Bab 10 - Keliru

182 24 11
                                    

INTUISINYA kuat meyakinkan diri agar mengikut jejak darah yang bertompok-tompok di atas lantai. Jejeran darah itu akhirnya membawa Qaseh ke sebuah pintu. Nekad, dia memberanikan diri membuka daun pintu besar yang diperbuat daripada kayu mahogani itu. Semerta bau hanyir darah menerpa indera bau.

Dia tidak perlu sebarang kepastian untuk mengesahkan bahawa sekujur tubuh yang kejung kaku berlumuran darah di atas ambal ialah Detektif Chua. Meskipun wajah mangsa bengkak-bengkil, diselaputi darah, dilatari kesan-kesan lebam, dia yakin itu memang Detektif Chua.

Pandangan dikelintar ke sekeliling bilik. Dia tidak dapat mengagak apa barang peribadi milik Detektif Chua yang diambil si pembunuh sebagai 'trofi' kenang-kenangannya. Segera Qaseh mencari tanda signifikan yang ditinggalkan.  Seperti pembunuhan-pembunuhan sebelumnya, tiga kelopak bunga teluki merah diletakkan di atas meja.

Tanpa gagal, sepatah demi sepatah bahagian novel yang ditulisnya berjaya diimbas di kepala. Imbasan itu jadi jelas. Semakin nyata. Malah, visual yang kini mendominasi kotak minda benar-benar mengganggu ketenteraman Thea.

100 peratus sama. Mayat di atas ambal. Kecederaan parah di wajah. Tiga kelopak teluki merah. Cuma mangsa kali ini bukan Detektif Chua. Mangsa di dunia sebenar ialah Detektif Halim, detektif yang ditugaskan untuk menyiasat kes pembunuhan bersiri Tersingkap Hijab Mimpi.

"Thea? Thea? Thea masih di sana?" Kedengaran suara Thaqif sedikit keras memanggilnya di hujung talian.

"Ya."

"Thea okey tak ni?"

Diam. Soalan itu sudah tidak relevan untuk situasinya sekarang. Panggilan telefon daripada Thaqif yang memaklumkan kematian Detektif Halim membuatkan setiap zarah emosinya jadi neutral. Hati ibarat kebas. Kalis rasa. Air mata telah kering. Teriakan yang dilontar bisu tanpa suara. Dia tidak tahu untuk mempamerkan reaksi apa lagi.

Setiap satu yang ditulis bertukar menjadi hakikat tragis. Ini bukan magis. Dia bukan pemilik pen ajaib seperti dalam cerita dongeng, miliki kemampuan menjelmakan apa yang ditulis ke alam nyata.  Atau satu sumpahan? Kalau ini satu sumpahan, apa harga yang perlu dibayar untuk menamatkannya?

Serasa diri dalam keadaan terawang-awang, mata tertunak keras pada dinding. Dinding yang dahulu kosong tetapi kini dipenuhi dengan tampalan-tampalan yang saling berkait. Semua berita kematian, gambar mangsa dan maklumat-maklumat yang dirasakan dapat membantu dia menoktahkan siri pembunuhan kejam itu dilekatkan di situ.

"Berhenti tenung murder board kau tu. Sekarang aku rasa kau kena baca cara penjenayah tu berfikir."

Thea berpaling. Wajah Delila yang bersandar di tepi pintu ditenungnya.

"Huh? Maksud kau?"

"Berfikir macam si pembunuh."

"Tak semudah itu, Del. Kita tiada klu langsung siapa pembunuh psiko ni. Macam mana kita nak agak apa yang ada dalam fikiran dia. Susah. Mustahil!" keluh Thea.

"Memang susah tetapi tak mustahil. Jawapan ada pada kau."

"Pada aku?"

"Maksud aku ... novel kau."

"Novel aku?"

Delila angguk. Novel Tersingkap Hijab Mimpi yang sedia ada di atas meja ditolak ke arah Thea.

"Aku dah baca dari kulit ke kulit, Del. Aku rasa aku dah hafal novel ni. Aku ingat setiap apa yang aku tulis. Apa yang aku sesalkan, aku masih gagal dapatkan jawapan ... siapa dia sebenarnya? Kenapa dia boleh tegar ragut nyawa orang lain? Dia masih bebas di luar sana, Del. Mungkin sedang sibuk merancang pembunuhan seterusnya."

Somnambulis (Tamat)Where stories live. Discover now