82.Rusa Ditombak Jadi Manusia

1.7K 22 0
                                    

Memang tidak pernah lagi siapa pun terserempak usungan mayat diusung lelaki tidak berkepala yang merayau-rayau tatkala tengah malam di kampung mat kanun.Semenjak mereka yang sama solat sunat hajat disurau berasa hairan mat kanun yang tiba-tiba turun semasa orang ramai bacakan yasin,naik semula ke surau setelah mereka semua selesai membaca.
Mat kanun tidak beritahu apa-apa pun mengenai usungan mayat yang dihambatnya hingga perempuan mengerbang rambut melompat keluar dari usungan.Sama macam malim tekih yang sengaja menyimpan rahsia pengalamannya semasa di lubuk sakaping sebelum jejak kaki ke kampung berkenaan.
"Saya ni orang tua tak berguna,ustaz"tutur malim tekih tersengih-sengih sengaja merendah diri.
"Kemenyan kalau tak dibakar,mana nak berbau pak malim"lantas hasan debeng mengerling setelah beritahu mengenai dirinya terserempak babi bersumbi emas itu.
"Kalau kemenyan tak ada,nak bakar macam mana?"ujar malim tekih selanjutnya masih mengakui dia gementar tatkala terserempak usungan mayat bergerak di tengah kegelapan malam diusung lelaki-lelaki tidak berkepala.
"Arwah ayah dulu"sahut ucu sidin pula mencebek bibir lantas menatap muka saya."Satu-satunya orang yang dia hormat,memang abang malim ni"jelasnya apabila kenang ayahnya tidak membantah apa-apa sebaik sahaja malim tekih memutuskan mahu menjemput tok aji ke kampung mereka.
Tersengih-sengih malim tekih apabila diungkit oleh ucu sidin pasal kakaknya ulung siah beratip tidak henti-henti berminggu-minggu.Hinggakan ayahnya pawang lamid sendiri terpaksa mengalah.Jangan cuba menantunya malim tekih berahsia,kerana pawang lamid dapat mengagak latar belakang lelaki itu.
Sebab pawang lamid tidak tersinggung apa-apa sekiranya malim tekih tidak ikut sama berjamu ancak.Apa lagi pawang lamid sendiri tidak akan berjamu ancak kalau tidak didesak orang-orang kampung.Semenjak ayahnya mail tagan lagi memang amalkan berjamu ancak itu sudah pupus tidak diteruskannya.
  Manalah mail tagan mahu berjamu ancak kalau terpaksa bersusah payah meranduk lumpur sawah menyeberang ke kaki bukit.Tidak perlu dia berjamu ancak takat menyeru moyang labang menjelma disisinya.Kalau moyang labang tidak menjelma pun seisi kampung tahu dia boleh cekak kepala buaya ganas di tengah arus diheret naik ke tebing sungai.
Ular tedung selar mematuk mangsa juga tidak boleh melarikan diri menyusup tengah beluakar.Apabila mail tagan bersiul nyaring tidak bertangguh ular berkenaan akan menyerah diri menundukkan kepala di depannya.Harimau garang tengah hutan juga akan menggeletar tidak boleh angkat kepala sebaik sahaja mail tagan tuding jari ke muka binatang tersebut.
Sebab itu mail tagan tidak perlu berjamu ancak kalau takat mahu jampi serapah sesiapa terkejang sakit.Tok ketua mengidap bengkak dibahu hingga sebesar penumbuk dengan mangangkut nanah hanyir,mail tagan tidak mahu berjamu ancak.Dia meminta anak tok ketua ambilkan akar pokok beringin yang terjuntai tidak cecah ke tanah.
Tiga kali dibacakan 6 ayat terawal surah al-qolam,lantas ditepuk kepala lututnya sendiri tigak kali dengan dihembus perlahan pada bengkak dibahu tok ketua.Kemudian dipotongnya akar beringin berkenaan hingga menitik getahnya jatuh ke piring yang ditadah.
