Dengan keputusan 4A dalam peperiksaan UPSR, aku ditawarkan tempat di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC). Tawaran tersebut tiba di rumah menerusi panggilan telefon. Sewaktu berdering, Mama yang menjawab. Diturutkan hati, memanglah aku belum bersedia. Nak korek telinga sendiri pun tak reti, ada hati hendak tinggal di asrama. Pada Mama juga, aku masih kecil. Apa jua pun, kata putus terletak di tangan Ayah. Big Boss.
Jika Ayah berkeras memaksa suruh pergi juga, aku sudah merancang untuk melarikan diri dari rumah. Cuma destinasi sahaja yang belum sempat difikirkan. Aku sebenarnya bimbang masuk asrama sesudah menonton slot Kisah Benar TV3 (musim pertama). Salah satu episod (kalau tak silap, tajuknya 'Nama Registered') memaparkan kes pelajar dibuli dengan teruk. Aku tidak mahu menerima nasib yang serupa. Mintak simpang!
Mujurlah di saat akhir, Ayah berpendapat Ayer Keroh itu bukannya dekat untuk sesekali datang melawat. Maka, tawaran ke asrama ditolak. Lega aku bukan kepalang. Atas cadangan jiran tetangga serta rakan-rakan sekerja Ayah, aku memohon kemasukan ke Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), sebuah sekolah harian untuk pelajar lelaki.
Meskipun agak jauh letaknya di bandar, pada waktu itu MSAB yang juga dikenali sebagai English College (EC) antara sekolah menengah terbaik di Johor Bahru. Di peringkat nasional pula, nama MSAB kebetulan sedang hangat diperkatakan ekoran kes Douglas Gomez dibelasah di istana tahun lalu (1992). Beliau jurulatih hoki MSAB. Dibelasah gara-gara menyuarakan kritikan. Insiden inilah yang membawa kepada rombakan perlembagaan berkenaan imuniti keluarga diraja.
Payah juga hendak masuk MSAB tanpa 'kabel'. Straight A's UPSR pun tiada jaminan. Permohonan aku akhirnya berjaya setelah beberapa kali melalui proses rayuan. Alhamdulillah. Kalau tidak, terpaksalah cari sekolah lain. Alam persekolahan menengah rendah pun bermula. Terasa kekok mengenakan seluar hijau buat julung kalinya. Aku berazam untuk terus berkaca mata. Tidak perlu sorok-sorok lagi. Tidak perlu risau diejek. Di tempat ini pasti tiada yang mengenaliku. Sekolah baru, semangat baru. Harap-harap begitulah.
Labore et Honore (With Labour and Honour) – Cogan kata maktab
YOU ARE READING
Budak Meja Belakang (Demo)
Non-FictionCatatan perjalanan hidup seorang budak meja belakang menempuh alam persekolahan.
