BAB 3

835 29 0
                                    

KETUKAN di pintu bilik mengejutkan Istihana. Dia yang sedang memakai celak di mata terkejut bukan kepalang. Siapa lagi kalau bukan ibunya.

"Ada apa?" tanya Istihana. Dia mahu ke tempat kerja. Dia masih memandang cermin.

"Kenapa kau tak keluar lagi?" tanya Puan Sofiah.

"Sekejaplah ibu."

"Cepat tolong aku basuh ayam. Nak masak sambal," arahnya.

Istihana mendengus sambil bangun. Tak fikirkah ibunya itu, dia mahu ke tempat kerja sekarang? Pintu dibuka.

"Isti nak pergi kerja, ibu. Nak tolong macam mana?" kata Istihana yang sudah siap berpakaian.

Takkanlah sudah cantik begini, dia kena membasuh ayam pula.

"Aku tak kira, kau kena tolong sekejap," ujarnya terus berjalan ke dapur.

Lagi sekali dengusan keluar dari mulut Istihana. Tapi, kakinya diayun juga ke dapur.

"Biar ayah yang tolong ibu tu. Isti pergilah kerja." Encik Ishak menyuruh Istihana pergi.

Jika diikutkan Puan Sofiah, langsung tidak membenarkan Istihana ke tempat kerja hari ini.

"Ha, manjakanlah anak tu. Nanti naik atas kepala." Puan Sofiah menjerit dari dapur.

Istihana berjalan ke dapur. Nanti tak pasal-pasal ayahnya terkena tempiasnya. Ayam yang sudah dipotong lapan itu dibawa ke singki. Dua ekor ayam itu sempatlah dia membasuhnya. Selepas selesai, Istihana letakkan besen itu di atas meja makan.

"Dah siap, ibu. Isti nak pergi kerja," beritahu Istihana.

Dia turunkan lengan bajunya. Mencium tangannya sekilas. Bau ayam membuatkan Istihana memuncungkan mulutnya

"Entah-entah tak bersih," kata Puan Sofiah.

"Ibu, kalau tak bersih ibu basuh sekali lagi," ujar Istihana terus keluar dari dapur.

Bukannya nak ucapkan terima kasih. Kalaulah dia tak faham dengan sikap ibunya, sudah lama dia larikan diri dari rumah.

"Tengok tu, tolong aku tak ikhlas!" jerit Puan Sofiah.

Ikhlas ataupun tidak itu hanya Allah yang tahu. Istihana malas mendengar lagi. Mulutnya bukannya boleh sepi macam itu saja. Kadang-kadang, mahu juga dia menjerit kepada ibunya.

Orang lain beli kapas untuk bersihkan muka, dia beli kapas sebab nak sumbat ke dalam telinganya ketika berada di rumah.

Deruan enjin motosikal Istihana sudah lama menjauh, tapi mulut Puan Sofiah masih lagi terkumat-kamit.

"Sudah-sudahlah Piah. Isti tak dengar awak kata apa," tegur Encik Ishak lagi. Dia meletakkan kelapa yang sudah siap dibelah di atas meja.

"Dia tolong Piah tak ikhlas."

"Ikhlaslah tu. Kalau tak, Isti pergi macam tu saja. Kalau abang di tempat dia, sah-sah abang tak tolong dah. Tolong salah, tak tolong lagilah salah," rungut Encik Ishak.

Dia geleng kepala. Kasihan sungguh dengan Istihana.

JIKA boleh, tak mahu langsung Istihana balik ke rumah hari ini. Tak ingin dia bertemu dengan Ismalina. Dia dan Ismalina jarak umur hanya dua tahun saja. Ismalina dan dia bukannya kawan baik meskipun mereka adik-beradik.

Ismalina berperangai macam ibunya. Apa saja tentang dirinya tak kena langsung. Dia masih tidak dapat melupakan bagaimana Ismalina merampas lelaki yang menjadi cinta pertamanya.

JANGAN TAK BALAS CINTAKUWhere stories live. Discover now