Ketika ini tok ketua berkerut dahi seolah-olah menahan kesakita pada bahunya yang membengkak.Sekali gus pula bengkak berkenaan meletus bagaikan bisul mengening-ngening hingga nanah hanyir menitik.Sengaja dia menyuruh tadah nanah yang menitik dari bengkak pada bahu tok ketua dengan tempurung.
  Selepas itu mail tagan suruh sapukan getah akar beringin itu pada lubang yang meletus pada bengkak di bahu tok ketua.Seminggu selepas itu bengkak di bahu tok ketua seruh dengan tidak payah ditusuk dengan mata pisau.Kalau dia boleh ubatkan bengkak di bahu tok ketua dengan tidak payah berjamu ancak,masakan mail tagan mahu mematuhi orang-orang kampung yang mendesaknya supaya berjamu ancak seperti amalan nenek moyangnya berpawang.
Tetapi pawang lamid tidak dapat membantah apa-apa tatkala didesak orang-orang kampung.Kemahirannya tidak sama dengan arwah ayahnya mail tagan yang mampu jinakkan binatang liar ditengah hutan.Dia sekadar berjamu ancak sahaja setelah diberitahu sejak bertahun-tahun dibatu bertimpuh itu moyang labang hilang tidak diketahui kemana.
Disebabkan dia keturunan moyang labang lantas penduduk-penduduk kampung mendesaknya berjamu ancak sama seperti diamalkan semenjak turun temurun mereka berpawang.Tidak semua orang-orang kampung boleh berjamu ancak kalau bukan keturunan moyang labang yang meneroka disitu.
Satu-satunya yang enggan berjamu ancak hanya mail tagan apabila lama dia belajar pondok di patani.Balik sahaja dari patani memang mail tagan berpawang juga,tetapi tidak pernah meneruskan warisan yang ditinggalkan sejak turun temurun.Dia tidak peduli pasal ribut kencang menyerbu ke tengah kampung sampai terburu-buru membakar lada kering dengan garam di atas tunku dapur.
Memang pawang lamid meneruskan amalan ayahnya mail tagan.Apabila didesak orang kampung berjamu ancak,dia sekadar memenuhi kemahuan mereka sahaja.Tetapi tatkala anaknya ulung siah beratip selepas dia berjamu ancak,pawang lamid mengagak tentu tidak memudaratkan apa-apa.
Selagi dia boleh mengawal tentu ulung siah tidak akan mengalami nahas apa-apa yang memudaratkan dirinya.Pawang lamid melihat seolah-olah lelaki berjubah serba kuning didepannya tatkala ulung siah semakin galak beratip.Wajah lelaki berkenaan bersih dengan janggutnya memutih hingga ke paras dada.
Berkali-kali lelaki berjubah kuning yang menjelma itu ingatkan dia supaya tidak berjamu ancak.Tetapi pawang lamid tahu perkara berjamu ancak tidak sama memberi makan didepan berhala.Dia sekadar sediakan pulut kuning dengan telur rebus tiga biji letakkan berhampiran batu bertimpuh.
"Kamu tubuh halus memang tak makan pulut kuning"ujar pawang lamid sebaik saja melihat bayang jelmaan lelaki berjubah kuning didepannya."Tapi aku buat pulut kuning ni,tanda kamu memang menjelma "tegasnya merenung tajam ke arah bayang yang terlenggok-lenggok laksana asap melabun.
Selepas itu siapa pun yang meminta ulung siah ubatkan penyakit yang dihadapi,lembaga berjubah kuning itu tunjukkan ramuan perlu disediakan.Siapa pun tidak melihat lembaga berjubah kuning itu selain daripada pawang lamid.Ketika ini ulung siah seolah-olah tidur didalam lubang telinga lembaga tersebut memerhatikan orang-orang kampung berceratuk di tengah serambi.
Asal sahaja dia cuba bersuara,ulung siah merasakan segalanya tersekat pada kerengkung.Sekali pun jiran-jiran melihat dia beratip tidak henti-henti,tetapi ulung siah sekadar merasakan lelaki berjubah kuning itu yang beratip.Saat ini dia merasakan tubuhnya terlalu kecil hingga tersusup masuk ke dalam lubang telinga lembaga berkenaan.
