Bab 7

880 20 0
                                    

KELAM-KABUT aku masuk kawasan kilang. Kalau boleh aku mahu sampai terlebih dahulu. Tapi tidak berjaya bila nampak Encik Naufal berdiri di hadapan keretanya sambil pandang ke arah kereta aku.

Alahai...

"Awak lambat lagi." Dia senyum-senyum. Senyuman lelaki paling menawan di muka bumi ini. Senyuman yang mampu membuat perasaan aku cair.

"Biasa aje..." Jual mahal sikit. Kalau tidak, nampak sangat aku melebih.

Dia angkat bungkusan nasi lemak.

"Saya belanja nasi lemak."

"Susah-susah aje."

"Saya dah jumpa nasi lemak yang jual telur kelapa macam mak cik yang jual depan sekolah kita dulu."

"Encik ingat lagi pasal mak cik tu?"

"Mestilah ingat. Kita kan sama-sama beratur nak beli nasi lemak dia. Hari tu saya terjumpa penjual nasi lemak yang sediakan telur kelapa."

Apalah jadi dengan ingatan aku. Semuanya serba tak ingat. Sedangkan itulah saat-saat manis zaman sekolah.

"Sedapnya..."

Tak sabar nak makan.

"Jomlah."

Kami sama-sama melangkah.

"Semalam saya telefon kawan saya. Manalah tahu mereka kenal dengan encik. Betullah, mereka ingat encik. Mereka pun pernah sukakan encik."

Dia toleh pandang aku sambil kerut dahi.

"Encik siap kirim salam untuk saya lagi."

Dia ketawa dengan kuat. Seperti lucu benar. Kemudian dia angguk. Sampai berair mata dia ketawa.

"Ya saya ingat. Dua orang, kan? Dua-dua sekelas dengan awak. Memang saya selalu suruh mereka sampaikan salam pada awak. Mereka sampaikan ke tak?"

"Sampai."

"Tapi awak buat bodoh aje, kan?" Dia ketawa lagi. Masa itulah aku tampar bahunya. Sah Sue dengan Balqis dah cerita semuanya.

"Baru tingkatan dua, kan? Takkan dah gatal."

Aku buat muka masam dan sambung melangkah.

"Ah! Comelnya awak masa tu."

"Comel apa gemuk macam tu."

"Comel la tu."

Kami sama-sama ke kafeteria.

"Weh, mak cik. Tak nak sarapan dengan kita orang ke?" Fisha panggil. Fisha ni kacau daun betullah. Dah nampak aku nak makan dengan Encik Naufal, sibuk pula panggil.

"Awak makanlah dengan kawan-kawan. Nah, nasi lemaknya." Encik Naufal hulur bungkusan nasi lemak kepadaku. Aku sambut dengan rasa berbelah bahagi. Berbelah bahagi antara nak makan dengan dia atau makan dengan Fisha.

"Terima kasih." Akhirnya aku pilih makan dengan kawan-kawan aku.

"Sama-sama."

Aku berjalan ke tempat yang biasa aku dengan Fisha duduk.

"Maaflah. Bukan nak kacau daun. Tapi takkanlah dah dapat Encik Naufal, aku kau tinggalkan." Fisha ketawa-ketawa. Ini kes tak sanggup nak makan sorang-soranglah ni. Rissa hari ni puasa ganti. Tu pasal bersungguh nak aku makan dengan dia.

"Makan dengan sesiapa pun sama aje. Janji perut kenyang." Aku jawab nak tak nak.

"Dia belikan kau nasi lemak ke?"

"Haah."

"Eh, aku rasakan. Orang yang bagi kau bunga hari tu mesti Encik Naufal."

Aku pandang wajah Fisha. Dah lama tak keluar cerita pasal bunga. Kemudian aku pandang Encik Naufal yang sudah mula menjamah nasi lemak. Dia tak sedar aku sedang perhatikan dia.

Kepada Dia Dengan CintaWhere stories live. Discover now