BAB 4

974 17 0
                                    


SYED KHARMIZI terhenyak di atas sofa ruang tamu rumahnya. Tangannya memicit kepala yang tidak sakit. Buntu. Itulah yang dirasakan pabila menerima buah tangan yang dihantar ke telefon bimbitnya beberapa jam yang lalu. Bahkan mungkin video tersebut telah tular di media sosial. Dengan kapsyen 'Anak bujang Tan Sri Syed Khalid buat maksiat dalam rumah sendiri'.

Telefon bimbit pula tidak putus-putus menerima panggilan daripada sahabat dan saudara-mara terdekat. Sudah tentulah ingin bertanyakan tentang perkara tersebut. Kini doanya hanya satu, agar umi dan walid tidak mengetahui tentang perkara yang sedang heboh diperkatakan.

Dalam masa yang sama, sudah beberapa kali juga dirinya cuba untuk menghubungi Syed Faliq tetapi masih gagal. Atau adik bongsunya itu masih belum mengetahui akan hal tersebut. Mungkin juga sedang enak berselubung di bawah selimut tebal. Maklumlah pagi hari Sabtu begini. Tambahan pula dengan kedinginan cuaca pagi dek hujan mencurah pada lewat malam.

"Apa yang kita nak buat ni, bang?" soal Azrin gusar. Bukan saja nada suara tetapi wajahnya juga turut menggambarkan sebegitu.

Tambah merunsingkan pabila mengenangkan kedua-dua mentuanya yang sedang berada di tanah suci. Tan Sri Syed Khalid seorang yang usahawan yang terkenal dengan perwatakan yang bersederhana, warak serta merendah diri. Sedangkan di sini pula tersebar berita tentang anak bujang mereka. Bahkan telah membuat maksiat di dalam banglo mewah milik pasangan itu. Sejujurnya Azrin tidak betah untuk membayangkan bagaimana penerimaan kedua mentuanya kelak.

Manakala di hadapannya pula terlalu sukar untuk menelah. Sama ada gadis itu sendiri yang membuat onar atau ada insan ketiga yang terlebih 'prihatin'. Apa yang pasti video tersebut menayangkan adik iparnya sedang mengusyar seorang gadis di sebuah restoran. Hingga berjaya dibawa pulang ke rumah sedang tular di media sosial. Sedangkan satu syarikat dan rakan taulan serta saudara-mara mengetahui yang keluarga mentuanya baru saja berangkat ke tanah suci. Saat ini mana mereka sekeluarga mahu meletak muka?

Syed Kharmizi geleng kepala untuk kali tidak terhitung. Pada hematnya si bongsu bukanlah seorang pemuda yang terlalu nakal. Apatah lagi seorang kaki perempuan. Setahu mereka, Syed Faliq sedang dilambung cinta bersama Erdina. Anak gadis seorang tokoh politik. Tetapi sesuatu yang pasti Syed Faliq juga bukanlah seorang malaikat. Jadi apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

Walaupun lewat malam tadi dirinya sendiri yang membawa gadis tersebut pulang ke rumah. Setelah Syed Faliq menghubungi.

Apa yang dirinya tahu gadis tersebut berlindung di dalam rumah keluarganya. Mungkin kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Namun mindanya tidak betah menelah apa yang berlaku sebelum kedatangannya ke situ. Mungkin benar pasangan tersebut telah melakukan perkara yang tidak senonoh. Atau mungkin rakaman video yang terpapar hanya satu salah faham dan berjaya dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Segala perkara berlegar dalam benaknya. Siapakah yang telah merakam video tersebut dan menyebarkannya dengan kapsyen yang sebegitu? Tidak lain dan tidak bukan hanya untuk memburukkan nama baik dan reputasi keluarganya secara peribadi dan juga dalam bidang perniagaan.

Syed Kharmizi merenung gadis yang mendakwa anak saudara kepada pemandu keluarga mereka. Apa yang jelas si gadis juga tampak murung dengan kejadian yang menimpa. Gadis itu tampak lurus dan naif. Sukar untuk dirinya membuat kesimpulan. Namun apa yang pasti perkara telah pun berlaku. Sama ada suka atau pun tidak, si gadis sudah terlibat secara langsung.

"Adik tahukan apa yang dah berlaku semalam?" soal Syed Kharmizi terhadap si gadis yang sedang duduk di atas sofa di sebelah isterinya.

Dia yakin Azrin telah menyampaikan tentang perkara tersebut. Kini Syed Kharmizi inginkan kepastian. Lalu mencapai telefon atas meja kopi. Selepas beberapa saat dia memainkan video yang dimaksudkan. Kemudian diserahkan untuk tatapan si gadis.

MAKMUM YANG TERTINGGALTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon