BAB 6

1.3K 31 22
                                    


HARI ini Aliza bekerja shif petang. Jika shif petang secara automatik dia akan balik ke rumahnya yang terletak di Kampung Jabi, Batu Kurau pada pukul sepuluh malam. Dari pekan Kamunting menuju ke Kampung Jabi mengambil masa setengah jam juga untuk sampai rumah . Kekadang lebih lama lagi, bergantung kepada kadar kecekapannya mengendalikan motosikal . Kalau laju dia memecut, maka cepatlah sampai. Sebaliknya kalau tangan hanya santai-santai memulas pemegang , alamatnya lambatlah dia untuk naik berehat di bilik kesayangannya .

Suasana malam gelap gelita. Lebih gelap dari selalu kerana hari hendak hujan. Semasa Aliza menyarung topi keledarnya di sebelah motosikal, hujan dah mula turun. Rintik-rintik . Aliza mendongak muka ke langit yang mula menangis. Terasa rintik-rintik hujan yang jatuh mengena pipinya. Hurm. Dia kena balik juga. Sampai bila nak tunggu hujan berhenti ? Sampai pagi esok pun belum tentu hujan akan berhenti. Daerah Taiping dan Larut Matang ni memang tempat langit selalu susah hati. Selalu saja menangis , membasahkan tanah bumi dengan air matanya.

Tanpa berlengah lagi , Aliza terus memulakan perjalanannya menuju ke pekan Batu Kurau. Hujan yang rintik-rintik tadi , sudah sedikit menderas. Aliza tak hiraukan. Bukan pertama kali dia mengharung hujan untuk datang dan balik kerja. Selalu.

Jalan yang basah dan licin menyebabkan Aliza tidak dapat merempit. Kereta yang lalu lalang bukan penghalang kerana dalam waktu yang macam ni, jalan memang sunyi. Pemandu kereta pun malas keluar. Semuanya lebih suka berhibernasi dalam rumah.

Perlahan motosikal Aliza melepasi kawasan perumahan Taman Rakyat. Selepas ini dia akan menemui jalan yang banyak selekoh dan kiri kanannya hutan tebal, tiada rumah orang. Di waktu siang, sangat cantik pemandangannya, menghijau dan sejuk mata melihat. Sebaliknya pada waktu malam... owh , sungguh menyeramkan! Bayangkan diri anda berada di jalan yang sebegini sorang-sorang. Diiringi suara-suara penghuni hutan yang bersahut-sahutan dan mendayu-dayu. Dengan angin dingin yang menderu menyapa wajah dan gemersik bunyinya.

Aliza tetap meneruskan perjalanan . Takut ke, seram ke, dia terpaksa mengharunginya semua. Demi kerja , demi mencari duit poket sendiri dan demi membantu emaknya. Biar tak banyak duit yang dia hulur untuk Mak Nah , tapi sekurang-kurangnya ada di setiap hujung bulan untuk buat emaknya gembira.

Gelap malam terus diredah . Aliza rasa semacam. Bulu roma di tubuh semuanya berdiri tegak. Hisk... seram pula weh! Kalau ada teman , alangkah bagusnya. Taklah keseorangan dalam hujan renyai-renyai gelap gelita macam ni. Omel Aliza dalam hati. Bulan dan bintang pun tak sudi menemaninya. Semua bersembunyi. Macam kawan-kawan manusia juga, waktu suka , waktu gembira semua datang, di saat susah dan sukar, semua menghilang.

Dari kejauhan , di bawah samar-samar cahaya lampu hadapan motosikalnya, tiba-tiba Aliza ternampak satu kelibat di tepi jalan. Lembaga tersebut sedang menggoyang-goyangkan tangan seperti mahu menahan motosikalnya, menyuruh dia berhenti. Alaah...macam cerita-cerita dalam televisyen tu, orang menahan kenderaan di tepi jalan kerana ingin menumpang.

Motosikal semakin mendekat ke arah lembaga tersebut. Kelihatan seorang mak cik tua yang meminta pertolangan. Tanpa sebarang syak wasangka , Aliza memberhentikan motosikaln, kasihan pada mak cik tu. Dah menggigil kesejukan.

"Nak...boleh tumpangkan mak cik tak?"

Tanya mak cik tersebut dengan suara mahu menangis. Tersentuh hati Aliza.

"Mak cik nak ke mana?"

Soal Aliza balik. Dalam hati bersyukur juga. Tuhan dengar suara hatinya ingin berteman di waktu-waktu begini. Dan sekarang Tuhan tunaikan permintaannya. Sekurang-kurangnya ada kawan dia di jalan yang sunyi , gelap, seram dan menakutkan ini.

"Depan tu saja nak. Mak cik dah tak larat nak jalan kaki, sakit dah lutut mak cik ni. Mak cik minta tolong sangat... " Rayu mak cik tersebut dengan suara yang sayu.

