Bab 13

2.8K 62 0
                                    

MALAM itu, Airina dan Hazizul menginap di hotel bersama Halim dan Salbiah manakala Zainal dan Norli terus pulang ke banglo mereka. Airina berlalu keluar dari bilik mandi. Air sejuk membuatkan tubuhnya terasa segar. Mata Airina jatuh pada katil yang dihiasi kelopak bunga ros. Sekeping kad yang terletak di atas katil menarik matanya.

"We wish you a pleasant stay. Here is our gift for you. Congratulations, Harris and Airina!" Airina membaca ucapan kad itu. Tahu-tahu sahaja tangannya sudah merenyukkan kad tersebut. Geli-geleman rasanya apabila membaca nama Harris.

"Aku tak kahwin dengan dialah," marah Airina sebelum kad itu dibaling ke dalam tong sampah yang tersedia.

Airina teringat Atikah pula. Pada awalnya, Atikah bertanya kalau-kalau Syida mempunyai teman lelaki. Apabila Airina menjawab 'entah', Atikah menceritakan perihal Syida berpelukan dengan seorang lelaki di dalam kereta. Airina berpura-pura terkejut mendengar cerita tersebut sedangkan akalnya dapat menebak identiti lelaki itu dengan mudah iaitu Harris. Lelaki itu tidak menghadiri majlis perkahwinannya tadi, barangkali malu kerana dirinya menjadi 'pengantin lelaki tak jadi'.

"Biarlah. Yang penting semua dah selamat. Abah pun tak kena heart attack, ibu ayah tak kecewa sebab tahu benda sebenarnya, famili kita orang pun tak tanggung malu..." kata Airina sendiri. Kini barulah dia yakin dengan keberkesanan idea Hazizul. Untuk masa ini, Airina yakin dirinya membuat keputusan tepat apabila dia menerima lamaran Hazizul.

"Mana pula Hazizul ni?" tanya Airina apabila menyedari lelaki itu tiada di dalam bilik. Airina keluar dari bilik tidur dan berjalan menuju ke ruang tamu.

Sempat Airina mengagumi classic premier suite ini. Terima kasih kepada Hazizul yang sudah membayarkan segala-galanya kepada Harris, dapatlah Airina merasa tidur di hotel mewah bertaraf lima bintang ini. Harapkan upahnya selaku jurufoto bebas, entah bila agaknya dia berpeluang untuk menikmati kemewahan ini.

"Hazi..." Panggilan Airina terbantut tatkala matanya tertancap pada sekujur tubuh yang sedang berbaring di atas sofa. Dilihatnya Hazizul sudah pun lena di atas sofa itu. Lelaki itu masih belum menyalin bajunya.

"Aku mandi lama sangat ke tadi? Kesiannya..." katanya perlahan.

Airina mengatur langkahnya mendekati Hazizul. Tangannya menepuk bahu Hazizul perlahan.

"Hazizul, bangunlah. Kenapa kau tidur kat sini?"

Hazizul yang tersentak daripada lenanya mencelikkan matanya sebelah. Dia duduk di atas sofa sambil tangannya memisat matanya.

"Kenapa, Airina? Kau nak apa-apa ke? Ada something jadi ke?" Hazizul bertanya kepada Airina. Dia sendiri tidak sedar bila masanya dia terlena di atas sofa itu. Perkara terakhir yang diingatnya adalah dia termenung merenung siling sementara menunggu Airina mandi.

Kepala digeleng sebagai jawapan.

"Kau dah habis mandi ke?" tanya Hazizul walaupun dia sudah mendapat jawapannya. Matanya memandang Airina dari atas ke bawah. Tiba-tiba mulutnya membentuk senyuman nakal. Segar terus matanya apabila muncul idea untuk mengenakan Airina.

"Sebelum ni kau guna towel untuk tutup kepala dan leher kau. Siap pakai seluar pun. Ni selamba pula kau sekadar pakai bathrobe depan aku..."

Merah wajah Airina sebaik mendengarkan itu. Dia tertunduk ke bawah dan barulah dia sedar dia sedang mendedahkan kakinya di depan Hazizul. Mata Airina tertumpu pada bahagian dada pula dan semerta matanya membulat. Automatik tangannya disilang di dada.

Hazizul ketawa besar melihatkan reaksi Airina itu.

"Sorrylah, aku main-main aje. Lagipun kita dah halal pun. And by the way, aku takkan ambil kesempatan kat kau. Jangan risaulah," kata Hazizul selamba. Lelaki itu sudah pun berdiri dan berjalan masuk ke bilik mereka.

Airina mengetap giginya geram apabila menyedari lelaki itu sedang mengusiknya. Langkah turut diatur menuju ke bilik. Hazizul sudah berdiri di depan almari baju. Tangannya menarik keluar baju T berwarna putih lalu dibaling ke atas katil. Hazizul menanggalkan bajunya tanpa mengendahkan Airina yang sedang memandangnya.

"Aik? Kau tak malu pula tengok aku buka baju? Hari tu bukan main terjerit," usik Hazizul lagi.

"Kau memang kena ungkit benda tu, eh?" tukas Airina apabila Hazizul tidak henti-henti mengenakannya.

Hazizul mengangguk laju.

"Bila fikir balik, itulah sebenarnya first night kita sama-sama, kan? Sekadar satu pintu yang pisahkan bilik kita, apalah sangat," ujarnya. Tangan Hazizul mencapai tuala yang sudah dilipat menjadi bentuk swan itu.

"Beria-ia aje lipat cantik-cantik macam ni..." omelnya perlahan.

Kini Airina mencebik pula. Dia malas mahu membalas kata-kata Hazizul. Airina berlalu ke meja solek untuk melakukan rutin hariannya. Bekas krim muka diambil lalu jari telunjuknya mengoles sedikit krim muka tersebut. Airina menggosok krim muka tersebut ke wajahnya dengan lembut.

"Kau tidurlah dulu. Mesti kau penat. Kau tidur atas katil, biar aku tidur atas sofa..." kata Hazizul.

Mendengarkan itu, hati Airina jadi berbelah bahagi. Meski mereka berkahwin bukan atas dasar cinta dan malam ini tidak bererti apa-apa untuk mereka, Airina tidak tergamak membiarkan lelaki yang sudah sah menjadi suaminya itu tidur di atas sofa.

Terbayang pula kesungguhan Hazizul sehari sebelum majlis perkahwinan mereka. Lelaki itulah yang beria-ia menelefon pihak hotel, katering dan butik untuk memastikan majlisnya berjalan dengan lancar. Sebelum ini Norli yang menguruskan semua itu tetapi Norli bertidak lepas tangan setelah mereka mengumumkan mereka mahu berkahwin. Airina teringat Harris pula yang tidak pernah menunjukkan minatnya. Sedangkan cincin pertunangan mereka pun dipilih Norli, berbeza dengan Hazizul yang memilih cincin kahwin mereka. Entahkan gelang Pandora tu pun, Harris suruh orang lain yang beli! Segera Airina usir bayangan Harris.

Bunyi pintu bilik mandi menarik mata Airina ke situ. Hazizul keluar dengan bertuala. Tangannya menggosok rambut yang basah dengan tuala lain pula.

"Cepatnya kau mandi," tegur Airina seakan-akan tidak percaya dengan kepantasan lelaki itu. Rasa-rasanya dia melamun sekejap sahaja. Ataupun aku melamun lama? Airina pandang Hazizul dengan dahi berlapis.

"Aku lelakilah..." jawab Hazizul pendek. Dia berjalan menuju ke katil untuk mengambil baju T yang dikeluarkan tadi lalu disarung ke tubuh. Hazizul berjalan ke meja solek lalu tangannya dipanjangkan untuk menarik seluar pendek paras lutut yang diletakkannya di atas meja tadi.

"Aku nak pakai seluar ni. Tutup mata," kata Hazizul. Sepantas kilat Airina menutup matanya. Tak sampai seminit, lelaki itu sudah bersuara lagi.

"Dah..."

Airina membuka semula matanya. Dilihatnya Hazizul berlalu ke bilik mandi untuk menggantung tuala yang dipakainya tadi. Lambat-lambat mulut Airina memanggil nama lelaki itu.

"Hazizul..."

"Hmmm?"

"Kau tak payahlah tidur atas sofa. Katil tu kan besar. Tidurlah sekali dengan aku..." kata Airina.

Kini giliran Hazizul pula terkebil-kebil sendiri. Adakah Airina sedang mengenakannya? Adakah Airina sedang membalas dendam kepadanya selepas Hazizul terus-terusan mengusiknya tadi?

"Kau tidurlah atas katil. Kesian kau penat. Aku okey aje. Kau pun cakap kau takkan ambil kesempatan kat aku, kan? Aku percayakan kau..." Berhati-hati Airina menuturkan bicaranya. Bimbang tersalah pilih ayat, Hazizul akan melabelnya gatal pula.

Hazizul pandang Airina dengan mata tidak berkedip pula.

"Kau serius ke ni?"

"Seriuslah. Kesian kau. Dahlah kau yang bayar suite ni," kata Airina lagi.

Hazizul angguk. Sememangnya dia sendiri mahukan keselesaan selepas seharian penat melayan tetamu di majlis perkahwinannya. Hazizul mengatur langkahnya. Bukan menuju ke katil tetapi ke arah Airina. Kerusi Airina ditarik sehingga gadis itu menghadap tepat dengannya. Mata Hazizul memandang tepat ke anak mata Airina untuk beberapa saat sebelum bibirnya mendarat di dahi Airina.

"Thanks, Airina. Good night, assalamualaikum..." ucap Hazizul bersama senyuman manisnya sebelum dia berpatah balik ke katil.

Airina terkesima. Salam yang diberi Hazizul hanya mampu dijawab dalam hati. Apa... Tangan Airina menyentuh dahinya pula. Sungguh, perbuatan Hazizul membuatkan dia terkelu!

100 Hari Mengenal CintaWhere stories live. Discover now