Bab 5

1.8K 31 0
                                    

The other me.

Nombor yang tertera pada skrin telefonnya itu didail lagi untuk kesekian kalinya sebelum telefon bimbitnya dilempar ke atas meja. Dia mundar-mandir di hadapan meja kerjanya sebelum bersandar ke tingkap biliknya dengan mata tak lepas menjeling marah ke arah telefon bimbit.

"Kenapa not in service? Sebelum ni elok aje. Dapat aje call cuma tak diangkat," rungutnya. Telefon dicapainya sebelum didail semula. Tak dapat juga! Hampeh!

Lambat-lambat wajahnya yang muram tersengih penuh makna.

"Ahaaa. Gotcha! Dengan menukar nombor, bermakna dia dah tahu yang aku tahu siapa dia, kan? Eh, apa aku cakap ni?"

Hani duduk semula. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepas.

"Okey. Fikir, fikir. Macam mana nak buat? Apa aku patut buat sekarang? Tanya pada Adam nombor baru dia?"

Hani geleng laju berkali-kali.

"Gila kau, Hani! Nanti kau dituduh buang tabiat pula. Tanya nombor telefon orang yang dah tak ada kut! Isy, macam mana ni?"

Bibir bawahnya diketap perlahan sambil mata ligat memandang ke arah sekeliling biliknya mencari kemungkinan yang ada.

"Haaa! Apa susah. Lambat-laun, mesti dia akan contact juga Adam kalau dia ada turun KL, kan? Bijak kau Hani. Bijak!" bebel Hani sambil tersengih sendiri.

Masih dia ingat yang beberapa bulan lepas... Adam ada keluar malam. Katanya nak jumpa kawan dan sebelum tu Hani ada terdengar perbualan Adam dalam telefon. Memang dia yakin sangat dan telinganya sendiri mendengar Adam menyebut nama itu. Kalau ikutkan hati, nak aje Hani ikut diam-diam dari belakang. Masalahnya masa selalu tak mengizinkan. Hana memang jenis tidur malam lewat sebab paginya dok galak bermain dengan tok daddynya, jadi petang dia bantai tidur sampai masa Hani jemput dari rumah umi. Maka malamnya mulalah dia berjaga. Nak memandu berdua dengan Hana pada waktu malam? Itu bukan cadangan yang baik. Memandu waktu siang pun dah macam berperang!

"The other me? Kemain kau, kan?"

Langsung lamunan Hani terhenti bila ada suara menyapa.

"Kau ni kan Lina. Salam mana salam?"

"Helo. Jangankan salam. Doa masuk bilik. Doa sebelum duduk pun aku siap baca tau. Kau aje yang tak sudah dalam dunia sendiri. Waktu kerja pun dok teringat the other me. Romantikus, romancerut bangat! Aku rasa tak lama lagi Hana bakal dapat adiklah kalau gini gayanya."

Hani juling mata ke atas. Malas nak melayan tuduhan tak berasas jiran sebelahnya langsung dia bingkas bangun dan buka peti ais mininya. Tin air Milo dicampak ke arah Lina sebelum Lina menyambutnya dengan penuh bergaya.

"Kau ni macam tahu-tahu aje aku tengah lapaq ayaq maneh! Sebab tu aku sayang kau."

"Tak payah nak sayang sangat. Selain mengganggu masa santai aku, itulah niat kau datang bilik aku ni, kan? Friends with benefit sangat!"

"Well, sekurang-kurangnya aku mengaku yang aku memang pencopet tegar stok minuman kau... Tapi dengan izinlah," balas Lina tak mahu kalah dan seraya itu mereka berdua tertawa sendiri.

"Hana sihat, babe? Lama kau tak bawa dia ke sini."

"Alhamdulillah. Dah bolehlah melangkah dua tiga tapak. Aku bukan tak nak bawa wei, tapi kau tahu ajelah mak cik hujung yang nak kahwin bulan depan tu. Nanti aku bawa aje Hana, terus dapat mesej dekat group. Kawasan larangan untuk bukan staf. Menyampah!"

Lina berhenti dari menyedut air. Matanya buntang.

"Dia ada WhatsApp gitu ke, weh? Aku tak perasan. Berani dia..."

"Aku cakap aje..."

Lina cebir bibir.

"Banyak sangat layan drama kau ni. Sebab tu scene belum tayang pun lagi kau dah teka apa nak jadi."

