Dijoloki dengan gelaran Si Pembohong, pada awalnya Indah merasakan ibu dan ayahnya serta kakak-kakaknya sangat tidak adil melayaninya sedemikian rupa. Dia tahu Sari bukanlah sahabat imaginasi yang muncul akibat kelainan jiwa seperti yang dikatakan doktor tersebut tetapi Indah memang tidak tahu bagaimana caranya untuk membuktikan bahawa sangkaan mereka selama ini adalah salah sama sekali.

Dari sudut pandang dunia perubatan dia diistilahkan sebagai seorang yang memiliki kelainan jiwa tetapi dari kaca mata kakak-kakaknya, Indah tidak ubah seperti anak kecil yang mencipta pelbagai alasan untuk menarik perhatian kedua ibu dan bapanya namun pada Indah-dia sendiri tidak tahu hendak menisbahkan keadaan tersebut kepada apa. Seiring dengan usianya, lama kelamaan  Indah bukan sahaja boleh melihat Sari tetapi juga kelibat-kelibat lain dengan pelbagai rupa dan bentuk yang kadangkala sangat menakutkan.

Tidak mahu lagi diberikan gelaran aneh seperti gelaran Ahli Sihir yang dikhususkan kepadanya oleh rakan-rakan sebaya semasa berada di zaman universiti dulu, Indah mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan apa sahaja yang dilihatnya termasuklah Sari sendiri.Tanpa ada Sari dan rakan-rakan yang menjauhinya bagaikan mereka sedang melihat makhluk asing, Indah menjadi apa yang ada sehingga kini.Kekok,aneh dan lebih suka bersendirian.

Hanya ketika berada di Bumi Acheh hampir lima bulan semasa terlibat dengan misi bantuan kemanusiaan ke Tanah Rencong Nangroe Darussalam itu barulah Indah mengetahui tentang perkataan Indigo. Satu kebolehan yang amat jarang dan boleh dianggap sebagai tabu dengan kemampuan melihat entiti-entiti halus yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar manusia biasa.

Lahir sebagai gadis Indigo ibarat sumpahan dalam anugerah buat Indah. Berguna apabila berlaku kejadian-kejadian sama seperti yang menimpa dua pelajar asrama puteri itu. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, entiti halus yang jika dulunya disedari Indah tidak memperdulikanya sama seperti Indah yang juga tidak memperdulikan mereka-entah mengapa mulai menghindar sejauh-jauhnya walaupun dia tidak melakukan apa-apa sama seperti sebelum ini.

Dan satu-satunya orang yang tidak pernah menggelarnya yang bukan-bukan adalah datuk dan neneknya sendiri. Jika Indah menghamburkan segala rasanya kepada mereka, datuknya hanya akan tersenyum lalu menyebutkan kalimat yang sehingga ke hari ini masih segar dalam  ingatan Indah.

" ...dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan di lautan,dan tidak ada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya ,( pula)."
( Al-An'aam : 59)

" Indah perlu belajar mencari hikmah disebalik apa yang pada anggapan manusia adalah suatu bentuk musibah. Rahsia-Nya sangat besar. Boleh jadi apa yang dibenci oleh manusia itu adalah apa yang terbaik baginya dan sebaliknya apa yang dicintai dan disukai manusia itu adalah seburuk-buruk kejadian baginya"

Begitu kata datuknya sambil menepuk bahu Indah dengan satu senyuman yang tidak lekang dari ulas bibir tuanya dan demi mendengarkan kata-kata tersebut, dia hanya mampu mengetap gigi menahan amukan rasa yang bercampur-aduk di dalam dadanya ketika itu.

" Tapi, Paknek.. "

" Saidina Ali bin Abi Talib R.A pernah berkata bahawa jangan menjelaskan dirimu kepada sesiapapun kerana mereka yang menyukai mu tidak memerlukannya sementara yang membenci mu pula tidak akan mempercayainya. Dan Indah pula jangan anggap Paknek mengatakan sesiapa yang tidak mempercayai Indah adalah mereka yang benci pada Indah. Apa yang Paknek cuba katakan adalah Paknek tak suka Indah cuba melakukan sesuatu bagi menyenangkan mata orang lain melihatnya sedangkan hati Indah sendiri menolaknya.."

