Istihana memperlahankan motosikalnya apabila dia ternampak ada tiga buah kereta di depan rumahnya. Dua buah kereta dikenalinya. Hanya yang satu dan mewah itu tidak pernah dia nampak.

Tentu kereta suami Ismalina. Istihana memarkirkan motosikalnya di bawah pokok mangga. Dia berjalan ke belakang rumah. Malas nak masuk campur dengan kebisingan di ruang tamu. Lagipun, Ismalina pun takkan teruja melihat mukanya. Ismalina tak hairan langsung dengan apa yang telah dia lakukan.

Istihana masuk melalui pintu dapur. Dia menuang air oren ke dalam gelas kaca. Tanpa duduk, dia terus meneguk dengan rakus.

"Isti, bila sampai?" Hampir tersembur air di dalam mulutnya apabila ditegur ayahnya.

Istihana lantas berpaling.

"Baru aje ayah." Istihana sengih, namun sengihannya mati apabila muncul seorang lelaki tinggi lampai di belakang ayahnya.

Mata lelaki itu tak lepas memandangnya.

Terkebil-kebil Istihana memandang lelaki tersebut. Suami Ismalina ke? Sekacak itukah suami Ismalina? Tapi, apa nak hairan. Lelaki yang kacak semuanya jadi milik Ismalina. Sama seperti lelaki yang dicintainya dulu. Istihana mengeluh perlahan. Teringat Ismalina, kenangan lampau datang lagi.

"Ayah lupa pula Isti. Nilah suami Isma, Ilhan," kata ayahnya, memperkenalkan mereka.

Takdir sungguh. Nama mereka semua bermula dengan huruf I. Ismalina, Ilhan dan dia sendiri.

Istihana hanya senyum sekilas sebelum minum semula.

"Bilik air kat situ, Han," beritahu Encik Ishak.

Lelaki tinggi dan tegap itu melangkah masuk ke dalam bilik air.

Istihana kerling sekilas. Hmm, tengok rupa dan kereta di luar, lelaki ini memang orang berada. Tengoklah berapa lama lelaki itu akan bertahan tinggal di kampung. Istihana mencebik.

"Kalau ya pun dahaga sangat, kenapa tak duduk dulu?" Encik Ishak duduk.

"Tak sempat, ayah. Isti tak sempat minum kat tempat kerja tadi," ujarnya sambil senyum.

"Tak nak makan?" tanya Encik Ishak.

"Tak naklah ayah. Nantilah Isti makan," balasnya.

"Semua ada kat luar. Jomlah makan sekali," ajak Encik Ishak.

"Isti nak mandi dan rehat sekejap ayah." Istihana tetap menolak.

Lelaki yang bergelar abang iparnya itu keluar dari bilik air. Sekilas Istihana memandang lelaki itu. Lelaki itu keluar dari dapur dan Istihana segera bangun. Dia mahu cepat-cepat masuk ke dalam biliknya.

Tak mahu bersoal jawab dengan ibu saudara yang mulutnya sama seperti ibunya. Tak kuasa dia mahu melayan mereka. Istihana saja yang nampak buruk di mata mereka.

Tiba-tiba lelaki itu berhenti. Nasib baik Istihana sempat berhenti. Jika tidak, sudah tentu dia menyondol belakang lelaki itu. Lelaki itu berpusing dan mata mereka bertatapan sejenak.

Daripada gaya lelaki itu memandangnya, dia mahu bertanyakan sesuatu. Istihana jeling sekilas kepadanya.

Tanpa pamitan, Istihana masuk ke dalam biliknya dan mengunci pintu. Takut ibunya menyerbu masuk ke dalam biliknya. Dia mahu berehat sekejap.

DIA terjaga waktu isyak baru berlalu. Hampir terjerit kerana terlepas waktu solat. Istihana terlupa dia sedang memegang bendera merah sekarang. Dengan tuala yang meliputi kepalanya, Istihana keluar dari biliknya.

"Anak dara apa entah, tidur sejak petang baru bangun."

Satu das ayat daripada ibunya yang berada di dapur. Tanpa mempedulikan bebelan itu, Istihana terus masuk ke dalam bilik air.

"Isti," panggil Ismalina ketika Istihana keluar dari bilik air.

Istihana memandang Ismalina. Terkejut dengan perubahan Ismalina. Rambut berwarna blonde. Tapi, Istihana cepat sedar. Ismalina tinggal di luar negara. Tentulah dia berpenampilan macam orang putih.

"Kau sihat?" tanya Ismalina.

Dia sengih memandang Istihana. Istihana yang tidak menyambut kepulangannya, yang buat tidak tahu dengan kepulangannya.

"Aku sihat." Istihana menjawab.

"Kau dah jumpa anak aku?" tanya Ismalina.

"Belum. Aku balik kerja tadi terus tidur," jawabnya.

"Kau tak nak peluk aku?" tanya Ismalina. Dia sengih memandang Istihana.

Teragak-agak Istihana menghampiri Ismalina. Kekok kerana dia dan Ismalina tidak pernah berpelukan selepas mereka berdua besar. Mereka hanya kerap bertikam lidah saja. Sebab itulah panggilan kakak tidak pernah ada di mulutnya untuk Ismalina.

Akhirnya, buat pertama kali, mereka berpelukan. Ismalina memeluknya dengan kuat. Hanya Istihana saja masih tidak dapat menghadam kenapa Ismalina mahu memeluknya. Ismalina siap bagi pakej usapan di belakangnya.

Ketika meleraikan pelukan, Ilhan datang bersama dengan seorang anak kecil yang Istihana kira berusia setahun atau kurang. Si kecil itu merengek-rengek.

"Dear, baby lapar." Suara garau Ilhan memberitahu sambil berdiri di depan dua beradik itu.

Istihana menjauh untuk memberi ruang kepada suami dan isteri itu bertukar dukungan. Si kecil itu tergelak-gelak ketika nampak ibunya.

"Anak mummy lapar ya," kata Ismalina sambil mengambil si kecil itu.

Istihana terus berlalu selepas memandang si kecil. Comel.

Istihana keluar dari rumah. Dia mahu mengalihkan motosikalnya yang sejak petang tadi berada di bawah pokok mangga. Sebelum dia sempat menyarung selipar, dia terpandangkan motosikalnya sudah ada di bawah porch. Tapi, Istihana ayunkan juga langkah menuju ke motosikalnya. Mahu menguncinya.

"Di kampung pun ada pencuri ke?"

Garau suara itu bertanya, mengejutkan Istihana. Dia hampir-hampir terloncat kerana terkejut. Tak sangka akan ditegur begitu.

"Kat mana-mana pun ada. Kat kampung sekarang bukan macam dulu. Pencuri rasanya lebih ramai di sini," ujar Istihana.

Terkejut kerana lelaki yang berwajah kacukan ini pandai berbahasa Melayu. Lagipun dia tak tahu siapa lelaki itu sebenarnya. Cuma, dia membuat kesimpulan melalui wajahnya saja.

Istihana terus masuk ke dalam rumah. Dinginnya dia melayan abang iparnya, sama dengan cara dia melayan Ismalina.














JANGAN TAK BALAS CINTAKUOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz