"Kau rasa dia yang bagi bunga tu?" Saja tanya soalan macam tu sebab tak nak Fisha fikir apa-apa.

"Siapa lagi kalau bukan dia."

Betullah tu. Orangnya pun dah mengaku. Tapi malas nak cerita hal yang sebenarnya. Tak nak jadi isu.

Aku buka bungkusan nasi lemak. Tak sabar nak menikmati nasi lemak yang Encik Naufal kata ada nostalgia kami.

Aromanya memang ada tapi rasanya sedikit berbeza. Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya Encik Naufal masih ingat kenangan kami.

Aku makan tak toleh kiri kanan lagi. Mahu kejar masa sama. Selesai makan, Fisha tergesa-gesa bangun sebab dia mahu ke bilik air. Sakit perut katanya.

Aku habiskan makanan dan kemudian buang bungkusan nasi lemak ke dalam tong sampah. Dan bergerak tinggalkan ruang kafeteria.

"Eh, budak HR."

Aku toleh untuk melihat siapa yang panggil aku budak HR. Rosie rupa-rupanya. Ini sekutu Cik Sheila juga ni. Geng akauntan kilang.

"Panggil saya ke?" Aku pura-pura bertanya.

"Sejak bila rapat dengan Encik Naufal?"

Dah agak dah. Salah seorang peminat Encik Naufal dah mula berbunyi. Mesti ada yang perhatikan kami.

"Rapat dengan Encik Naufal? Tak adalah. Biasa aje." Selamba aku menjawab.

"Biasa apa bendanya bila tengok rapat semacam."

Eh, tak puas hati pula dia.

"Awak aje yang rasa kami rapat. Saya rasa biasa-biasa aje."

"Boleh tak jangan nak menggatal sangat dengan dia?"

Ini dah melebih ni. Aku tak boleh terima. Bila masa aku menggatal dengan Encik Naufal?

"Menggatal dengan Encik Naufal? Awak pun bukan tak kenal dengan Encik Naufal tu. Dia mana suka orang menggatal dengan dia. Dia takkan pandang punya. Jadi, janganlah suka buat tuduhan tanpa usul periksa."

Wajah Rosie berubah sedikit.

"Encik Naufal!" Terus aku panggil Encik Naufal yang kebetulan baru keluar dari kafeteria.

"Kau buat apa ni?" Rosie dah gelabah. Ini saja caranya untuk selamatkan diri sendiri.

"Kenapa panggil saya? Ada apa-apa masalah ke?" Seriusnya bertanya.

"Rosie dah salah faham. Dia cakap saya menggatal dengan encik. Boleh tak encik terangkan keadaan yang sebenarnya? Saya menggatal dengan encik ke?"

Ambik kau. Dengan aku jangan cuba main-main.

"Menggatal apa bendanya ni?!" tengking Encik Naufal.

"Bukan, encik. Sebenarnya..." Rosie dah tergagap-gagap.

"Sebenarnya apa? Saya nak tahu juga kisah sebenarnya."

"Ada orang beritahu saya encik dengan budak HR selalu berdua-duaan."

"Orang beritahu awak tu siapa? Saya nak jumpa dengan dia sekarang. Tolong bawa saya jumpa dia."

Aku dah nak gelak. Dia ni kalau bab nak marah orang memang pakar.

"Adalah saya dengar cerita."

"Ya, saya tak kesahlah cerita apa yang awak dengar. Sekarang ni tolong bawa saya jumpa orang tu. Saya nak dengar sendiri dari mulut dia."

Rosie nampak tambah gelabah. Dia juga seperti tidak tahu untuk berbuat apa lagi.

"Apa lagi tercegat? Bawa saya jumpa orang tu sekarang juga!"

Kepada Dia Dengan CintaWhere stories live. Discover now