TEMUDUGA
(Disiarkan di page Jangan Tutup Lampu, Suria FM pada 31/10/2017)
Ika berjalan laju menghampiri bangunan tinggi itu. Sesekali jam di tangan dikerling. Dia mulai cemas! Gara-gara keretanya rosak pagi itu, dia terpaksa menunggu uber untuk pergi ke tempat temuduga.
Dari jauh, kereta berwarna merah laju menuju ke arahnya. Seperti yang dijangka, itulah uber yang ditunggu sedari tadi.
Pemandu uber yang bertopi hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Hanya sesekali mencuri pandang ke arahnya melalui cermin pandang belakang. Setibanya di destinasi, wang bertukar tangan dan Ika mencicit lari ke tingkat 4. Butang lif ditekan dan gadis itu sabar menunggu.
Ting!
Pintu lif terkuak lebar dan Ika melangkah masuk. Dingin! Aneh! Tiada seorang pun yang ditemuinya di ruang legar bangunan. Malah, ruang penyambut tetamu juga kosong. Tiada pegawai keselamatan yang menunggu malah ruang pakir juga kosong.
Sebaik saja tiba di tingkat 4, Ika bergegas mencari pejabat Perak Kayangan Berhad. Pintu pejabat ditolak dan seketika angin dingin menyapa wajah Ika. Bunyi dentingan loceng tatkala pintu dibuka membuatkan kesemua pekerja di dalam pejabat tersebut memandang Ika.
"Maaf, cik. Ada apa yang saya boleh bantu?" Tanya penyambut tetamu itu ramah. Namun, tiada senyuman yang dipamerkan. Wajah gadis itu ditenung.
"Urmm... saya... saya Syafikah. Datang untuk temuduga. Saya terlewat sikit. Kereta rosak pagi ni," jelas Ika sekali gus menjelaskan situasinya pagi itu.
Borang bertukar tangan. Pen turut diberikan kepada Ika. Gadis itu memerhati sekeliling. Suasana di pejabat itu terlalu sunyi. Rasa kurang selesa mula beraja di hati. Borang yang selesai diisi diberikan semula kepada gadis penyambut tetamu itu. Tertera tanda nama di baju gadis itu, Nozie.
"Cik Syafikah, boleh masuk ke dalam bilik temuduga." Ika mengurut dada. Entah masa bila Nozie yang berada di hadapannya menghilang dan muncul di belakangnya. Dia melamun agaknya sebentar tadi.
Dalam sekelip mata, Nozie menghilang semula dan menunduk di tempat kerjanya tanpa sempat Ika mengucapkan terima kasih.
Bilik temuduga dihampiri dan Ika mengetuk pintu sebelum membukanya.
Gelap!
Hanya cahaya lampu di sisi dinding menerangi bilik gelap itu. Di satu sudut, susuk tubuh persis seorang lelaki yang lengkap berkot memandang tajam ke arahnya! Ika terpempan. Dia mulai ragu-ragu. Hatinya berbelah bahagi.
"Bilik apa ni? Dingin dan gelap!" gumamnya perlahan.
"Masuk!" Bergema bilik dengan suara lelaki berkot itu. Ika melangkah takut-takut.
"Duduk!" Sekali lagi dia bersuara. Ika menurut tanpa bantahan.
"Cik Syafikah... hurmm wangi," ujarnya perlahan. Ika terkesima.
"Encik... sa... saya..." Tergagap-gagap Ika meneruskan bicara. Nafas ditarik panjang dan dihembus perlahan-lahan.
"Cik Syafiqah, awak diterima bekerja! Esok, sila datang awal. Jangan lewat seperti tadi." Berbahang pipi Ika apabila ditegur sebegitu rupa.
"Terima kasih, encik. Saya..."
"Keluar!" Terkejut Ika apabila diherdik secara tiba-tiba.
Sebaik saja tombol pintu hendak dipulas, lampu yang menerangi bilik temuduga itu terpadam. Kelam-kabut Ika membuka pintu. Langkahnya diatur ke meja Nozie. Kosong! Ika memandang sekeliling. Meja Nozie diamati. Berhabuk! Malah debunya agak tebal.
Seawal 8 pagi, Ika tiba di pejabat barunya. Nozie menyambutnya tanpa senyuman di bibir. Usai menunjukkan tempat kerjanya, Nozie kembali ke tempatnya. Seperti biasa, pejabat itu sunyi tanpa deringan telefon, malah jika duit syiling jatuh ke lantai, pasti kedengaran kuat.
Tempat kerjanya yang agak berhabuk dikemaskan. Mujur ada tisu basah di dalam tas tangannya. Bidai tingkap cuba ditarik. Gagal! Meja sebelah dikerling. Teman sepejabat yang masih belum dikenali mendengus kasar!
ESTÁS LEYENDO
TEMUDUGA
TerrorKisah ini disiarkan di FB Page , Jangan Tutup Lampu Suria FM. Karya asli Cik Puan Fifi sepenuhnya.
