Part 13

351 26 0
                                    

MALAM itu, rumah Uncle Ray agak meriah daripada sebelumnya. Kehadiran Diana dan Didie benar-benar menyerikan suasana. Gelagat dan gurau-senda di antara Diana dan adiknya itu sangat menghiburkan hati pasangan separuh baya tersebut.

Mereka berkumpul di bahagian ruang tamu dengan melakukan aktiviti masing-masing sambil berbual. Didie sedang mengupas kulit buah mangga sementara Diana sibuk mengurut bahu Aunty Gina. Sekali-sekala, derai tawa tiga orang kaum hawa itu pecah serentak.

Uncle Ray pula sedang menonton rancangan sukan kegemarannya dan hanya sesekali menyertai perbualan mereka bertiga. Matanya sering mengerling ke arah Duncan yang sedang terlelap di atas sofa.

"Dan. Apa yang sudah jadi sama kau ni..." bisik hati kecil Uncle Ray.

Jam baru menunjukkan pukul 8.20 malam. Ketika sedang asyik meluangkan masa antara satu sama lain, tiba-tiba suasana bertukar menjadi senyap, secara serentak.

Mereka saling berpandangan. Didie perlahan-lahan meletakkan pisau dan buah mangga ke dalam pinggan lalu segera merapatkan badannya pada Diana.

Uncle Ray cuma mengerutkan wajahnya sambil sekali-sekali mendengus nafas serta menggosok hidung.

"Kak... bau betul ni. Macam bau sampah pun ada... bau hanyir darah pun ada..." Didie berbisik kepada Diana.

"Ish... jangan bising. Biasa la tu," Diana seperti sedia maklum bahawa bauan tersebut bukanlah bau biasa.

Aunty Gina memandang suaminya yang kelihatan seperti sedang kumat-kamit membaca sesuatu. Duncan pula masih seperti tadi, tidak bergerak dari posisi tidurnya.

Suasana pada ketika itu agak berbeza daripada sebelumnya. Keadaan begitu sunyi, bunyi cengkerik dan serangga malam langsung tidak kedengaran. Uncle Ray dapat merasakan bulu tengkuknya tiba-tiba berdiri namun dia cuba untuk mengendahkan hal tersebut.

Hampir 10 minit barulah bauan tersebut beransur hilang. Bagaikan ada sesuatu yang sedang singgah dan berlegar-legar seketika sebelum pergi meninggalkan rumah itu.

Ketika keadaan kembali seperti biasa, Diana segera mengambil semula pisau dan buah mangganya lalu meneruskan aktivitinya sebentar tadi. Aunty Gina dan Diana saling berpandangan manakala Uncle Ray kini sedang berdiri untuk menutup tingkap jendela.

"Aunty... macam ada limpas kan..." bisik Diana kepada Aunty Gina.

"Ada la tu... baru ni hari macam ni. Sebelum ini tidak pernah. 'Limpas' ja kali... " balas wanita tersebut.

Duncan kelihatan menggeliat. Perlahan-lahan dia membuka matanya.

"Eh, jam berapa sudah ni?"

Duncan segera duduk. Dia kelihatan sedikit terkejut. Tidak sedar dia terlelap di atas sofa.

"8.30 malam sudah ni Dan," balas Diana.

"Oh. Kenapa tidak kasi bangun saya?" Duncan memperbetulkan posisi duduknya sambil mengusap mukanya dengan kedua belah tangan.

"Sengaja... kau kena berehat banyak," balas Diana lagi.

"Dan, pi makan..." tambah Aunty Gina.

THE PHONE OPERATOR - DUNIA KITA BERBEZANơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