"Bah."

Duncan berdiri lalu bergerak menuju ke arah ruang dapur. Uncle Ray cuma memerhati dari arah tempatnya berdiri.

Lelaki separuh baya itu berjalan ke arah sofa lalu melabuhkan punggungnya. Fikirannya masih tertumpu pada kejadian siang tadi. Dia sebenarnya cuba untuk mencari penyelesaian hal tersebut.

Duncan sedang menikmati makan malam apabila tiba-tiba dia merasakan seperti ada sesuatu sedang cuba untuk menghampiri dan memasuki tubuhnya. Pemuda itu lantas menghentikan aktivitinya itu dan segera bersandar pada kerusi. Duncan merasakan tubuhnya bagaikan dimamah satu bahang panas sehingga menyebabkan dia terpaksa keluar rumah lalu duduk bersendirian di ruangan kaki lima.

"Kenapa si Abang Besar tu?" Didie perasan akan kelakuan Duncan yang agak pelik.

Diana baru saja bercadang untuk bangun dan mendapatkan adik lelakinya itu, namun niatnya terhenti apabila mereka semua dikejutkan dengan satu jeritan.

Serentak dengan itu, Uncle Ray sambil diikuti oleh mereka semua segera berlari ke arah luar rumah untuk memastikan keadaan.

"WOOOI!!!"

Duncan menempelak seorang diri. Apa yang mengejutkan, Duncan kini berada di atas atap garaj kereta sambil berdiri. Cahaya lampu luar rumah memudahkan penglihatan mereka.

Aunty Gina bagaikan hendak pitam apabila melihat keadaan luar biasa yang sedang berlaku di depan matanya itu. Didie segera memeluk Diana sambil dibalas oleh kakaknya. Hanya Uncle Ray yang masih gagah berdiri di hadapan mereka sambil membalas renungan Duncan.

"Diana, bawa dorang masuk! Jangan keluar rumah!"

"Kenapa si Dan, Uncle?"

"Kau bawa dulu dorang masuk, Diana! Si Dan sekarang ni bukan diri dia! Kau call ketua kampung sekarang, bagitau ada hal kecemasan! Guna ja telefon Uncle!"

Diana yang masih terpinga-pinga melihat keadaan Duncan yang misteri itu segera menuruti cakap Uncle Ray.

Mata Duncan semakin galak dan membesar. Senyumannya menampakkan gigi dan sekali-sekala menyeringai ke arah Uncle Ray.

"Ssssssssss... kamu keturunan yang patut matiiiiiiiii... ssssssss..."

"Dan! Cuba sedar!" jerit Uncle Ray.

Duncan melompat turun dari tempatnya dan mendarat dengan kemas. Lagaknya seperti seekor orang utan yang liar.

Uncle Ray terundur beberapa langkah ke belakang. Dia agak terkejut dengan tindakan pantas anak saudaranya itu. Dirinya tidak dilengkapi dengan sebarang alat pertahanan diri.

Duncan menyeringai dengan pandangan mata yang sangat tajam. Dia melangkah perlahan-lahan ke arah lelaki separuh baya tersebut.

Diana, Aunty Gina dan Didie yang hanya memerhati dari arah dalam rumah mula berasa cemas melihat keadaan tersebut.

"Diiiii! Kenapa si Dan? Takkan la dia mau kasi cedera Uncle kamu tu?"

Nada kerisauan begitu terserlah dalam suara wanita itu. Air matanya kelihatan bergenang. Dirinya tidak keruan. Terasa bagaikan kakinya melemah, hampir tidak dapat menampung berat badannya.

Didie merangkul Aunty Gina, erat. Dia turut berasa ketakutan dan dalam masa yang sama bagaikan tidak percaya dengan perkara yang sedang berlaku ketika ini.

"Aunty... jangan risau. Uncle Ray tau apa yang dia buat. Sekejap lagi dorang Ketua Kampung datang..."