Kasihan sungguh Aliza dengar. Segera dia teringat akan emaknya. Kalau emak dialah macam ni, tengah-tengah malam gelap gelita , berjalan seorang diri , sampai mati pun dia tak akan maafkan diri sendiri . Tugas seorang anak adalah untuk jaga orang tuanya. Amanah Tuhan tu. Seburuk-buruk iman seseorang, dia tetap tak boleh abaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa. Macam manalah anak mak cik ni boleh biarkan emak dia orang merayap-rayap memalam sorang-sorang? Dalam hujan pula tu. Anak jenis apa yang tak peduli hal emak?

"Naiklah motor mak cik. Ija hantar sampai rumah mak cik. Mak cik jangan sedih, jangan risau..."

Belum pun sempat Aliza menghabiskan kata-kata, yang kekononnya untuk menzahirkan rasa simpati akan keadaan si mak cik , orang tua itu dah pun bertenggek di tempat duduk belakang motosikalnya. Terpegun Aliza sekejap.

"Jalan!"

Arah mak cik tu sepatah. Serius suaranya. Tangan mak cik mencengkam kedua-dua bahu Aliza. Kuat. Terasa sakitnya.

Amboih... Dah jadi bos pula mak cik ni. Baru dapat tumpang motosikal. Kalau naik kereta , bagaimana pulak la layaknya . Sempat lagi hati Aliza merengus. Kurang dah sikit darjah simpatinya pada mak cik tersebut.

Aliza mula memacu motosikalnya semula. Disebabkan sudah berteman, dia rasa lebih selesa, walaupun teman yang menumpang ini nampak pelik. Maka Aliza lebih bersemangat untuk memperderaskan kadar kelajuan motosikalnya. Biar mak cik ni cepat sampai. Dah kesejukan dia. Bagi Aliza yang muda beliau ni , okey saja kebasahan dan kedinginan, tetapi bagi orang tua yang sebaya emaknya , mustahil tubuh mereka boleh bertahan. Fikir Aliza. Serentak dengan itu tangan dia terus memulas pemegang motor yang mengawal kelajuan.

Pulas punya pulas, motosikal Aliza tetap begitu juga . Jarum meter menunjukkan yang motosikalnya tak boleh bergerak lebih dari tiga puluh kilometer sejam. Sangat lambat. Tak pernah dia bawa motosikal seperlahan begini. Macam tak mahu bergerak. Sebelum tumpangkan mak cik ni tadi, paling lekehpun , dia pecut tujuh puluh kilometer sejam. Motosikal pula terasa sangat berat untuk berjalan. Semakin lama semain berat. Haru sungguh. Takkanlah mak cik yang kurus ceding ni berat benar? Mengalahkan Kak Pompom, tukang sapu Fresh Mart, yang beratnya seratus kilogram tu.

Aliza bersabar sahaja. Dia terus menjalankan kerjanya. Memulas minyak supaya motosikal bergerak laju, namun hasilnya tidak ada. Perlahan dan semakin perlahan motosikal kesayangannya bergerak. Manakala beban pula dirasakan semakin memberat. Akhirnya tangan Aliza sudah mula menggeletar. Baru dia sedar , mungkin ada sesuatu yang tak kena dengan mak cik tua yang bertenggek di belakangnya. Bau mak cik ini pula busuk dan semakin membusuk. Tak tahan Aliza. Seperti bau bangkai. Menusuk-nusuk ke rongga hidungnya. Tadi , masa mula-mula jumpa , tak ada pun bau-bau ni. Wangi jer, macam bau bunga melur emak di halaman rumah.

"Berhenti!"

Arah mak cik belakang. Suaranya pun sudah bertukar. Jadi kasar dan jantan, sedangkan mula-mula tadi halus dan sungguh mak cik – mak cik.

Shriikkkk...

Aliza apa lagi, tak tunggu dah... terus brek motosikal secara mengejut. Walaupun di situ tak nampak sebiji rumah pun. Hutan tebal belaka , kiri kanan. Aliza tahu la , walaupun malam-malam dia masih tahu di situ tak ada rumah. Hari-hari dia ukur jalan antara pekan Kamunting dan Batu Kurau, jadi dia tahu setiap inci jalan. Pejam mata pun dia tahu dekat mana, kawasan apa.

Mak cik tu terus turun sebaik sahaja motosikal Aliza berhenti. Sambil merengus marah. Entah apa yang dia marah tak tahulah. Apa salah Aliza. Sempat lagi Aliza mengerling kelibat orang tua tersebut. Bukan lagi rupa mak cik- makcik, sebaliknya rupa orang perempuan dengan rambut panjang berterbangan.

Gugup dan menggeletar Aliza. Spontan tangannnya terus pulas minyak . Berdesup motosikal bergerak. Hairan...boleh pula roda ni memecut laju?     

JANGAN GANGGU JODOHKU!Where stories live. Discover now