Bab 3

3K 60 0
                                    

AIRINA merenung kosong skrin komputer di depannya. Tengkuk yang terasa lenguh diurut perlahan. Sudah hampir empat jam dia menghadap skrin komputer itu untuk melaksanakan tugasnya, mengedit gambar-gambar yang ditangkapnya tadi.

Airina bekerja sebagai jurufoto bebas, tidak terikat dengan mana-mana kedai ataupun syarikat. Atas permintaan Atikah, dia menjadi jurufoto di majlis pertunangan Atikah dan Aiman. Sementara Farah dan Aisyah bergaya sakan dan melawa, Airina pula hanya memakai baju kurung biasa dan sekadar mengenakan gincu. Dalam pada dia mahu menghormati majlis Atikah, Airina juga mahu pastikan pergerakannya tidak terbatas.

Mata Airina kembali tertumpu pada gambar Atikah dan Aiman yang diambilnya tadi. Pasangan berdarah manis itu memandang satu sama lain bersama senyuman lebar mereka. Airina mula menganalisa mata dan gaya tubuh mereka berdua.

"Dia orang betul-betul sukakan antara satu sama lain..." komennya. Bibir Airina turut tersenyum melihat kegembiraan yang terpancar di mata kedua-duanya. Syukurlah rakannya itu sudah berjaya menemui cinta hatinya. Mata Airina tertumpu pada album gambar yang terletak elok di atas mejanya. Di luar sedar, tangannya sudah mencapai album gambar tersebut.

"Majlis Pertunangan Airina dan Harris." Airina membaca perlahan nama album tersebut. Kulit album diselak dan mindanya turut sama menyelak memorinya bertemu dan berkenalan dengan Harris.

"CIK, cik tertinggal envelope ni tadi," sapa seorang lelaki dari belakang.

"Ya Allah, saya betul-betul terlupa. Terima kasih!" kata Airina yang sudah pun tertunduk-tunduk mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu. Sampul berisi beberapa keping gambar yang baru lepas dicetak itu bertukar tangan.

"Nasib baik awak tolong saya. Kalau tak, saya kena print lagi gambar kahwin dia orang ni..."

Lelaki itu mengulum senyumnya.

"Cik ni photographer ke?" tanyanya walaupun dia sudah dapat mengagak jawapan Airina. Apabila Airina mengangguk, dia tersenyum lebar seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"By the way, saya Harris," katanya memperkenalkan diri.

Airina pandang Harris dan tangannya silih berganti sebelum dia mengucapkan maaf. Airina masih menjaga batasnya.

"Sorry," tolaknya sopan. Harris dilihatnya sudah tersengih malu sebelum dia menarik semula tangannya.

"Thanks, Harris. Saya kena pergi dulu. Saya ada appointment lain," kata Airina seraya meminta diri. Baru kaki kanannya mahu mengorak langkah, Harris sudah menahannya dengan berdiri tepat di depannya. Airina pandang Harris dengan dahi berlapis. Mulalah akalnya berfikir benda bukan-bukan. Adakah Harris mempunyai niat jahat kepadanya?

"Saya sebenarnya... Hmmm, sebenarnya dari dalam kedai gambar tadi saya perhatikan cik. Boleh tak kalau saya nak berkenalan dengan cik?" tanya Harris.

Airina terkedu seketika. Adakah lelaki di depannya ini serius?

"Maaflah cik, saya memang jenis straightforward macam ni. Kalau cik tak kesah, boleh kita berkawan?" Harris pandang Airina penuh berharap walaupun dia tahu kemungkinan untuknya ditolak adalah lebih besar.

Lambat-lambat Airina mengukir senyumnya.

"Sorry tapi saya sebenarnya dah bersuami. Saya mintak maaf..." bohong Airina.

Sangkanya itulah kali pertama dan kali terakhir dia bertemu insan bernama Harris itu. Dunia ini besar, mustahil dia akan bertemu Harris sekali lagi.

Seminggu kemudian, Airina menghadiri majlis perkahwinan Haikal dan Dayang. Kali ini dia hadir sebagai tetamu dan bukannya selaku seorang jurufoto. Haikal dikenalinya semasa mereka sama-sama mengambil diploma di UiTM Shah Alam. Majlis perkahwinan Haikal diadakan di sebuah hotel bertaraf lima bintang, sesuai dengan statusnya sebagai anak Tan Sri.

100 Hari Mengenal CintaWhere stories live. Discover now