Diana cuba menenangkan perasaan mereka. Dia sebenarnya turut menggeletar ketika itu. Riak wajah Duncan sangat berbeza. Dia percaya bahawa Duncan sedang diganggu oleh sesuatu.

Sepantas kilat, Duncan meluru ke arah Uncle Ray. Bekas tentera itu terhumban beberapa kaki ke belakang akibat tolakan kuat yang dilakukan oleh Duncan itu.

"RAY!!!"

Spontan, Aunty Gina bergegas keluar lalu berlari mendapatkan suaminya yang sedang mengerang kesakitan di atas tanah.

"AUNTY!!!"

Diana segera mengejar Aunty Gina tanpa menghiraukan keselamatannya sendiri. Didie tercegat di ambang pintu, tidak pasti untuk berbuat apa-apa.

Aunty Gina tiba di samping Uncle Ray. Tiada luka kelihatan di bahagian tubuh lelaki itu namun kelihatan darah sedang mengalir keluar dari hidung dan juga tepi bibirnya. Tidak lama kemudian, Diana tiba sambil memegang lengan Uncle Ray.

Duncan berdiri tepat menghadap mereka. Matanya menyaga, merenung tepat ke arah mereka bertiga. Aunty Gina hanya mampu menangis sambil merangkul erat suami kesayangannya yang sedang menahan sakit itu. Diana pula sesekali cuba membalas renungan Duncan namun dia berasa agak gerun untuk menatap mata adiknya itu.

Duncan menudingkan jari telunjuknya ke arah mereka.

"Ssssssss... keturunan perampas-ssssssssss!!!"

Duncan melompat sambil menghayunkan tangannya untuk menyerang. Tanpa diduga, Diana bangkit berdiri untuk menghalang serangan pemuda tersebut daripada mengenai Uncle Ray dan Aunty Gina.

DUBBBBB!!!

"DIANAAA!!!"

Diana terhumban beberapa kaki dari mereka. Didie yang melihat kejadian tersebut menggigil ketakutan namun digagahi dirinya untuk bergegas menerpa ke arah kakak kesayangannya itu.

"KAK!!!"

Diana langsung tidak sedarkan diri. Dahinya kelihatan biru lebam. Dia terpelanting jatuh tertiarap di atas tanah.

Bertambah deras airmata Aunty Gina. Uncle Ray pula berusaha untuk bangun setelah melihat keadaan Diana yang sudah tidak sedarkan diri itu.

Duncan mendengus. Matanya semakin galak. Bola matanya yang berwarna putih kelihatan memerah. Renungannya kembali tertumpu ke arah Uncle Ray.

Dia melangkah perlahan-lahan menghampiri pasangan separuh baya itu.

"Gina... bawa Didie lari dari sini... pi kamu di rumah jiran paling dekat.. minta bantuan... sebelum yang lebih teruk jadi..." suara Uncle Ray separuh tersekat ketika berkata demikian.

"Saya tidak mau kasi tinggal kau, Ray! Biar apapun yang terjadi. Saya tidak mau kasi tinggal kau!"

Aunty Gina menangis teresak-esak. Uncle Ray menarik nafas panjang, cuba menggagahi dirinya untuk bangun dan meyakinkan isterinya yang dia tidak apa-apa.

"Bawa Didie lari dari sini, Gina... kau tinguk si Diana. Kita tidak boleh diam-diam ja... pi minta bantuan. Duncan sekarang bukan dia sudah tu... balik secepat mungkin... saya cuba bertahan..."

Aunty Gina begitu berat hati. Namun apabila melihatkan keadaan Didie yang sedang merangkul kakaknya yang tidak sedarkan diri itu, naluri seorang ibu untuk melindungi anaknya muncul di dalam sanubari. Wanita itu lantas mengucup dahi suaminya, lalu segera berlari mendapatkan Didie.

Uncle Ray kini berjaya untuk berdiri namun tangannya masih memegang bahagian abdomen yang dihentam oleh Duncan sebentar tadi.

BERSAMBUNG....

THE PHONE OPERATOR - DUNIA KITA BERBEZAWhere stories live. Discover now