BAB 8

830 29 0
                                    

SUARA ibunya menangis mengejutkan Istihana. Dia melompat bangun dari katil. Terlupa bahawa dia tidak bertudung, dia berlari ke bilik sebelah. Muka Ismalina sudah ditutup sepenuhnya. Istihana jatuh terduduk di depan katil.

"Isti, aku takkan cakap dah."

Kata-kata Ismalina pagi tadi terngiang-ngiang di telinganya. Istihana mahu menangis, tapi setitik pun air matanya tidak keluar. Segala-galanya menyesakkan dadanya. Ketat. Istihana menumbuk dadanya, tapi suaranya tetap tiada.

Dia berlari keluar. Melalui pintu dapur Istihana berlari ke belakang rumah. Di belakang rumah dia melepaskan tangisnya. Serasa mahu pengsan mengetahui Ismalina sudah tiada.

Lama Istihana berada di situ. Tidak sedar langsung orang sudah ramai di rumah mereka. Dia masih terduduk di situ.

"Isti," panggil Ilhan.

Sejak dua jam yang lalu Ilhan tahu Istihana tetap di situ. Walaupun menguruskan apa yang orang kampung mahu untuk jenazah Ismalina, Ilhan tetap tidak melepaskan pandangan kepada Istihana. Istihana tidak berganjak dari situ sejak tahu Ismalina sudah meninggal.

"Isti," panggil Ilhan lagi.

Istihana tidak berkutik.

"Isti." Kali ini Ilhan pegang bahu Istihana.

Barulah Istihana bergerak. Dia melarikan bahunya. Istihana tahu Ilhan ada di situ, tapi Istihana tidak menyahut panggilannya.

"Nah, tudung. Dah ramai orang yang datang. Pergilah tukar baju." Ilhan menghulurkan tudung kepada Istihana.

Istihana tidak mengambil tudung tersebut. Sebaliknya dia diam lagi. Ilhan meletakkan tudung di atas riba Istihana.

"Ismalina pergi dengan tenang semalam," beritahu Ilhan.

Dia masih menunggu di situ. Istihana masih tidak memakai tudung tersebut.

"Isti!" Keras sikit panggilan Ilhan.

Istihana mendongak. Matanya yang berkaca bertembung dengan mata jernih Ilhan.

"Pakai tudung dan masuk tukar baju," kata Ilhan lebih lembut sedikit.

Istihana bagaikan baru tersedar daripada mimpi. Tudung di atas ribanya diambil dan disarungkan ke kepalanya. Istihana bangun dan melangkah ke dalam rumah.

Ilhan pandang Istihana sehingga hilang daripada pandangannya.

SEJAK pulang dari kubur, Istihana tidak bercakap langsung. Bebelan ibunya tidak dipedulikan langsung. Bebelan tentang apa pun dia tak tahu. Istihana duduk di atas kerusi, memerhati ayahnya yang sedang melayan Deeja. Sesekali Deeja melambaikan tangannya ke arah Istihana yang berada tidak jauh dari situ.

"Ayah, esok Han kena balik Pulau Pinang. Han terpaksa tinggalkan Deeja di sini. Tak apa ke?" tanya Ilhan.

Dia cukup rasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan Deeja. Tapi, dia terpaksa.

"Deeja ni cucu ayah, Han. Kenapa pula tak boleh duduk sini?" kata Encik Ishak. Senyum memandang Ilhan.

"Terima kasih ayah," ucap Ilhan.

Istihana hanya mendengar saja perbualan antara ayahnya dan Ilhan. Lelaki macam itulah, isteri mati terus tak fikir apa-apa lagi. Kalau perempuan, anak yang didahulukan selepas suami mati. Istihana mengejek dalam hati. Dia benci dengan lelaki yang melepaskan tangan selepas kematian isteri.

"Ayah, malam ni untuk tahlil kita oder saja ya. Han nak pergi cari katering," beritahu Ilhan.

"Eh, tak payahlah. Ayah dah oder dekat Mak Cik Upah tu. Dia memang ambil oder bila-bila masa. Lagipun ibu kamu tu masih lagi bersedih. Rasanya tak daya nak buat apa-apa petang ni," ujar Encik Ishak.

JANGAN TAK BALAS CINTAKUWhere stories live. Discover now