"Ayah tahu,abang malim pun ada banyak pengalaman"ucu sidin mengerling malim tekih yang mengisar duduk membetulkan sandar belakang ke dinding.
  Malim tekih tertunduk tidak menyahut apa-apa.Masakan dia boleh sembunyikan daripada ucu sidin tatkala mereka berdua ikut sama pawang lamid berburu ke hutan.Tatkala baru sahaja berkahwin dengan saedah,bapa mentuanya sudah mempelawa ke hutan mengendap pelanduk.Serba salah juga malim tekih mahu mengelak setelah ucu sidin juga berkeras mengajaknya ikut sama.
Sengaja pawang lamid menyuruh ucu sidin berjalan di hadapan menggalas senapang patah.Ketika berjalan meranduk kegelapan malam inilah malim tekih terdengar bapa mentuanya bersenar tidur.Memang malim tekih dengar mengenai bapa mentuanya bileh tidur nyenyak tatkala tengah berjalan,tetapi dia tidak pernah terserempak kejadian demikian.
Disebabkan bimbang bapa mentuanya terjelantus kaki pada akar pokok hingga tersungkur,cepat-cepat malim tekih menepuk bahu pawang lamid.Sekali gus pawang lamid menghambur tinggi naik ke atas dahan pokok leban menjulang tinggi.Terpinga-pinga malim tekih apabila melihat bapa mentuanya melompat tinggi ke udara akibat terkejut apabila dia menepuk bahu.
"Kenapa ganggu ayah tengah tidur?"segera adik iparnya ucu sidin ingatkan dia pasal pawang lamid tidak boleh diganggu tatkala tengah tidur nyenyak.
Bukan sahaja sewaktu dihutan,malah di rumah pun sekiranya dia nyenyak tidur jangan sesiapa pun cuba kejutkan.Lainlah kalau isterinya alang sebiyah memang sudah mahir mahu kejutkan dia bangun tidur.Jangan cuba tepuk bahunya sewaktu pawang lamid nyenyak tidur nescaya kakinya akan menyepak tidak bertangguh.
Sekali gus pawang lamid menghambur ke kepala tiang melekap laksana keluang bergayut dibawah dahan rimbun.Sebab itu alang sebiyah akan jentik lantai tiga kali hingga pawang lamid berkalih badan.Tatkala dia berkalih badan pawang lamid tidak tergamang apa-apa.Dia akan membuka mata perlahan lantas terkuap-kuap menutup mulut dengan penumbuk.
"Mana aku tahu ayah macam tu"rungut malim tekih mendongak ayahnya berjalan di dahan pokok apabila disuluh dari bawah.Dia masih bagaikan berjalan ditanah dengan tidak berpaut ke mana-mana.
"Tak boleh sentuh badannya masa dia nyenyak tidur"beritahu ucu sidin cemas apabila ayahnya masih berjalan di dahan pokok berkenaan.
Segera malim tekih menampar banir pokok itu tiga kali dengan membacakan al-fatihah.Kemudian dia hembuskan ke udara perlahan lantas membacakan : Lahu mu'aqibatum minbaini yadaihi wamin kholfihi yahfazunahu min amrillahi.
Apabila malim tekih hentakkan tumit tiga kali ke tanah sekali gus pawang lamid melayang turun ke bawah.
"Apa halnya,malim?"ujar pawang lamid sebaik sahaja kakinya jejak ke tanah.
"Ayah tidur,jadi saya kejutkan"sahut malim tekih tersengih-sengih mengusap muka.
"Hai,mengatuk lawannya tidur"jelas pawang lamid lantas memberi isyarat supaya meneruskan perjalanan.
Malim tekih tidak menyahut apa-apa.Dia terus mengekori ucu sidin yang berjalan di hadapan menggalas senapang patah.Tatkala melalui lorong gelap di tubir bukit tiba-tiba ucu sidin nampak cahaya api bergerak pantas,kemudian hilang sebaik sahaja sampai ke bawah gaung.
