BAB 3

1K 18 0
                                    


"HEy, girl... Apa yang you buat di depan rumah ni hah?!" soal Syed Faliq sebaik menurunkan cermin tingkap. Kaget. Sebaik tiba di hadapan pintu pagar kelihatan seorang gadis sedang menanti. Malahan sedang enak bersandar dan duduk bersila di tepi tembok. Amat mencurigakan.

Manakala di pihak Izzati pula dirinya tersentak pabila diterjah dengan sebegitu kasar. Mata yang baru terpejam membulat semula. Dia bingkas bangun dan menepuk punggung serta membawa langkah mendekati kereta yang berhenti di hadapannya.

"Maaf encik, boleh saya tumpang tanya? Ada tak orang ni kerja di sini?" Izzati menunjukkan kertas kecil yang bertulis nama dan alamat pak longnya kepada pemuda tersebut.

Dalam masa yang sama tubuhnya ikut membongkok beberapa darjah untuk menyamai aras pemandu yang sedang duduk di dalam kereta sport merah itu. Hanya dalam samar cahaya lampu jalan yang terbias dia melihat ke wajah si pemandu. Dan sebagai remaja bohonglah jika hatinya tidak bergetar saat terpandang seraut wajah di hadapannya. Seorang pemuda datang dalam satu pakej yang lengkap.

"Awak siapa dengan orang ni, ya?" tanya Syed Faliq ragu-ragu.

Pada pengamatannya sungguh pun perempuan itu menutupi sebahagian wajah tetapi gadis tersebut adalah seorang remaja. Dia menelah berdasarkan suara, gaya dan bahasa tubuh. Walaupun gadis itu hanya bertubuh kecil dirinya perlu berwaspada. Manalah tahu gadis itu ada memasang niat yang tidak baik terhadap diri mahupun keluarganya.

"Sebenarnya dia pak long saya," terang Izzati sekadar yang perlu.

Kening Syed Faliq berkerut.

"Dia tahu ke awak nak datang ke sini?" ujarnya seolah-olah tidak percaya.

Jika dilihat pada alamat yang tertera memang tidak salah. Alamatnya tepat. Bahkan orang yang dicari juga tinggal di sini. Cuma Syed Faliq ingin tahu siapa remaja di hadapannya dan apa kaitan dengan orang yang dicari? Kalau setakat mengaku bapa saudara, siapapun boleh mengaku.

"Sebenarnya saya nak tumpang kat rumah pak long sementara nak dapat kerja. Dah banyak kali saya telefon tapi tak dapat, sebab tu saya datang terus ke sini. Betul ke pak long saya duduk di sini? Encik kenal dengan dia?" terang Izzati dengan panjang lebar. Jauh di lubuk hati berasa amat lega.

"Memanglah pak long awak tinggal di sini." Syed Faliq garu kepala yang tidak gatal.

"Tapi dia tak ada sekarang ni... Pergi umrah. Baru pagi tadi berlepas ke Jeddah. Dua minggu lagi baru balik. Awak datang lain kalilah ya?"

Setelah itu tanpa pamit dan salam Syed Faliq menaikkan semula cermin kereta serta memandu masuk ke pekarangan banglo. Alat kawalan jauh pagar ditekan agar pintu pagar kembali tertutup. Membiarkan si gadis berseorangan di luar pagar. Gadis itu bukan urusannya lagi. Pandai-pandailah mahu ke mana sekalipun.

Dirinya, umi dan walid saja yang mendiami banglo ini. Abang Syed Kharmizi pula sudah tinggal berasingan. Manakala di belakang kawasan banglo pula ada dua buah bilik yang sederhana yang luas. Dibina khas untuk pembantu rumah dan pemandu. Di situlah mereka menumpang teduh sejak bertahun lamanya.

Disebabkan keakraban yang terjalin, walid dan umi turut membawa kedua-duanya bersama untuk menunaikan ibadah umrah. Sebagai mengenang jasa mereka kerana telah lama berkhidmat. Malah mereka berdua juga sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Namun sebelum melangkah masuk, Syed Faliq masih lagi memerhatikan gelagat si gadis dari muka pintu. Dari gerak-geri tampak tidak mencurigakan. Hati turut mengiakan yang gadis tersebut tidak berbohong. Namun dirinya seolah-olah dapat mengesan kegelisahan gadis tersebut dari samar lampu jalan. Dan si dia masih setia berdiri di luar pagar.

MAKMUM YANG TERTINGGALWhere stories live. Discover now