" Bagaimana tuan hamba menjelaskan sapu tangan ini?" 

Suasana pinggir pelabuhan Teluk Kumbah hingar lagi apabila dengan wajah penuh yakin Megat Awira mengangkat tinggi sehelai sapu tangan berwarna putih dengan sulaman kuntum mawar hijau itu dan segenap pandangan silih berganti diantara helaian sapu tangan yang dipegang Megat Awira dan Kasturi yang sudah tergamam.

Kasturi tidak menafikan bahawa sapu tangan tersebut sememangnya milik anak gadis Saudagar Hassan itu namun ia bukanlah seperti apa yang didakwa oleh Megat Awira. Apabila Puspa Anggrani menggunakan sapu tangan tersebut untuk membebat luka pada lengan Kasturi akibat dilelas oleh kerikil tajam semasa Kasturi terjengkang ke belakang tempoh hari, dia tahu seperti pintasan rasa hati yang tumpul-akan ada hal yang tidak beres ketika itu tetapi dia tidak mampu untuk membantah kehendak Puspa Anggrani.

Dan ternyata telahannya tidak meleset!

" Apa benar sapu tangan ini kepunyaan Puspa Anggrani, Bunda Tun Faridah? "

Tidak ada kata yang terluah melainkan suara tangisan yang pecah dan bahu yang tersengguk-sengguk menahan sedu sementara Kasturi seakan hendak pitam apabila kolar baju tidak berbutangnya direntap kasar.

Sungguh. Demi Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Meletakkan ruas jarinya kepada Puspa Anggrani sahaja dia tidak pernah apatah lagi sehingga membuatkan ada luka besar yang menganga di perut kiri gadis tersebut !

" Mukim ini mukim berdaulat. Sehiris luka yang Saudagar Hassan terima, semukim sakitnya dirasakan. " Penghulu Deraman akhirnya angkat bicara dengan wajah redup dan suasana hingar yang dipenuhi bisikan tidak tentu butir bicara itu mendadak senyap. " Kasturi, apa benar seperti yang dikatakan Megat Awira? "

" Ini semua fitnah belaka, Penghulu. Hamba tahu siapa diri hamba di sini. Bak lukut tepi gantang. Masuk hamba tidak menambah. Keluar hamba juga tidak mengurang tetapi hamba masih waras dan tidak tergamak hendak melakukan hal sedemikian.Lagi pula apa juga kesalahan Saudagar Hassan sekeluarga kepada hamba sehingga hamba membun... "

" Aaaarh!! " Megat Awira separuh bertempik dengan suara kasar dan bengis. "Siapa yang menghantarkan bunga Ratu Malam kepada Puspa setiap malam kalau bukan tuan hamba?  Ada hati gagak hendak terbang sama dengan cenderawasih! "

" Megat!!  Jaga tutur bicara mu! "

" Apa salahkah kata-kata hamba ayanhnda?  Hamba tahu segala-galanya bahkan hamba juga punya saksi. " Megat Awira berlegar-legar dengan wajah yang kemerahan menahan marah " Kiambang..! "

" Hamba, Megat.. " Dari celah keriuhan muncul satu susuk tubuh dan kelihatan takut-takut mengangkat wajahnya.Kiambang.Anak gadis yang menemani Puspa Anggrani kemana-mana.

" Katakan apa yang tuan hamba
lihat! "

" Benar, Penghulu. Hamba melihat sendiri bagaimana Kasturi selalu menyelitkan bunga Ratu Malam di bawah jenang tingkap bilik Cik Puan Puspa Anggrani. Tetapi Cik Puan tidak menyukai hal demikian dan... "

" Kerana dendam maka Kasturi melakukan hal keji begini? 
Betul kan?! "

" Ini fitnah, Penghulu. Hamba
tidak bersalah!! "

Wajah Megat Awira yang menyeringai kejam dihadapan Kasturi adalah wajah terakhir yang dilihatnya sebelum pandangannya menjadi gelap akibat menerima pukulan bertubi-tubi yang hinggap ke setiap ceruk batang tubuhnya. Jerit pekik dan cercaan kasar memenuhi pendengarannya dan setiap kali dia hendak membuka mulut bagi mempertahankan diri, tumbukan-tumbukan kasar hinggap pada sekujur tubuhnya tanpa belas kasihan.

Dalam rasa tubuhnya bagaikan di siat dan di pisahkan daripada segenap sendinya, sinar bulan yang remang-remang menyapa indera penglihatannya ketika itu. Hendak menarik nafas pun tulang-belulang Kasturi terasa bergeser dan setiap helaan nafas menghantar rasa ngilu pada dadanya.

