BAB 2: Rindu dan Cinta

715 17 0
                                    

Wasim duduk agak rapat dengan peti sejuk di sisi kirinya. Skrin telefon pintar dihadapkan ke wajah, sambil kedua-dua telinganya disumbatkan dengan fon kepala. Skrin tersebut sedang mempaparkan gambar Zulaikha dengan perkataan 'calling' tertera di bawahnya.

"Ayah!" Suara anak sulungnya, Raihani kedengaran kuat sebaik sahaja panggilan bersambut. Paparan imej Zulaikha tadi telah berubah menjadi paparan video, dan kelihatan jelas Raihani dan Fahmi sedang kegembiraan memenuhi ruang, sedang Zulaikha menggendong Hasnah di belakang.

Wasim tersenyum.

"Raihani, Fahmi, sihat?"

"Kami sihat!" Fahmi meningkah segera sebelum Raihani dapat menjawab soalan tersebut.

"Ayah pergi mana?" Raihani bertanya.

"Haah, dah lama ayah tak ada." Fahmi memuncungkan bibir.

Entah mengapa bicara Fahmi itu membuatkan jiwanya disapa sebak. Walhal dia bukanlah ayah yang rapat dengan anak-anaknya. Wasim banyak menghabiskan masa di dalam bilik kerja. Walaupun hanya bekerja di rumah, dia kurang meluangkan masa bersama anak-anak. Hatta menghantar anak-anak ke sekolah pun, dilakukan oleh Zulaikha.

Tetapi tidak sangka, kehadirannya yang sedikit itu, amat dirasai oleh anak-anaknya, sehingga kehilangannya dapat disedari mereka.

"Ayah pergi Haji, sayang."

"Haji?" Raihani dan Fahmi bersuara serentak, saling berpandangan sesama mereka.

Kedua-duanya masih terlalu kecil untuk mengetahui apa itu ibadah Haji.

"Haji itu ibadah sayang, macam solat." Zulaikha mencelah.

"Kalau macam solat, kenapa Ayah tak buat di rumah sahaja?" Raihani mengerutkan dahi. Anak cilik itu seperti mengerahkan otaknya untuk berfikir. Membuatkan Wasim tertawa kecil.

"Haji ibadah yang kena buat di satu tempat bernama Makkah."

"Makkah?" Fahmi pula menyambut maklumat tersebut dengan nada yang jelas tertanya-tanya.

"Ayah kena berada di sini selama 50 hari." Wasim menjawab. "Lama."

"Iya? Tak seronoklah, Ayah tak ada." Raihani memuncungkan bibir.

Wasim tersengih. Terdetik di dalam hatinya, jika dia ada pun, apa yang seronok sebenarnya? Tetapi pada kali ini, dia mula menyedari betapa anak-anaknya sangat merasai dan menghargai kewujudan dirinya selama ini. Adapun dia, acuh dan tidak acuh sahaja dengan kehadiran anak-anaknya.

"Okay semua, siap-siap masuk tidur." Zulaikha bersuara. "Bagi flying kiss pada Ayah."

Raihani dan Fahmi segera melakukan aksi ciuman terbang, membuatkan Wasim tertawa. Spontan Wasim turut membalas dengan perbuatan yang sama. Kemudian Raihani dan Wasim menghilang dari skrin.

Kini hanya ada Zulaikha dan Hasnah yang sedang tidur di pangkuannya.

"Sudah pukul berapa di sana?" Wasim bertanya. Melihat Hasnah yang sudah tidur, dia menjangka sudah melebihi pukul 10 malam waktu Malaysia.

"10.30 malam." Zulaikha menjawab sambil wajahnya dihiasi senyuman.

"Macam mana di sana Sayang? Orang lain ada Facebook, instagram, kongsi pengalaman di sana. Sayang tak aktif itu semua."

Tetamu Tuhan 50 HariWhere stories live. Discover now