Hani gelak mengekek. Suka dia tengok muka beria-ia Lina yang kering-kering kena bohong.

"Well, nasib seorang isteri yang bersuamikan doktor. Gitulah. Asyik on call aje. Bosan, oi. Bila anak tidur, aku nak buat apa lagi? Layanlah drama."

Lina angguk aje ala-ala memahami sangat.

"Okeylah tu. Kurang-kurang dia balik rumah juga, kan? Daripada aku ni hah, tak balik langsung dah."

Hani tergamam seketika. Rasa serba salah menerpa. Dia salah cakap ke apa? Adakah apa yang dia cakap tadi termasuk dalam golongan orang yang kurang bersyukur?

"Lina... Sorry..." mohon Hani, perlahan.

"Eh, kenapa ? Tak ada hal la. Dah tertulis, macam tu kisah aku, jodoh aku. Bukan salah kau pun. Relakslah."

Lambat-lambat Hani tarik senyum paksa. Nafas dilepas lega perlahan-lahan. Walaupun masih bersisa trauma dia dengan 'kawan perempuan' tapi sejak ketiadaan BFFnya, nampaknya Lina la saja satu-satunya kawan yang dia ada. Budak-budak bujang dan yang separuh bujang tu? Kawan suruh tapaukan makanan, bolehlah. Tapi hal-hal serius, buat sakit hati aje kalau nak cerita dengan Reydha, Pian semua tu. Danial Lee? Mamat tu...

"Danial tak masuk ofis lagi, eh?" soal Lina tiba-tiba. Macam tau-tau aje nama itu tengah ada dalam fikirannya. Sebagai balasan, Hani cuma jongketkan bahu.

"Lamanya pergi honeymoon! Yalah kan, pilihan keluarga gitu. Fully sponsored!" komen Lina gaya meluat.

"Jealous ke? Dulu, aku suruh kau try dia kau tak nak. Korean Malaysia tu!" Hani memprovokasi. Sengaja nak hangatkan suasana. Alang-alang dah Lina memang tengah meluat, boleh tambah sikit peratusannya.

"Masa tu, aku masih bini orang yang setia. Setakat stok cuci mata dekat ofis, bolehlah. Sekarang..."

"Too late..." ejek Hani seraya bangun dengan tawa berdekah. Pintu almari dibuka perlahan. Fail perjanjian jual beli dengan Purnama Engineering pula ditarik sambil diselak beberapa helaian muka surat. Lepas ni nak solat zuhur. Pukul tiga ada meeting dekat Kajang. Agak-agak sempat tak nak ambil Hana dekat rumah umi sebelum orang keluar pejabat?

"Hani, telefon kau bunyi," tegur Lina.

Hani cuma memandang sekilas sambil mata masih tertumpu pada perincian di dalam fail.

"Siapa? Apa pasal aku tak dengar pun? Silent mode, eh?" soal Hani acuh tak acuh. Tapi bila soalannya tidak berbalas, dia berpaling semula sebelum keningnya berkerut memandang ke arah wajah Lina yang nampak keliru.

"Kau kenapa? Siapa yang call?"

"My Adam," balas Lina lambat-lambat.

Seraya itu senyum Hani langsung terukir. Fail diletak di atas meja sebelum telefon yang masih kaku di tangan Lina ditariknya. Tapi belum sempat lagi mahu disambungkan, panggilan sudah dimatikan.

"Alamak. Dia dah end call. Isy, kau ni. Lain kali kalau Adam yang call, kau angkat ajelah. Macamlah kau tak pernah tolong angkat phone aku," bebel Hani sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Fail dibuka semula sambil sambung menilik.

"Kau dah kenapa?" soal Hani. Seketika kepalanya dipandang ke kanan dan ke kiri.

"Malaikat lalu ke?" soalnya lagi sebelum dia tertawa sendiri. Sumbang.

"Hani..." panggil Lina perlahan.

"Yup!"

"Tadi tu..."

"Tak apalah. Tak ada yang penting sangat pun tu. Kalau penting, dia dah call balik," balas Hani bersahaja.

"Maksud aku, kalau tadi tu Adam..."

Hani angkat muka. Tangan pegun seketika daripada menyelak kertas di hadapannya.

"Siapa the other me?" 

MAMAT DINGIN HATI RINDUWhere stories live. Discover now