Kasturi tidak cuba untuk bangkit walaupun tahu tubuh remuknya separuh terendam ke dalam air yang tidak dalam dan bonggolan kasar batu-batu yang menunjang tubuhnya dari bawah itu membuatkan Kasturi sedar dia pasti dihumbankan ke Jeram Setapak setelah dikerjakan separuh lunyai.

Dia tidak tahu sudah berapa lama dia terbaring di situ. Dengan sekujur tubuh yang berdarah dan luka di sana-sini, tidak semena-mena dia berharap agar ada kawanan harimau yang menemuinya ketika itu. Jeram Setapak diketahui Kasturi sebagai sebuah jeram di kaki Bukit Tunggal dan terletak sangat jauh dari kawasan permukiman dan desa.Malahan,berita kematian dua orang penduduk yang dibaham harimau semasa keluar mencari rotan dan damar sepekan yang sudah masih sangat baru dirasakan.

Maka, Kasturi sangat pasti dia dihumbankan ke tempat tersebut tidak lain adalah untuk menjadikan dia sebagai santapan sang raja rimba!

Masih terbaring dengan tubuh bengkak dan lebam di mana-mana, Kasturi hanya mampu menatap bulan pucat yang tegak di atas langit itu dengan rasa hati yang kosong. Jika dulu dia gemar sekali menatap bulan itu lama-lama entah mengapa, kini hatinya kosong di mana-mana.

Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena tentang bagaimana Megat Awira berkeras menuduhnya sebagai punca kematian Puspa Anggrani namun siapalah dia untuk menyangkal fitnah tersebut apatah lagi pemuda itu adalah anak tunggal kepada sang kepala desa.

Jika dibandingkan dia dengan Kasturi, memang tidak ubah seperti langit dengan bumi. Bagai sutera dengan belacu. Dengan rupa parasnya begitu, siapa juga yang ingin mempercayai kata-kata lelaki capik buruk rupa nan tidak berayah tidak beribu sepertinya?

Suasana hutan yang dipenuhi bunyi cengkerik dan unggas-unggas malam serta suara kera dan lotong yang sayup-sayup bersahut-sahutan tiba-tiba sahaja senyap sehinggakan apa yang didengari Kasturi hanyalah gemersik air mengalir di celah-celah batu. Angin mendadak keras dan pucuk-pucuk kayu di pinggir jeram tersebut saling berlaga, meliang-liuk dan berbantur sesama sendiri.

Dibawa angin, satu bau yang aneh antara bau busuk dan bau hamis menyerbu hidungnya dan segera dikenali bau itu oleh Kasturi.

Bau Sang Belang!

Sambil menghembuskan nafas, Kasturi tidak berganjak pun dari tempatnya terlentang. Malahan, dia sangat berharap agar harimau tersebut menemuinya maka Kasturi meraba ke dalam air dan sebaik sahaja tangannya menyentuh kerikil yang sedikit tajam, ditorehkan kerikil tersebut ke arah luka di paha kanannya membuatkan darah segar kembali mengalir dan bersatu dengan aliran air yang meluncur perlahan.

Kembali dia meletakkan kepala ke dalam air dan menutup mata. Menunggu pasrah kedatangan sang Belang yang sudah pasti dapat menghidu bau darah Kasturi.

Sungguh. Pada saat dan ketika itu, Kasturi berada pada satu titik paling lemah sepanjang kehidupannya sebagai seorang manusia. Daripada hidup tidak mendapat tempat dimana-mana, kematian adalah penyelesaian terbaik.Kelahiran nya sahaja sudah dianggap sebagai pembawa sial, kewujudannya pula menjadi bahan ejekan dan sindiran dan kini nyawanya seperti di hujung rambut akibat menjadi mangsa fitnah Megat Awira.

Kematian. Penyelesaian terbaik dan akan melenyapkan Kasturi buat selama-lamanya!

" Dendam teragung adalah dengan terus hidup dan bertahan, Kasturi!! "

Sepantas kilat Kasturi membuka mata dan satu susuk tubuh yang tersembunyi di sebalik jubah labuh dan kain penutup kepala itu sedang tunduk menatapnya ketika itu. Walaupun wajah itu berjarak tidak terlalu jauh daripada wajah Kasturi, seluas apapun Kasturi cuba hendak membuka mata bagi menatap wajah di hadapan matanya itu, wajah tersebut tetap sahaja tidak jelas kelihatan. Tersembunyi di sebalik kerudung labuh yang berkibar menutupi seluruh kepalanya.

" Aakkhuu. "

" Kasturi.. "

Suara itu gemersik dalam nada aneh antara halus, kasar dan sedikit garau. Kedengaran kering tetapi serak.Angin sejuk  yang bertiup kasar menjadi perlahan. Alam yang sunyi sepi pecah dengan sayup lolongan anjing entah dari mana.

" Mahukah engkau jika aku tawarkan sesuatu? "

+             +             +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now