Suara lelaki itu terngiang-ngiang dalam pendengaran Indah dan fikirannya yang bertaburan entah ke mana itu benar-benar membantutkan niatnya untuk melelapkan mata. Lelah berkalih dari kiri ke kanan bagi mencari posisi yang sedikit nyaman agar dia boleh tertidur walaupun sebentar, akhirnya kenderaan tersebut berhenti juga di perhentian bas pekan kecil itu ketika petang mulai menghampiri Maghrib.

+              +             +

Azan Maghrib sudah lama berkumandang tatkala kereta yang dipandu seorang lelaki separuh usia dengan dua orang cucunya yang sudi menumpangkan Indah menekan brek tepat dihujung jalan tidak berturap tersebut.

Selepas mengucapkan terima kasih, Indah menyandang begnya dan melangkah dengan sedikit tergesa-gesa menuju ke arah rumah di tengah sawah itu.Pasti kunjungan mengejutnya akan menyenangkan hati datuk dan neneknya kali itu selain Indah juga memang memasang niat untuk menghabiskan masa senggangnya di kampung sebelum berangkat lagi ke Khovd, Monggolia dua bulan lagi untuk misi kemanusiaan ke penempatan terpencil itu.

Anjung rumah yang terang benderang dengan nyalaan lampu menyambut kedatangan Indah dan bau harum bunga padi dan mempelam yang masih berputik  dibawa oleh angin yang bertiup perlahan memenuhi deria bau Indah. Halaman luas itu senyap sahaja manakala pohon-pohon mempelam dan kelapa gading yang memagari kawasan halaman tegak
dalam rengkuhan malam yang terasa sedikit hangat .

" Assalamualaikum.. "

Dengan suara sedikit mengah, Indah meletakkan beg yang disandangnya ke kepala tangga sambil memberi salam. Menapak empat anak tangga lagi, Indah yang hendak memberikan salam buat kali kedua terhenti apabila pintu berkeriut dan wajah datuknya menyambut salam sambil tersenyum girang.

" Walaikumsalam Indah. Panjang umur orang yang ditunggu tiba-tiba muncul    di depan tangga.. "

Senyuman Indah melebar apabila neneknya yang muncul kemudian mendakapnya kejap tetapi senyumannya kembali surut apabila pandangan matanya bertembung dengan tiga susuk tubuh lain yang serentak pula menatapnya dengan pandangan teduh.

Dalam riak wajah sedikit terkejut, Indah tidak memperdulikan kehadiran tiga lelaki itu kerana dia pernah melihat lelaki yang seorang itu beberapa kali memerhatikannya dari kejauhan. Walaupun hanya sekilas kerana menyedari siapa dia yang sebenarnya,dengan penampilan sebegitu rupa pasti tidak mudah untuk sesiapa pun melupakannya dengan sekelip mata.

Dengan wajah yang sudah dilatih bertahun-tahun agar sentiasa tidak memperlihatkan raut panik berdepan dengan situasi begitu, Indah melangkah pantas sambil menjinjit begnya menuju ke arah dapur.

" Assalamualaikum anaknda"

Suara memberi salam tersebut begitu dekat dan begitu jelas membuatkan langkah kakinya terpaku ke permukaan lantai.Dengan wajah kaku dan mendadak ada rasa dingin yang merambat ke tengkuknya, Indah menoleh perlahan-lahan.

Melihat senyuman yang terukir pada raut wajah ketiga-tiga susuk tubuh itu, kakinya seperti lemah sekali tidak mampu menampung berat tubuhnya sendiri.

" Perkenalkan, Indah. " Datuknya pula mencelah dan ia benar-benar membuatkan Indah seakan hendak tumbang " Sahabat Paknek, Penghulu Paduka Haji. Dan disebelahnya ialah Tun  Indera dan Aduka dari Desa Kuning Gading.. "

+                +                   +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now