Cepat-cepat dia memberitahu ayahnya ,tetapi pawang lamid menegahnya supaya tidak menegur apa-apa.Sudah menjadi pantang larang pawang lamid dia tidak benarkan menegur apa sahaja melintas.Malah kalau terdengar bunyi burung jampuk mendengut pun,pawang lamid tidak mahu sesiapa pun menegurnya.
Biarlah apa pun yang dilihat atau didengar tatkala tengah malam berjalan di hutan tidak disebut-sebut.Sejak dia berpawang memang tidak pernah disebut atau ditegur kalau terdengar bunyi yang aneh.Apa lagi tatkala ternampak cahaya api bergerak pantas bagaikan panah api menerjah sasaran.
Sebaik sahaja api berkenaan menjunam ke bawah gaung,sayup-sayup terdengar jeritan halus perempuan meminta tolong.Tetapi pawang lamid menyuruh terus juga berjalan dengan tidak hiraukan jeritan halus itu.Di tengah hutan demikian manalah ada sesiapa perempuan tersesat hingga menjerit meminta bantuan.
Disebabkan pawang lamid sengaja mendiamkan diri,lantas malim tekih membacakan tiga kali : bissmillahhur rahmannir rahim,kemudia dia hembuskan hingga habis nafas ke arah gaung dengan membacakan : A'uzubillahhi minasyaitonnir rajim.Sekali gus pula dari bawah gaung itu kedengaran elusan angin berdesir seolah-olah membolos pada terowong memanjang.
"Hah,lain yang diburu lain pula yang ditemui"gerutu malim tekih mengertap bibir terus membongkok mencekup pasir di bawah tapak kakinya.
Tidak bertangguh pula malim tekih melontarkan pasir tersebut ke bawah gaung terus membacakan : Ya'lamu mabaina aidihim wama kholfahom wala yuhithona bihi 'ilmam.Semakin kuat dengung elusan seolah-olah membolosi terowong itu hingga terasa mengibas-ngibas pokok belukar tempat mereka tercegat.
"Besar kerja kamu ni,malim"ujar pawang lamid setelah menyedari menantunya tidak peduli apa-apa pasal pantang larang nya tatkala berjalan meranduk hutan ditengah malam demikian.
Malim tekih tidak menyahut.Dia hentakkan tumit tiga kali ke tanah hingga silau cahaya api di bawah gaung berputar naik laksana bola melantun ke udara.Apabila malim tekih mengisar tapak tangan,sekali gus angin bertiup kencang menerjah ke arah mereka.
Ketika berdebap jatuh di depan mereka beban besar bagaikan guni padi berisi padat,segera malim tekih bacakan 11 kali surah al-ikhlas.Di tengah pusaran angin bersama kabus memutih,mereka nampak perempuan rambut mengerbang mengeliat-liat seolah-olah terbangun dari tidur nyenyak.
"Kenapa kau ganggu kami nak berehat"merengek-rengek perempuan rambut mengerbang itu mencemik muka dikelilingi cahaya api lilin."Moyang labang dah campakkan kami ke gaung tu,kenapa nak kacau lagi?"gerutunya tidak puas hati dengan malim tekih yang tercegat di sisi pawang lamid.
"Kami tak ganggu,tak awak yang sengaja nak cari geruh kami"sahut pawang lamid terus menghunus parang dicacakkan ke tanah.
Sebaik sahaja mata parang tercacak ke tanah terjerit halus perempuan rambut mengerbang itu menekup dadanya.Matanya terjojol keluar dengan kilau api memancar laksana bara dihembus.Apabila pawang lamid menghembus ke arahnya,perempuan berkenaan terkekeh-kekeh tertawa.
