Bab 1

2.7K 35 2
                                    

HARI baru. Dan aku pun pakai baju baru yang dibeli hujung minggu lepas. Bila serba baru, semangat semakin berkobar-kobar. Senyuman juga pasti menjadi lebar sama.

Ya, aku sangat-sangat bahagia.

Langit nampak cerah. Nampak ceria serta indah. Alhamdulillah. Masih bernafas dan menikmati hari baru dengan rasa gembira.

Aku kembali memandang bangunan yang tersergam megah di hadapanku. Tempat aku menumpang mencari rezeki lebih kurang tiga tahun lalu. Ini adalah bangunan kilang memproses minyak masak. Dengan erti kata yang lain, aku kerja kilang. Kilang minyak masak milik usahawan bumiputera.

Aku sangat suka kerja di sini. Aku ada kawan-kawan yang baik, ketua bahagian yang baik dan majikan pun baik. Rezeki aku dikelilingi orang yang baik-baik. Bila hati senang, kerja berat pun jadi mudah.

Tapi...

Ada satu perkara lagi yang membuatkan aku sangat suka kerja di sini. Perkara yang buat aku selalu tak sabar untuk datang ke tempat kerja.

Aku sudah jatuh cinta. Sungguh, aku jatuh cinta dengan salah seorang pekerja kilang sejak hari pertama aku bekerja di kilang ni. Dari siasatan awal, dia masih bujang dan kekal bujang selepas tiga tahun aku bekerja di sini. Itulah salah satu sebab kenapa aku tidak bertukar kerja walaupun aku mendapat tawaran kerja yang lebih bagus dengan gaji yang agak lumayan.

Tak mengapa, tak penting itu semua. Yang penting, hati bahagia. Wang ringgit tak mampu membeli rasa bahagia. Aku tetap bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang ini.

Banyak perkara yang pelik di dalam dunia ini. Setiap hari ada saja kejadian luar biasa yang berlaku. Namun bagiku, perkara paling pelik dan sangat susah untuk dicari jalan penyelesaiannya ialah, bila hati mula suka kepada seseorang. Bila tiba-tiba saja tidak boleh lupakan seseorang. Siang malam teringatkan dia. Selalu saja mahu tahu tentang dia. Selalu saja mencuri peluang untuk menatap wajahnya.

Fisha cakap aku dah gila. Tak mengapa, gila aku tak menyusahkan sesiapa.

Salahkah seorang gadis untuk jatuh cinta kepada seorang jejaka? Apakah maruahnya akan berada di paras paling bawah kalau menyukai seorang lelaki? Ah! Pedulikan itu semua. Nak kata apa pun suka hatilah. Ada aku kesah? Janji aku suka. Orang lain peduli apa?

Yang jadi masalahnya sekarang ini ialah bukan soal maruah jatuh atau apa-apa, tetapi aku sendiri yang terpaksa tanggung semua. Itu saja masalahnya. Rasa cukup susah untuk menempuh hari-hari yang mendatang. Rasa seperti tidak cukup ruang untuk bergerak dan rasa seperti tidak cukup oksigen untuk bernafas.

Arrrgh! Sikit hari lagi aku bakal gila kalau perasaan terus-terusan menggila begini.

Aku cepat-cepat kejar Fisha sebaik sahaja nampak rakan sekerja merangkap sahabat paling baik aku sedang susun langkah perlahan menuju ke kafeteria. Aku mahu bersarapan bersama. Tapi sebenarnya ada perkara yang wajib aku lakukan setiap pagi. Kalau terlepas, hidup pasti tidak serupa orang. Lebih parah, tidak boleh buat kerja dalam satu hari. Jadi aku kena cepat.

"Sabarlah, aku baru nampak dia masuk kafeteria tadi," tegur Fisha bila aku tarik tangannya. Aku mahu Fisha berjalan lagi laju. Kalau tidak, mesti Fisha terkedek-kedek macam itik pulang petang.

"Betul?" Menipu kalau aku tak rasa gembira. Gembira gila kut. Perasaan jadi berbunga-bunga bila terkenangkan wajah jejaka seorang itu. Rasa cukup indah dan berwarna-warni. Begitukah yang orang lain rasa bila sudah sukakan seseorang? Ah! Perasaan orang lain tak ada kena-mengena dengan perasaanku, jadi pedulikanlah perasaan orang lain. Yang paling penting, perasaan sendiri harus dijaga terlebih dahulu.

"Hari ni dia pakai baju apa?" Aku tanya lagi. Tak sabar.

"Kemeja kelabu."

"Seluar?" Semangat betul nak ambil tahu semua hal.

Kepada Dia Dengan CintaWhere stories live. Discover now