"Kalau macam tu, tak apalah. Nanti kita pergi ambil," balas Ilhan.

Encik Ishak hanya mengangguk.

MAJLIS tahlil malam itu sudah selesai.

Ilhan duduk di luar rumah sambil memandang bintang di langit. Damailah kau di sana, Isma. Penderitaan kau sejak dulu sudah berakhir. Ilhan tahu dia bersalah kerana tidak memberitahu lelaki itu akan kematian Ismalina, tapi mahukah dia tahu? Ataupun, dia sudah tak hairan langsung dengan Ismalina?

Ilhan menggeleng kepalanya. Berat sebenarnya apa yang sedang dipikulnya. Ismalina itu isterinya, tapi isteri atas dasar simpati dengan nasib yang menimpa Ismalina.

"Han, aku dah tak tahu nak buat apa lagi," kata Ismalina suatu hari.

Ketika itu dia berada di Sepanyol, melawat ladang buah zaitun. Ladang yang bakal dijual.

Ismalina menangis teresak-esak. Sudahnya, hari itu dia mengambil tiket dan berlepas ke Australia.

"Han."

Ilhan masih diam. Kenangan lampau membuatkan dia kaku di situ.

"Han!"

Kuat suara itu memanggilnya. Ilhan tengadah. Kenangan dengan Ismalina terus hilang. Ilhan menoleh. Ibu mentuanya duduk di depannya.

"Ibu nak berterima kasih kerana benarkan Deeja berada di sini," ucapnya.

"Sama-sama, ibu. Han ada hal penting yang mahu diselesaikan di sana. Han tak janji akan balik bila, tapi Han akan pulang juga ke sini," beritahunya.

"Tak apa, ibu faham. Cukuplah Deeja ada di sini. Pengubat rindu kepada arwah," ujarnya lagi.

Ilhan senyum kepada ibu mentuanya. Ilhan pandang Deeja yang tidak tahu apa-apa. Syukurlah Deeja tidak banyak meragam kerana ketika di Sepanyol pun Deeja tinggal dengan babysitter. Mereka berdua asyik berulang-alik ke hospital. Deeja sudah biasa tanpa mummynya.

"CUBA kau pegang Deeja ni sama. Kau buat Deeja ni macam orang asing," kata Puan Sofiah ketika Istihana baru sampai dari tempat kerja.

"Kalau ibu dah tak boleh nak jaga dia, ibu suruh daddy dia datang ambil," balas Istihana.

Dia tak boleh dekat dengan Deeja kerana ia akan mengingatkannya kepada Ismalina. Ingat apa yang Ismalina pinta buat kali terakhir.

Puan Sofiah mengetap giginya.

"Kau ni kan, Deeja ni anak Isma. Kalau Han bawa dia pergi, macam mana kita nak jumpa dia lagi?" kata Puan Sofiah.

"Ibu pun ikut sekalilah," balas Istihana.

Puan Sofiah menjegil.

Istihana geram. Dia tak ingin dekat dengan Deeja bukan kerana benci. Tapi, dia memang tak boleh nak dekat dengan budak-budak. Tambahan pula itu anak Ismalina. Ismalina kerap hadir apabila dia melihat Deeja. Itu yang menyeksakannya.

Tak pernah berbaik dengan Ismalina tak bermakna dia boleh menerima dengan mudah pemergian Ismalina. Istihana juga sama seperti orang lain, pasti bersedih dengan kehilangan ahli keluarga.

Istihana terus melangkah masuk ke dalam rumah. Kereta ayahnya tiada.

Istihana tiada masa memikirkannya. Kadang-kadang dia terfikir mahu lari saja dari rumah. Kepalanya berserabut. Dadanya ketat. Macam-macam yang difikirkannya.

Telinganya disumbat dengan kapas. Dia yakin walaupun pintu bilik tidak dibuka, jika ibunya mahu membebel kepadanya, ibunya akan membebel saja. Tak kira dia dengar ataupun tidak. Lebih baik dia tutup telinganya kerana nanti kalau terdengar bebelan ibunya, dia akan melawan.

JANGAN TAK BALAS CINTAKUOnde as histórias ganham vida. Descobre agora