BAB 1: 50 Hari

954 24 0
                                    

"50 hari?" Mata Wasim terbelalak di meja dapur. Dia yang melihat layar tangkap pada skrin telefon pintar, yang mempaparkan surat rasmi daripada Tabung Haji, mengesat matanya beberapa kali, mengharapkan penglihatannya silap.

Tetapi benar, 50 hari. 2hb Ogos bertolak, 20hb September pulang.

"Alhamdulillah. Untungnya!" Zulaikha di belakang sedang menggendong Hasnah, dilihat tersenyum lebar.

Surat rasmi ini belum lagi tiba ke rumahnya. Wasim menerima paparan layar tangkap ini daripada Zulaikha, yang menerimanya daripada seorang rakan baik, pekerja di Tabung Haji.

"Apa yang 50 hari?" Kedengaran suara seorang lelaki, sedikit garau. Keluar dari balik dinding ruang tamu, seorang lelaki berpakaian kasual, rambut sudah mula dijajahi uban, tetapi wajah masih kelihatan awet muda dengan susuk tubuh yang kemas.

Haji Abdurrahman. Bapa kepada Wasim.

"Wasim sudah dapat maklumat penerbangannya, Abah."

"Iya?" Kedengaran pula suara Mak mencelah. Mak kemudian muncul dan bergerak melepasi Abah, terus mengambil tempat duduk di sisi Wasim. Telefon pintar Wasim dicapai dan Mak tekun membaca layar tangkap yang terpapar.

"MasyaAllah, alhamdulillah. Tahniah." Mak merangkul Wasim, dan pipinya dikucup.

"50 hari seronok tu." Abah menambah.

"Seronok?" Wasim berkerut. "Lama tu 50 hari. Ish, Wasim tak boleh pergi lah. 50 hari tu hampir dua bulan lamanya. Macam mana dengan perniagaan Wasim? Rugilah." Wajahnya durja. Sebelah tangan mengusap rambut sendiri sebelum menggaru kepala yang tidak gatal.

Wasim jelas serabut dengan berita yang diterimanya.

Bertubi-tubi mindanya dihentak dengan pelbagai persoalan dan jangkaan keadaan.

Dia bukan tidak tahu kemampuan dirinya. Bagaimana dia tidak selesa bergaul dengan orang ramai yang tidak dikenali. Apakah dia akan mampu hidup 50 hari di Tanah Suci kelak? Memikul tanggungjawab besar menunaikan Rukun Islam yang kelima?

Dia tahu akan jawapanya.

TIDAK MAMPU!

"Wasim minta batal sahajalah. Wasim tak mampu Mak, Abah." Wasim memandang Mak di sisinya, kemudian pandangannya mendarat kepada Abah.

Abah sekadar tersenyum. Kemudian menggeleng. "Wasim, Wasim. Inilah peluang. Orang lain berharap sangat dapat pergi, kau dapat pergi. Orang lain berhempas pulas mengumpul wang, engkau sudah ada wang yang cukup untuk pergi."

"Wang milik Mak, bukan saya."

"Itulah yang patut engkau syukuri. Ramai lagi orang yang tidak mendapat peluang yang sama. Ada orang sampai jual tanah semata-mata nak cukupkan duit untuk menunaikan Haji."

Wasim terdiam.

Tiba-tiba dia dapat merasakan yang bahunya dipegang erat. Tubuhnya dirapatkan ke jasad Mak. Mak memeluknya dengan sebelah tangan.

"Wasim. Mak hanya nak yang terbaik untuk engkau, Nak."

Wasim memandang Zulaikha, seakan meminta bantuan. Dia tersepit di antara Abah dan Mak. Zulaikha hanya tertawa kecil sambil menepuk-nepuk Hasnah. Bukan senang hendak melihat Wasim seperti dimanjakan sebegini.

Tetamu Tuhan 50 HariWhere stories live. Discover now