tertancap pada skrin telefon.

"Pergilah sendiri. Tak susah pun. Tingkat bawah, sebelah dapur." Debbie menunjuk ke arah bilik yang dimaksudkan. Matanya masih pada telefon di tangan yang sebelah lagi.

"Abang kau tak marah ke, kalau aku teroka rumah ni?"

Kali ini barulah Debbie angkat muka dari skrin telefon. "Aku tak pasti abang aku akan balik ke tidak. Mungkin dia bermalam di rumah perempuan yang kita nampak siang tadi."

Leia membeliakkan mata dengan sikap acuh tak acuh Debbie terhadap perangai abang yang kaki perempuan itu. Tapi Debbie sudah tidak memandang reaksi Leia. Dia menumpukan perhatian kepada skrin telefon semula. Melihatkan Debbie memang tidak akan menemaninya ke bilik bacaan dan kawannya itu sudah leka semula dengan telefon bimbit, Leia keluar dari bilik.

Bilik bacaan yang disebut oleh Debbie ialah sebuah bilik yang agak besar. Ada bar yang tersusun minuman keras. Satu set sofa dan satu meja tulis. Seluruh dinding dipenuhi dengan rak-rak buku. Leia membelek tajuk pada buku yang terdapat di situ. Ada buku kesihatan. Ada buku senaman. Ada buku seni bina bangunan. Ada juga buku agama, penanaman jagung dan jentera berat perladangan.

"Semua ada," gumam Leia perlahan. Leia mencapai sebuah buku kesihatan.

Telinganya menangkap bunyi suara. Ada suara lelaki dan suara perempuan. Mereka sedang bergelak ketawa dan usik-mengusik. Dia meletakkan buku itu semula ke atas rak dan berjalan keluar. Belum sempat dia melepasi pintu, dia bertembung dengan Darrel yang sedang memeluk pinggang seorang wanita. Leia mengamati muka wanita itu. Sah! Wanita yang berada di seberang jalan siang tadi.

"Oh, maaf. Aku melihat-lihat saja buku-buku dalam bilik ini."

"Darrel, siapa perempuan ini?"

Leia dan Joan bercakap serentak sambil mata saling memandang. Darrel menyengih saja.

"Helo." Leia menghulurkan tangan kepada Joan. Leia tetamu. Joan juga tetamu. Jadi tidaklah salah untuk berkenalan, walaupun Leia tidak berkenan dengan perangai yang Joan pamerkan siang tadi.

Tapi Joan tidak menyambut huluran tangan Leia. Sebaliknya dia memandang Leia dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas semula.

"Apa dia ni?" tanya Joan sambil mencebik. Nada suaranya menghina. Matanya dilirik kepada Darrel, memohon jawapan.

Leia menjatuhkan tangan sambil terpinga-pinga. Apa maksud 'what is she?'. Dia bukan benda. Bukan juga binatang. Dia manusia. Aih! Takkan mat salih ni cakap broken English, kut. Leia yang bukan orang putih pun tahu kalau untuk orang, guna 'siapa' dan bukannya 'apa'."

"Bukan apa, tapi siapa?" Darrel pula yang membetulkan bahasa Inggeris Joan.

Tersungging senyuman di bibir Darrel melihatkan perubahan wajah Leia. Dia memandang Joan pula. Joan sudah tarik muka masam kerana diperbetulkan oleh Darrel. Seolah-olah Darrel memihak kepada Leia.

Kontra Yang MenyatukanWhere stories live. Discover now