Negatif. Tidak ada beza dengan bulan-bulan sebelumnya. Dia tidak hamil. Dia masih belum hamil.

Thea mengeluh.

Uzayr yang kebetulan baru masuk ke bilik air untuk mandi ternampak apa yang dilakukan olehnya. Melihatkan riak wajah Thea, mendengarkan keluhan kecewanya, sang suami tidak perlu meneka apa-apa. Sedia maklum berapa garis yang terpapar pada alat penguji di tangan Thea.

Perlahan Thea dirapati. Tangan kekarnya melingkari pinggang lalu tubuh Thea dipeluk dari belakang. "Keluhan itu untuk apa, sayang?"

Saat suara Uzayr menyapa deria, air mata Thea tumpah. Dia berpaling. "Maaf, abang. Kita tak mengandung," luahnya seraya membenamkan wajah ke dada Uzayr.

"Haid Thea lambat bulan ni. Thea ingat ...." Bicara tertangguh dek esak tangis.

" ... tapi rupanya hanya tanda palsu!" ratap Thea bertingkah sendu. Uzayr mengeratkan dakapan. Rambut Thea dibelai lembut.

"Allah tahu apa yg terbaik untuk kita. Apa yang kita mahu tidak semestinya itu yang kita perlukan. Mungkin dengan keadaan kita yang dua-dua sibuk sekarang, Dia tahu kita belum bersedia."

Perlahan-lahan tangis Thea reda.

"Lagipun, Allah nak beri peluang untuk abang supaya boleh terus manja-manja dengan isteri abang ni. Dapat kita pergi bulan madu lagi." Ceria suara Uzayr memujuk.

"Maksud abang?" Mata yang merah berkaca menatap wajah si suami.

"Kita pergi bercuti, sayang. Hanya kita berdua. Jangan fikir tentang kerja. Jangan fikir tentang anak. Bila tiba masanya baru kita fikir semua itu."

Thea membisu. Kedua-dua bahunya dipegang lembut oleh Uzayr.

"Percayalah. Kita akan lihat wajah anak kita bila tiba masanya. Usah berburuk sangka dengan Allah. Buat masa ni, kita nikmati kesempatan berdua-duaan yang ada." Hidung Thea dicuit manja. Kemudian, sebuah ciuman kasih didaratkan di dahi isteri.

Mendengarkan kata-kata sang suami, akhirnya Thea melarik senyum.

* * *

PERBUALAN antara dia dengan Thea telah lama tamat. Uzayr masih duduk memanggung kepala. Ada sesuatu pada ekspresi Thea yang merunsingkannya.

Dia tahu meskipun Thea sehabis baik cuba berselindung, dia tetap dapat mengesan mendung di sebalik sinar wajah isteri. Isu anak masih menakluki minda suri hatinya. Thea walang hati kerana harapan untuk merasa keajaiban indah mendiami rahimnya belum menjadi realiti.

Tiga tahun berumah tangga, sudah pasti mereka berdua mengimpikan kehadiran cahaya mata  sebagai penyeri kehidupan bersama. Namun, rezeki bergelar ibu dan bapa belum tersurat milik mereka.

Pemeriksaan kesihatan komprehensif termasuk ujian tahap kesuburan telah dibuat. Uzayr memanjat syukur. Tiada masalah baik di pihak dirinya mahupun Thea.

Uzayr reda. Mustahil dia tidak mahu pengiran kecil melatari hari-harinya. Cuma Sang Pemilik Nyawa menangguhkan kegembiraan yang satu itu. Tunggu sahajalah hingga detiknya tiba. Bila masa dan ketika, semua dalam rangkuman kuasa Yang Maha Mengetahui.

Berbanding diri yang dilentur supaya pasrah dan lebih tenang, Thea, si isteri sering tertekan. Setiap kali melihat bayi atau anak kecil, Uzayr dapat melihat satu bentuk kerinduan yang tidak berpenamat melalui sepasang matanya. Saban bulan, apabila ujian alat pengesan kehamilan gagal menunjukkan khabar gembira, Thea akan bersedih. Bermuram sehari dua.

Dek kasihankan Thea, Uzayr pernah menyarankan agar mereka mengambil anak angkat. Dia boleh berbincang tentang hal itu dengan Haji Daud. Beliau merupakan pengetua Rumah Anak-anak Yatim Cempaka yang biasa mereka kunjungi pada hujung minggu seandainya tidak sibuk.

Thea enggan. Bimbang tidak berlaku adil atau gagal melaksanakan tanggungjawab mengasuh anak yatim sebaiknya. Dia tidak mahu menganiaya anak-anak pilihan Allah. Dia tahu mandatnya terlalu besar. Bukan calang-calang!

Uzayr mencapai komputer riba lalu mencari laman web kedai bunga yang ada di sekitar Melaka. Dia ingin menghantar sejambak bunga kepada, Thea. 'Abang harap kuntuman-kuntuman ini akan ceriakan sayang.'

Sejambak karangan bunga teluki berwarna merah pekat dipilih buat si isteri

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Sejambak karangan bunga teluki berwarna merah pekat dipilih buat si isteri. Bunga teluki membawa simbolik rasa rindu. Teluki merah pekat pula melambangkan cinta dan kasih sayang yang amat mendalam. Setelah berpuas hati dengan pilihannya, dia melangsaikan transaksi atas talian. Di ruangan mesej untuk si penerima, Uzayr menaip:

Setiap kali Thea tinggalkan abang, sebahagian  daripada hati abang sentiasa ikut Thea, bersama Thea ke mana pun Thea pergi. Tolong pulang dengan cebisan hati abang secepat mungkin. Abang terlalu rindu.

Sejujurnya, dia tidak mahu Thea terus tertekan menggalas rasa terbeban. Satu perkara yang dikhuatiri Uzayr, dia bimbang andai episod mimpi-mimpi buruk menghantui Thea semula.

NOTIFIKASI Whatsapp yang masuk bertubi-tubi menggesa Thea agar bersiap segera. 'Ni mesti si Kim ni,' bisiknya sambil mula menyolek wajah di hadapan cermin tanpa memeriksa telefon.

Serentak itu, lirikan mata menangkap aksesori pakaiannya yang tersusun di atas meja. Cincin, gelang tangan dan kerongsang.

Pelik. Thea berfikir sejenak. Tangan yang sibuk merias wajah terhenti seketika. 'Bukan semalam aku tinggalkan atas meja kopi ke? Bila pula aku susun dan kemas di sini?'

Ingatannya samar-samar. Malah, malam semalam, dia langsung tidak sedar bila dia terlelap. Tahu-tahu sudah pagi!

Thea mengemaskan solekan. Belakangan ini, dia terlalu penat memenuhi tuntutan rangka promosi novel baharu. Sekejap ke sana, sekejap ke sini. Suntuk masa untuk diri sendiri.

Dia perlu berehat. Teruk sangat keadaannya sampaikan dia sendiri tidak ingat apa yang dibuat! Memang masa yang tepat untuk dia dan suami pergi bercuti.

Bali. Mengenangkan destinasi yang turut dikenali sebagai Pulau Dewata itu, Thea tersenyum sendiri.

Somnambulis (Tamat)Where stories live. Discover now