Bab 11 - Terlambat

214 28 12
                                    

THAQIF cuma membisu saat Thea meluahkan kegusarannya di hujung talian. Patah demi patah bicara Thea diamati. Minda rancak mencerna fakta-fakta dan logik yang dikemukakan si adik. Sesekali tangan mencatat butiran yang dirasakan penting. Dia sedar, untuk membantu Thea, setiap perkara harus diambil kira. Semua kebarangkalian perlu dipertimbangkan.

"Jadi, Thea betul-betul yakin ini mangsa terakhir?"

"Kalau selama ini tindak-tanduknya berkitabkan Tersingkap Hijab Mimpi, tentu dia akan ikut plot novel tu hingga habis. Dia akan buru mangsa terakhirnya.

Thea kena hentikan tindakan dia, bang. Kalau mangsa-mangsa sebelum ini Thea tak dapat nak selamatkan, Thea kena ikhtiar cari cara untuk pastikan pembunuhan yang satu ini tidak akan berlaku."

"Tidak semudah itu, Thea. How can we go one step ahead to stop this murderer? Kita tak tahu siapa dia... di mana dia sekarang ini atau bila dia akan serang mangsa terakhir."

"Well, jika kita tak dapat nak kenal pasti siapa dia, kita boleh cari siapa target dia yang seterusnya."

"Maksud Thea?"

"Pembunuhan terakhir ini bersifat personal. Kalau ikut buku Thea, mangsa yang dibunuh merupakan seseorang yang dekat dengan watak utama. Seseorang yang sangat disayangi oleh Qaseh." Berat kedengaran nada Thea menjelaskan mengenai perkara itu.

"Seseorang yang dekat? Jadi, kalau kita apply dalam situasi sekarang. You were saying that, the next person... I mean... pembunuh tu akan target seseorang yang Thea sayang?"

Thea diam. Dia tahu dia tidak perlu mengiakan atau menidakkan. Thaqif faham apa yang dimaksudkannya.

"Thea, abang nak Thea lebih berhati-hati. We'll talk about this later. I'll come to you." Janji Thaqif sebelum memutuskan panggilan.

Thea menapak longlai ke jendela. Tingkap bilik dibuka luas. Membiarkan angin segar masuk menerobos ruang, memupuk tenang minda. Lama dia melempar pandang ke luar. Fikiran direlakan menerawang jauh. Dia perlu memintas langkah si pembunuh. Menggagalkan rancangan kejamnya.

Deheman Uzayr memaksa Thea berpaling. Sebaris senyuman dizahirkan seikhlas mungkin agar kerisauan berjaya dipadamkan dari tampang muka.

"Sayang, are you OK?" soal Uzayr datang mendekat.

Thea mengangguk.

"Should I worry about you?" Tubuh si isteri ditarik rapat ke arahnya.

Kali ini Thea geleng. Kedua-dua belah tangan merangkul leher Uzayr. "Thea cuma perlukan abang sentiasa berada di sisi Thea. Semua yang berlaku ni buat Thea takut sangat. Tolong jangan tinggalkan Thea ya," bisiknya seakan merayu.

Uzayr tersenyum. "I won't." Dia mendakap Thea penuh kasih. "Abang akan sentiasa ada di samping Thea," jaminnya.

"Jom kita makan. Abang dah masak nasi dan panaskan dendeng daging yang mama kirim. Dari semalam Thea teringin, kan?"

Thea meleraikan pelukan. "I love you so much, abang." Pipi kanan Uzayr dicium mesra.

"I love you more, sayang."

CELARU. Thea buntu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia umpama terperangkap dalam dunia pelbagai dimensi. Pada saat dia merasakan yang dia berjaya menjejak jalan keluar, dia sebenarnya semakin jauh tersesat.

Dia sedar dia sedang berada dalam salah satu episod mimpi peliknya. Meskipun lemas kian merenggut tangkai kewarasan, diikutkan sahaja rentak minda bawah sedarnya. Sekali lagi, seperti beberapa malam sebelumnya, dia 'dibawa' menyaksikan setiap pembunuhan yang telah berlaku. Satu demi satu. Seolah-olah dia berada di setiap tempat kejadian. Seolah-olah dia rakan subahat yang membantu melancarkan misi menamatkan nyawa oleh si dalang durjana.

Somnambulis (Tamat)Where stories live. Discover now