Sekali gus pula beberapa lembaga lelaki tidak berkepala berkeliling mahu mengawal perempuan rambut menggerbang itu.Pawang lamid membiarkan parangnya tercacak membenam di tanah,sekali pun perempuan itu terkial-kial menekup dadanya.Tetapi ketawanya tetap berdekah-dekah mengejek dalam saat menahan kesakitan seolah-olah dadanya ditusuk mata parang.
"Kamu dah tak tahan lagi,jangan nak pura-pura"lantas malim tekih mengejek perempuan rambut menggerbang itu.
  "Mentang-mentang kamu dari seberang,nak tunjuk pandai ye?"perempuan itu mencebik bibir mengerling api lilin yang menyala di tengah kegelapan malam.
"Malim ni kalau tak berisi dada,tak merantau dia ke sini"sahut pawang lamid sengaja mahu menyakiti hati perempuan berkenaan.
"Takkan dada berisi nak menyusahkan kami pula"ujar perempuan itu menggeliat akibat menahan kesakitan seolah-olah dadanya ditusuk.
Belum sempat perempuan itu memberi isyarat kepada lelaki-lelaki tidak berkepala disisinya supaya lindungkan dirinya,sekali gus hujan turun menimpa tempat mereka berjejak.Serentak dengan itu mereka terjerit-jerit akibat hujan yang menitik panas mendidih laksana air menggelegak didalam kawah terjerang pada api.
Ketika ini malim tekih laungkan azan tujuh kali diikuti dengan membaca surah at-tariq.Kemudia dia membacakan : Huwallahhullazi la ilaha illa huwa 'alimul ghaibi wasy syahadati huwarrahmannur rahim,wa imma yanzaghannaka minasy syatoni nazghon fasta'iz billahhi innahu sami'un alim.
"Cukuplah,jangan baca lagi,malim"terketar-ketar perempuan itu menahan kesakitan akibat kulitnya melecur disimbah hujan yang mendidih bagaikan air menggelegak dalam kawah terjerang.
Lantas perempuan itu beritahu mengenai uda liyah dicampakkan jauh ke dalam setelah seisi kampung tuduh dirinya bersuami sampai tujuh lelaki.Dia terpaksa sembelih suaminya tatkala tengah tidur nyenyak biar dapat sapukan darah ke seluruh badan.Disebabkan uda liyah tidak dikebumikan,lantas dia menuntut diusung ke kubur.
  Tetapi malim tekih tidak peduli pasal uda liyah menuntut diusung ke kubur atau tidak.Perkara yang berlalu bertahun-tahun dulu manalah dia ambil peduli.Sudah tentu syaitan sengaja mahu mengelirukan orang-orang kampung hingga ungkit mengenai uda liyah yang dicampakkan ke dalam gaung.
Lebih baik mereka campakkan perempuan berkenaan ke dalam gaung asal saja tidak mengganggu.Asal sahaja suaminya tidak mencukupi tujuh orang,lantas sahaja dia memikat lelaki lain.Bila-bila lelaki akan melutut ke sisinya setelah diseru tatkala bulan tengah mengambang penuh.
  Manalah malim tekih hiraukan rintihan perempuan yang terketar-ketar di depannya apabila ungkit mengenai orang-orang kampung campakkan uda liyah ke dalam gaung.Biarlah perempuan itu mengaku dirinya diperkosa orang lelaki sewaktu suaminya berburu ke hutan,namun malim tekih terus berdoa bagaikan dia berdepan dengan siluman sewaktu di lubuk sakaping.
Perkara uda liyah mengaku diperkosa beberapa lelaki sebelum dicampakkan ke dalam gaung,perkara sudah lama berlalu.Dia sendiri tidak melihat kejadian tersebut.Tatkala jelmaan perempuan itu terjongol di depannya,sudah tentu bukan lagi uda liyah yang diperkosa.jelmaaan perempuan itu sama juga dengan siluman yang menganggu penduduk-penduduk kampung.
Memang pawang lamid mengakui kejadian menimpa uda liyah itu.Tetapi dia sendiri tidak pasti sangat sama ada perempuan berkenaan dianiaya hingga diperkosa,atau amalkan amalan biar wajah kelihatan cantik seumur hidup.Manalah dia tau sama ada uda liyah bersuami sampai tujuh orang,atau sengaja diperkosa sebelum dicampakkan ke dalam gaung.
