Bab 10

16K 48 1
                                    

Wajah Aufiya yang jelas gembira menyakitkan hati Zureen sebenarnya. Namun dia perlu berlagak seolah-olah dia juga turut gembira dengan perkahwinan sahabatnya itu.

Kad yang ditunjukkan Aufiya tadi dipegangnya kuat-kuat. Berbulu mata melihat kad jemputan perkahwinan Aufiya yang indah ditulis dengan tinta berwarna emas.

"Kau jadilah juga nak kahwin dengan Si Taufik tu?" tanya Zureen. Terbeliak mata Wina yang mendengarnya.

"Eh, kau ni! Soalan langsung tak agak-agak. Kawan tu dah bertunang masuk setahun kut, takkanlah tak mahu kahwin? Persiapan pun dah buat, dah siap. Cuma tunggu kad diedarkan, majlis dilangsungkan aje. Entah apa-apa jugalah soalan kau ni tau!" marah Wina.

Dia pula yang terasa sakit hati dengan soalan yang diajukan Zureen, sedangkan wajah Aufiya tenang-tenang sahaja.

"Aku tanya Fiya, bukan tanya kau. Sibuk aje! Kau tu pun bertunang dah nak masuk setahun juga, tapi tak ada pun dengar khabar yang kau dengan Zarul nak kahwin. Atau kau dengan dia nak bertunang sampai tua?" Sempat Zureen melemparkan sindiran pedas. Matanya menjeling tajam. Dasar penyibuk!

"Sudah, sudah! Kau berdua ni, asal berjumpa aje mulalah bertekak. Macam manalah kalau aku dah pindah keluar dari rumah ni nanti? Mahu bergasak agaknya."

Wina menjeling. Zureen mencebikkan bibirnya.

"Ya. Aku nak kahwin dengan Taufik juga, Zureen. Tak kira. Apa pun jadi, aku tetap nak kahwin dengan dia." Soalan Zureen tadi dijawab Aufiya dengan nada berseloroh. Tidak mahu kedua-duanya terus bermasam muka hanya kerana dia. Perangai macam budak-budak!

"Aku bukan apa Fiya, lelaki zaman sekarang ni bukannya boleh percaya sangat."

"Habis tu takkan kau nak suruh aku kahwin dengan perempuan pula?" Aufiya menjegilkan matanya. Zureen ketawa kecil. Ya tak ya juga! Apalah aku ni.

"Apa-apapun, aku harap kau berbahagialah dengan Taufik tu nanti. Erm... Aku juga yang masih keseorangan. Oh jodohku, ke mana sahajalah kau sesat ni? Aku ada dekat sini. Cepatlah kau sampai, wahai jodoh."

Wina menyiku perut Zureen. Zureen membalas dengan menepuk paha rakannya itu. Akhirnya mereka sama-sama ketawa.

Hesy, tadi macam nak bertarik rambut. Sekarang bukan main lagi bergelak ketawa. Aufiya menggelengkan kepalanya.

"Jodoh kau tengah sesat dekat hati orang lain kut. Takut nak dekat sebab kau garang sangat." Wina mengulas.

Zureen menjuihkan bibirnya. Bila masa pula dia garang? Dia cuma bersikap tegas kerana tidak mahu ada yang mengambil kesempatan. Serik ditipu oleh bekas teman lelakinya pun masih belum hilang lagi walaupun perkara itu sudah hampir dua tahun berlalu.

"Pandailah kau! Eh, aku serius ni. Kau dengan Zarul bila lagi?"

Wina mengeluh. Soalan inilah yang paling tidak seronok untuk dia dengar.

"Jangan tanyalah! Malas aku nak jawab sebab aku tak ada jawapannya."

"Itulah, cari lagi lelaki yang sejuk beku macam tu. Nak bercakap pun macam ada emas segumpal dalam mulut. Serius memanjang!" komen Zureen. Langsung tidak dipedulikan hati Wina yang terasa bila tunangannya dikata orang.

"Dia okeylah! Kau ni..." tingkah Aufiya.

Zarul tidaklah seteruk itu orangnya. Walaupun tegas dan agak serius perwatakannya, namun lelaki itu jika kena pada masa-masanya murah pula dengan senyuman.

"Kau bukan selalu berurusan dengan dia, Fiya. Aku ni selalu menghadap dia terutamanya bab-bab pembekal. Kalau dia dah kata hitam, kau jangan berani beri cadangan kelabu tahi anjing. Percuma aje dia bertempik dekat kau nanti."

SEADANYA AKUWhere stories live. Discover now