Untitled Part 1

3 0 0
                                    

      "Ija," makcik Endun mencuit tangan Fariza yang sedang asyik menyembat baju kurung di beranda rumah. 

       Angin petang kampung Lidah Buaya bertiup lembut menyapa wajah Fariza yang kelihatan lebih matang daripada usia sebenar.     

       "Ya, ada apa, mak?" sahut Fariza tanpa mengangkat muka.     

       "Apa benda yang si Haris tu dok membebel dari tadi? Tak berhenti-henti mulut dia sebut perkataan yang sama aje. Dah macam berzikir pulak mak tengok," adu makcik Endun.     

       Fariza baju kurung Johor yang separa siap di atas meja kecil di sebelahnya. Dia menoleh melihat Haris yang sedang asyik menulis-nulis sesuatu di tanah menggunakan sebatang ranting.     

       "Entahlah, mak. Dia kan memang macam itu. Kadang-kadang benda tu dia dengar dari TV atau dari video kat YouTube tu. Kalau benda tu dia suka dia akan ulang-ulang sampai dia bosan. Dah bosan nanti dia berhenti sendirilah," kata Fariza.     

       "Mak bukan apa, mak cuma risau kalau-kalau dia kena kacau ke apa," kata makcik Endun sambil mengusap-usap lengannya seolah-olah berasa sejuk. Padahal cuaca hari itu panas terik. 

       Fariza segera faham apa yang dimaksudkan oleh emaknya itu. Sudah beberapa kali makcik Endun mencadangkan supaya Fariza membawa Haris berjumpa dengan Ustaz Muiz. Walaupun orang tua itu tidak pernah berterus terang, namun Fariza faham. Emaknya masih menyangka anaknya itu ada pendamping, sebab itulah perangainya pelik, tidak seperti kanak-kanak lain.     

       Walaupun sudah diterangkan berkali-kali bahawa Haris mengalami autisme, makcik Endun masih tidak boleh menerima hakikat bahawa cucu bongsunya itu termasuk dalam kalangan orang kurang upaya. Pendapat kolot orang kampung yang mengatakan kanak-kanak itu didampingi jin lebih mudah diterima akalnya berbanding diagnosis rasmi daripada doktor pakar.     

       Fariza bangun. Dia tidak mahu bertelagah dengan emaknya. Dia menyarung selipar dan berjalan mendekati Haris lantas mencangkung di sebelah anak tunggalnya itu di bawah pohon rambutan yang rendang. Tangannya diletakkan di bahu Haris.     

       "Haris buat apa ni?" tanya Fariza.

      "One, two, seven, four, one, two, seven, four, one, two, seven, four." Seperti berbisik, Haris menyebut perkataan-perkataan itu berulang-ulang kali sambil tangannya menguis-nguis tanah dengan ranting. 

       Fariza merenung lorekan-lorekan di tanah. Walaupun tidak jelas, Fariza dapat melihat bentuk yang dilukis oleh Haris. "Oh, Haris lukis kereta. Is this a car?"     

       Haris tidak mengendahkan pertanyaan ibunya. Mulutnya masih terkumat-kamit. "One..Two..Seven..Four..One..Two..Seven..Four," sebutnya berulang-ulang kali.     

       Menyedari dirinya tidak diendahkan, Fariza bangun. Berpinar sedikit matanya kerana bangun terlalu cepat.     

       "Haris, come. Let's go play Lego," ajak Fariza.     

       "Jangan biarkan dia terlalu asyik dengan sesuatu untuk jangka masa yang lama terutamanya jika dia bersendirian. Alihkan perhatian dan ajak dia buat aktiviti yang melibatkan orang lain. Ini sedikit sebanyak akan membantu dia keluar dari dunianya dan mengembangkan kemahiran sosialnya." Pesanan Doktor Hasnah yang memantau perkembangan Haris di Pusat Perubatan UKM sentiasa diingatinya.     

       "Come, Haris. Come! Let's go play Lego," pujuk Fariza sambil menghulurkan tangannya.     

       "Haris, come on! Let's go. Let's go play Lego."     

       Hampir lima minit Fariza memujuk barulah Haris meletakkan ranting ke tanah dan bangun. Dia mengambil tangan ibunya dan berjalan terjengket-jengket di sebelah ibunya menuju ke rumah.     

       "Let's go play Lego," kata Haris sambil tersenyum.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 01, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

1274Where stories live. Discover now