Biarlah jelmaan perempuan itu menuduh dirinya diperkosa sewaktu suaminya berburu dihutan.Tiba-tiba sahaja rusa yang ditombak suaminya pateh kibin,bertukar menjadi lelaki bongkok berpakaian serba hitam.Lelaki itu merengek-rengek akibat tombak pateh kibin tertusuk pada rusuk.
Sewaktu rusa berkenaan ditombak inilah beberapa orang lelaki memperkosa uda liyah.Tatkala balik dari berburu pateh kibin diberitahu mengenai kejadian menimpa isterinya.Sebab itu dia berdendam hingga memenggal leher siapa sahaja lelaki yang dilihat pada geluk air sewaktu dia mahu cam siapa yang memperkosa uda liyah.
"Macam-macam cerita mengenai uda liyah"ujar pawang lamid beritahu menantunya malim tekih,setelah jelmaan perempuan rambut mengerbang itu hilang dalam kegelapan malam.
Tatkala rusa yang diburu dapat ditombak rusuk,segera pateh kibin menghunus parang mahu menyembelih.Tetapi rusa berkenaan menjelma menjadi lelaki tua bongkok merengek-rengek.Segera pateh kinbin cabutkan tombak berkenaan.Ditariknya ikat kepala terus dibalut pada luka lelaki tua berkenaan.
Ketika ini lelaki tersebut beritahu mengenai isterinya uda liyah diperkosa beberapa orang pemuda.Dia berikan pateh kibin buntat rusa disebabkan lelaki itu menyelamatkan dirinya.Sebaik sahaja lelaki bongkok berkenaan berikan buntat tersebut terus sahaja dia menghambur ke tengah belukar.Sekali gus pula pateh kibin melihat yang menghantar ke tengah belukar itu rusa yang ditombaknya.
Tidak bertangguh dia balik kerumah,tetapi uda liyah tidak kelihatan di mana-mana.Apabila dia rendam buntat rusa ke dalam geluk,terkejut pateh kibin melihat isterinya diperkosa beberapa orang pemuda.Dia cam semua pemuda yang perkosa isterinya sebelum dicampakkan ke dalam gaung dalam.
Sebab itu pateh kibin berdendam dengan mencari siapa sahaja pemuda yang perkosa isterinya.Dia penggal leher mereka terus dicampakkan ke alur air berhampiran dengan batu bertimpuh.Tetapi siapa pun tidak tahu sangat mengenai kejadian yang berlaku bertahun-tahun silam.
  "Biarkan uda liyah,kerana kita tak tahu pasal dia"tutur malim tekih apabila kenang penjelasan bapa mentuanya pawang lamid.
"Sebab itu arwah ayah dulu tahu"perlahan ucu sidin menguis-nguis hujung tikar dengan telunjuk."Arwah ayah tahu,abang malim memang banyak pengalaman"jelasnya mengangkat muka memandang ke arah saya.
"Ah,kalau bukan bapa mentua puji menantunya,siapa lagi"tersengih-sengih mahu sembunyikan kejadian semasa dia berburu ke hutan bersama pawang lamid dan ucu sidin.
"Begitulah ustaz"ujar ucu sidin apabila ungkit semula kejadian dia terserempak jelmaan perempuan rambut mengerbang tatkala berburu ke hutan.Memang malim tekih tidak berundur setapak pun sebaik sahaja jelmaan itu berbayang-bayang di hadapan mereka.
Lantas ucu sidin menatap muka anak saudaranya mat kanun,setelah diberitahu mengenai perempuan rambut mengerbang didalam usungan mayat.Memang mat kanun jelaskan kepada penduduk-penduduk kampung perkara yang dilihatnya semasa mereka sama-sama membaca yassin dengan saya diatas surau.

Tok Awang Ngah - Berkelahi Dengan Syaitan (Complete)Where stories live. Discover now