BAB 1

1.9K 24 0
                                    


TAMAT sahaja waktu peperiksaan, Izzati terus saja meninggalkan dewan. Tidak berniat untuk menyemak semula jawapan kertas soalan bagi subjek sejarah yang baru sahaja diduduki. Setelah berusaha dan berdoa tawakal sahajalah dengan keputusan yang bakal diterima kelak.

Saat ini apa yang bersarang dalam benaknya hanya mahu segera pulang ke rumah. Tidak sanggup mendengar Kak Aniza membebel.

Kelmarin, sepanjang malam kakak iparnya itu berleter hanya kerana dirinya terlewat pulang. Disebabkan itu juga Izzati lambat untuk menyediakan juadah makan malam. Penyudahnya hanya sindiran pedas yang masuk ke telinga.

Pada Izzati, perkara tersebut terlalu remeh untuk dibesarkan. Namun sikap kakak iparnya mengalahkan orang tua nyanyuk.

"Tak usah menung panjang sangat, exam dah habis Izza. Masa ni la kita nak enjoy. Tengok buku pun dah muak," terjah Fateha dari belakang dan sebelah tangan menepuk ke bahu sahabat baiknya.

Sepantas kilat Izzati berpaling sambil melurut dada. Jelingan tajam menjadi habuan buat Nurul Fateha.

"Kus semangat! Kau ni selalu buat aku terkejut," omel Izzati terhadap rakan sekelas.

Sedangkan Fateha sedang tertawa terkekeh-kekeh. Turut melabuhkan punggung di atas bangku di sebelah sahabatnya. Kalau setakat Izzati yang menjeling. Sedikit pun dia tak hairan kerana itu saja cara sahabatnya menunjukkan tanda protes.

"Malam ni aku nak pergi KL ikut mak cik aku. Ingat nak cari kerja sementara tunggu result keluar." Fateha berpaling beberapa darjah ke sebelah sahabatnya.

"Izza, kau ikut aku sekali ek? Petang esok boleh kita tumpang sekaki pergi Taiping."

Izzati melirik senyuman tawar.

"Terima kasih banyak-banyaklah dengan pelawaan kau tu, Teha. Diri sendiri pun menumpang kat rumah makcik, ada hati lagi nak ajak aku? Tak apa kau sajalah yang pergi. Aku nak cari kerja kat sekitar sini."

Fateha menceber. Menayangkan wajah cemberut. Namun masih enggan mengaku kalah.

"Jomlah temankan aku. Dah dapat kerja nanti kita sewalah rumah lain. Jomlah Izza, kau tak kesiankan aku ke?" asak Fateha. Cuba meraih simpati sahabat baiknya.

"Tak nak. Aku kata tak nak, tetap tak nak! Aku nak duduk kat kampung aje, titik. Jangan pujuk aku lagi." Izzati bertegas. Wajah dipaling ke arah lain. Tidak menafikan memang dirinya cepat berlembut hati dengan sahabat yang seorang ini.

Fateha pula memang first class kalau bab tayang muka seposen.

"Janganlah merajuk, Teha." Izzati menepuk ke bahu Fateha. Saat itu mulut sahabat baiknya sudah seperti muncung itik.

"Bila kau kat KL nanti jangan lupa call aku, ya?"

Walau sampai dalam hati amat terasa kehilangan. Nurul Fateha sahajalah teman rapatnya di sini. Walaupun tidak tinggal sekampung. Namun keakraban yang terjalin membuatkan mereka serasi bersahabat. Fateha teman kala susah dan senang. Bahkan secara tidak langsung Fateha sudah seperti saudaranya sendiri.

Fateha mengemam bibir. Membalas pelukan rakan karibnya. Bahu Izzati digosok perlahan. Mata pula merah menahan tangis.

"Aku harap sangat kau akan ubah fikiran," tuturnya dengan nada yang sayu.

Mana mungkin dirinya merajuk lama dengan Izzati. Rakannya terlalu baik. Tentu ada sebab yang kukuh mengapa Izzati tidak mahu mengikut dirinya ke Kuala Lumpur.

"Aku akan rindukan kau, Izza."

"Aku pun sama Teha."

Sementara menunggu giliran untuk memanjat tangga bas. Fateha berpatah ke belakang semula. Memeluk erat tubuh rakan karibnya untuk sekali lagi. Pilu hati untuk berpisah. Beberapa saat kemudian lambaian kedua insan tersebut saling berbalas.

MAKMUM YANG TERTINGGALWhere stories live. Discover now