BAB 1

3.4K 91 3
                                    

4 tahun lalu...

Genting Highlands, Malaysia.

Dia yakin arahan untuk membatalkan operasi pada malam itu merupakan satu kesilapan. Dia yakin, dia tidak silap. Dia yakin, malam ini dia akan berjaya. Dia masih menunggu.

Pusat kasino terbesar di Malaysia itu bergemerlapan disirami lampu mewah dari candelier kristal cantik yang bergantungan dari siling. Jika ingin menganggar berapa banyak duit yang dilaburkan di situ, lihat sahaja lampu-lampunya. Tidak perlu membilang duit yang diperjudikan di atas meja blackjack ataupun roulette. Tiada satu pun kasino di seluruh dunia yang tidak dihias mewah, lambang kekayaan pemiliknya. Serta lambang kebodohan manusia yang tamak haloba. Jika ingin dihitung juga, satu malam, darab dengan 30 hari? Ia mencecah angka bilion. Wang berterbangan di udara. Semuanya berbau duit.

"A really strong man is one that can overcome his own desire."

Itu prinsip Roman.

Genting Casino itu menjadi tumpuan warga Singapura pada hujung minggu. Warga dari China pula berpusu-pusu datang dengan niat untuk menggandakan wang mereka sambil bercuti. Itu tidak termasuk mereka yang sememangnya tegar berjudi. Target utamanya, bukan mereka. Hanya satu orang. Dan yang satu itu masih belum muncul.

Dari sudut yang agak gelap, sekonyong-konyong dia terlihat sesuatu. Pantas dia bergegas. Betul jangkaannya! Tanpa berfikir panjang lagi, dia mengekori dalam senyap. Langkah dipercepatkan dan tiba-tiba sesuatu yang tidak dijangka telah terjadi. Tanpa berfikir panjang, dia mengejar dan  terus mengejar. Kali ini mereka tidak akan terlepas dari cengkamannya.

Titik fokusnya, mercedes hitam itu.

Kereta dipandu laju. Hujan yang renyai-renyai tadi sudah berguguran lebat. Jalan yang curam serta berselekoh tajam, amat merbahaya. Tetapi dia tidak mampu untuk memperlahankan kenderaan. Mercedes hitam di hadapannya juga semakin laju, hampir-hampir terlanggar penghadang jalan ketika melalui selekoh. Kedua-duanya berkejar-kejaran.

Roman mengejar umpama seekor bloodhound mengejar mangsa. Di fikirannya, mereka akan ditangkap. Malam itu juga! Sudah lama saat itu ditunggu.

Tidak semena-mena, kereta yang dipandu dengan laju tergelincir. Roman hilang kawalan, menyebabkan kereta terbabas, lalu berpusing-pusing beberapa kali sebelum menghentam sesuatu yang keras. Detuman yang kuat menggegarkan otak. Tubuhnya terasa melayang. Telinga bingit berdengung. Seram, sejuk, semua rasa bercampur dalam sekelip masa. Pada saat itu, hanya dua perkara yang terlintas di fikirannya.

Kematian. Dan dua wajah.

Badannya yang sedang melayang di udara tadi, terdampar di atas sesuatu yang keras. Buat seketika, dia rasakan seluruh anggotanya seperti telah lumpuh sebelum rasa menyucuk-nyucuk di keseluruhan badan berserta denyutan di kepala datang menyerang. Kemudian kedengaran satu letupan tidak jauh darinya. Ruang yang gelap terbias cahaya.

Di matanya hanya kelihatan bintik-bintik hitam dan putih. Ia menyukarkannya untuk mentafsirkan keadaan sekeliling. Yang dirasai pada ketika itu hanyalah perasaan takut dan sakit yang silih berganti. Antara sedar dan tidak, perlahan-lahan ruang di sekeliling menjadi hitam. Otaknya juga sembari kosong. Gelap gelita. Titik. 

Semuanya telah terhenti. 

*****

Musim panas, hari ini.

Rom, Itali

"Elle! Belakang sikit! Okey... Okey. Dah! Cun!"

"Cantik. Satu lagi," kata Emma yang sedang cuba mengambil sisi yang sesuai. Terlalu ramai orang di sekeliling mereka. Di belakang Elena, sebahagian besar patung kuda di Fontana di Trevi terlindung oleh susuk tubuh manusia yang ghairah mengambil gambar. Ramai orang berpusu-pusu untuk berswafoto dan juga melempar syiling ke dalam air pancut, sehingga ada yang terlupa adat susila.

UNDERCOVER WIFEWhere stories live. Discover now