"Kau tolong jaga Deeja ya lepas ni," kata Ismalina.

Istihana melempar kain yang dipegang ke dalam timba. Banyak cantik nak suruh aku jaga anak dia. Dia nak berseronok dengan suami dia saja.

"Kenapa pula? Kau mintalah ibu jaga. Bayar bulan-bulan dekat dia," balas Istihana.

"Kau dengan ibulah jaga Deeja." Ismalina sengih.

"Deeja tu anak saudara kau juga. Takkanlah kau tak boleh sukakan budak-budak?" Ismalina jongketkan keningnya.

"Aku tak suka budak-budak." Istihana ketap gigi.

Tak terlintas langsung dalam hatinya nak jaga anak Ismalina. Laki dia ada, biarlah laki dia yang jaga.

"Patutlah Han cakap kau tak suka budak-budak. Kenapa kau tak suka budak-budak Isti?" tanya Ismalina.

Istihana juih mulut. Mengadu pula si suami Ismalina itu.

"Sebab layanan ibu kepada kita berbeza. Sebab tu aku tak suka budak-budak. Zaman tu buat aku sakit hati. Kau tak ingat apa yang kau buat kat aku dengan cinta pertama aku? Itupun buat aku sakit hati juga," ujarnya.

Ismalina tersentak. Istihana masih teringat peristiwa lama. Kalau boleh, Ismalina ingin putarkan waktu ketika mereka masih berumur belasan tahun. Hanya suka-suka mengganggu Firzan, tak sangka dia terjatuh cinta dengan Firzan. Dan selepas itu, dia mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Australia. Hubungannya dengan Firzan putus di situ saja.

"Isma," panggil Ilhan.

Dia sudah membawa begnya keluar dari rumah. But Range Rovernya dibuka. Begnya diletakkan di dalam but.

Ismalina bangun menghampiri suaminya. Lantas dia memeluk lengan Ilhan.

"Hati-hati," bisik Ismalina.

"Awak pun sama. Jangan lupa makan ubat. Dua hari lagi saya ke sini semula." Ilhan senyum manis di depan Ismalina.

Ismalina menghulurkan tangan kepada Ilhan. Lama dia mencium tangan Ilhan. Ubun-ubun Ismalina dicium Ilhan lama.

"Isti, abang pergi dulu." Ilhan menyapa Istihana.

Istihana tidak memandang Ilhan langsung. Asyik membasuh motosikalnya. Ilhan menanti kalau-kalau Istihana mahu melihatnya.

"Isti, kalau aku mati, kau jadi isteri Han ya," kata Ismalina sambil tersenyum.

Mereka berdua menanti reaksi Istihana.

Istihana melempar kain basah ke dalam timba semula.

"Kau gila ke apa?" jerkah Istihana.

Ismalina ingat kahwin macam main pondok-pondok. Tak ingin dia nak jadi isteri sesiapa pun. Berkahwin tiada dalam kamus hidupnya. Dia tak mahu terjebak dengan mana-mana lelaki pun.

"Aku tak mahu Han kahwin dengan orang lain selain kau," ujar Ismalina. Dia senyum lagi memandang Istihana.

Ilhan tak kata apa.

"Tak ingin aku!" juih Istihana. Gila!

Istihana terus masuk ke dalam rumah.

ISTIHANA menyanyi kecil ketika melangkah masuk ke dalam pejabat. Nivi sudah lama duduk di tempatnya.

"Isti, minggu depan kita tengok filam Tamil lagi ya," ajak Nivi.

"Aku kena tengok jadual kat rumah dulu," balas Istihana.

"Aku berdoa agar kau tak ada kerja." Nivi tergelak-gelak.

Istihana ketawa kecil dengan telatah Nivi. Disebabkan berkawan baik dengan Nivi dan Surya, dia sudah melekat dengan filem-filem Tamil. Tambahan pula filem aksi. Hero yang paling dia suka adalah Vijay dan Surya. Sebab itulah Surya selalu saja perasan dia hero Tamil. Sebab Nivi pun sukakan pelakon Surya.

"Lama ke kakak kau tinggal dengan kau?" tanya Nivi.

"Hmm, aku tak tanya lama mana dia nak tinggal dengan kami. Malaslah aku," ujar Istihana.

"Ayoyo, kau ni. Itu kakak kau kut. Kenapa kau buat tak tahu pula?" tanya Nivi sambil menepuk dahinya.

"Aku dengan dia tak pernah berbaik sejak kecil," kata Istihana.

Nak baik macam mana apabila ibu sendiri yang membezakan mereka berdua.

Nivi menggelengkan kepalanya.

"Surya cakap dia nampak suami kakak kau. Handsome. Macam orang putih," kata Nivi.

"Hmm, dah memang kacukan pun," ujar Istihana.

"Untungnya kakak kau. Anak dia macam orang putih," kata Nivi.

"Nivi, kau tu Cina plus India. Kau tak rasa kau pun untung? Lainlah aku ni, Melayu tulen," ujar Istihana.

Nivi tergelak kecil.

"Kacukan mat salih selalu cantik dan handsome," balas Nivi, masih tak puas lagi memuji kacukan mat salih.

Istihana menggelengkan kepalanya.

Nivi berlalu ke mejanya apabila ramai rakan-rakan sekerja yang lain mula melakukan kerja masing-masing.





JANGAN TAK BALAS CINTAKUWhere stories live. Discover now