Bab 7

15.8K 52 0
                                    

"Wina dah setuju."

Zarul buat-buat tidak dengar. Terus menyuap nasi masuk ke dalam mulut.

"Kamu dengar tak ni, Zarul? Wina dah setuju nak teruskan majlis perkahwinan kamu. Tak ada tangguh-tangguh. Nanti, kita pergi ke rumah pak usu dan mak usu Wina ya, bincang tentang majlis tu."

"Uhuk!" Zarul tiba-tiba tersedak. Laju Wina yang berada di sebelah menghulurkan air. Rakus Zarul menyambar. Digogoknya air sehingga habis segelas.

"Kamu ni dah kenapa? Makan tu hati-hatilah sikit. Janganlah gelojoh sangat. Buatnya terlekat tulang ikan ni macam mana? Ke hospitallah kamu jawabnya."

Wina menggaul nasi yang berada di atas pinggan perlahan. Dia dapat mengagak, bukan kerana gelojoh yang menyebabkan Zarul tersedak, tapi...

"Kenapa tiba-tiba aje ni?" Merah mata Zarul dek tersedak tadi. Peritnya masih lagi terasa di tekak.

"Apa yang tiba-tiba?" Puan Kartina bertanya sambil matanya mengerling ke arah Wina yang kelihatan hanyut dalam dunianya sendiri.

"Tentang soal kahwin itulah. Kenapa tiba-tiba pula mak timbulkan perkara tu? Kan saya dah beritahu sebelum ni, saya dengan Wina nak tangguhkan dulu majlis kami tu. Sekarang ni kami sibuk sangat dengan kerja. Tak sempat nak berbincang apatah lagi nak buat persediaan."

"Tiba-tiba apanya pula? Kamu bertunang bukan sebulan dua tahu? Dah masuk dua belas bulan. Takkanlah kamu nak bertunang selama empat puluh bulan baru nak fikir soal kahwin? Kerja ni Zarul, tak akan pernah habis. Kerja tu kerjalah, kahwin tetap kahwin. Emak dah tanya Wina tadi, dia okey aje. Kamu tu yang banyak sangat alasannya. Kamu tak payah susah tentang soal persediaan majlis tu. Kamu serahkan aje pada emak. Kamu sediakan diri kamu tu aje."

Zarul terdiam. Sempat dia menjeling ke arah Wina di sebelah. Padanlah beria nak ikut aku balik kampung sangat. Ada udang di sebalik batu rupa-rupanya. Hati Zarul mula menuduh.

"Kamu tak payah nak jeling-jeling Si Wina tu. Semua ni rancangan emak. Wina pun mengikut aje. Nak suruh kahwin pun payah!"

Wina mengangkat muka apabila terdengar namanya disebut. Aduh! Matilah lepas ni mahu berhadapan dengan Zarul.

"Assalamualaikum..."

Puan Kartina dan Zarul saling berpandangan. Siapa pula yang datang bertandang tengah-tengah hari buta begini?

"Siapa pula yang datang waktu-waktu orang makan tengah hari ni?" Puan Kartina bertanya, lebih kepada dirinya sendiri.

"Emak duduk. Teruskan makan. Biar Zarul yang pergi tengok."

Puan Kartina duduk semula setelah disuruh Zarul.

Wina menarik nafas lega. Tentu janggal kalau dia ditinggalkan berdua dengan Zarul di meja makan ini setelah apa yang berlaku tadi.

Tidak lama kemudian terdengar suara Zarul bercakap-cakap dengan seseorang. Puan Kartina mengerutkan dahinya.

"Siapa yang datang tu, Zarul?" Panjang lehernya cuba mengintai wajah tetamu yang tidak diundang itu.

"Hadi, mak," sahut Zarul separuh melaung.

"Ajaklah dia masuk. Mari makan sekali," balas Puan Kartina.

"Sepupu Zarul. Anak saudara mak cik," beritahu Puan Kartina kemudiannya kepada Wina yang kelihatan terpinga-pinga.

"Oh..." Wina mengangguk. Mula terasa sedikit kurang selesa dengan kehadiran orang lain di rumah itu.

Kedengaran suara yang saling bertingkah itu semakin hampir dengan tempat duduknya.

"Maaflah, mak alang. Kebetulan lalu tadi. Itu yang langsung singgah."

"Kamu kalau tak kebetulan, tak adanya nak datang ke rumah mak alang ni. Mari, Hadi. Langkah kanan kamu hari ni," ajak Puan Kartina beria-ia.

Lelaki yang dipanggil Hadi itu akhirnya mengambil tempat di sebelah Puan Kartina. Wina pula masih tidak panggung kepala dari tadi.

"Wina, kenalkan. Ini sepupu Zarul, Hadi. Hadi, inilah tunang Zarul, Wina. Kamu tak ada masa majlis pertunangan mereka dulu kan, Hadi? Sibuk nak bercuti ke Sepanyol masa tu."

Barulah Wina mengangkat muka. Matanya dengan Hadi saling berbalas pandang. Kedua-duanya tiba-tiba kelu tidak bersuara. Dada masing-masing berdegup kencang.

Peluh merenik di dahi Hadi tidak semena-mena. Wajah Wina ditatapnya tidak berkelip. 

SEADANYA AKUWhere stories live. Discover now