BAB 11

985 21 0
                                    

"TAK kerja hari ni, Lia?" soal Puan Dahlia ketika melihat Aulia santai berbaring di atas sofa ruang tamu itu. Walaupun si anak selalu pulang ke rumah setiap kali hujung minggu, tetapi adakalanya juga Aulia keluar bekerja.

"Tak. Lagipun malas nak keluar." Bibir menjawab pertanyaan Puan Dahlia itu tetapi mata masih fokus memandang rancangan yang bersiaran di kaca TV.

"Abah mana, mak?" Apabila tersedar kelibat Encik Ibrahim tak kelihatan dari tadi, baru Aulia mendongak memandang si ibu.

"Kawan abah kamu ajak minum," beritahu orang tua itu seraya duduk di hadapan Aulia.

"Mak tak ikut pula?"

"Hesy... Malaslah mak nak ikut. Sikit-sikit cakap pasal ekonomi negara. Sakit kepala mak ni dengar."

Aulia tertawa kecil. Sudah biasa dengan perangai si ayah. Di mana-mana, walaupun di rumah sekalipun, pasti bicara Encik Ibrahim berkisarkan tentang ekonomi. Bukan saja ekonomi negara malah ekonomi dunia. Maklumlah, pensyarah dalam bidang ekonomi, sampai ke rumah atau luar universiti terbawa-bawa.

"Tawaran yang Lia bagi tahu hari tu, dah terima ke belum?" soal Puan Dahlia secara tiba-tiba.

Aulia gigit bibir. Wajah si ibu dilirik sekilas.

"Belum lagi. Lagipun mereka masih dalam perbincangan. Penaja dah ada cuma masih memikirkan bila waktu sesuai untuk melancarkan rancangan tu."

"Lia nak terima atau tak?"

Terdiam Aulia seketika. Memandangkan Brews in Town hanya tinggal beberapa episod saja lagi untuk musim kali ini, membuatkan dia terfikir untuk menerima tawaran rancangan The Toque Blanche itu.

"Mungkin. Lagipun, ni peluang besar untuk Lia lebarkan sayap."

"Mak dengan abah memang tak ada halangan. Lagipun, Lia suka dengan pekerjaan ni. Dhani pun setuju. Jadi, terserah pada Lia untuk terima atau tak."

Lebar senyuman di bibir Aulia. Senang hatinya apabila pekerjaannya mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga.

"Eiman pula kata apa?"

Pudar senyuman di bibir Aulia saat nama Eiman disebut oleh orang tua itu. Selepas Eiman bertanya khabar tempoh hari, lelaki itu kembali menghilangkan diri. Tak semena-mena, dia mengeluh dalam diam.

Dia cuba untuk memahami Eiman tetapi sikap lelaki itu membuatkan dia tertanya-tanya apa sebenarnya masalah yang berlaku di Auckland.

"Lia lupa nak bagi tahu mak yang Eiman terpaksa stay kat Auckland selama tiga tahun."

"Hah?" Terkejut Puan Dahlia. Wajah Aulia dipandang tanpa berkelip.

"Ada masalah keluarga kat sana." Tanpa dipinta, Aulia memberitahu sebabnya.

"Takkanlah sampai tiga tahun?" Wajah orang tua itu berkerut.

Aulia hanya menjongket bahu. Dia sendiri pernah mempertikaikan perkara itu tetapi jawapan yang dia perolehi daripada Benjamin juga sama seperti yang Aidit beritahu padanya.

"Hubungan kamu macam mana?"

"Masih sama. Lia pernah tanya kenapa Eiman terpaksa stay lama kat sana sampai macam tu sekali tapi abang Eiman sendiri kata ada masalah keluarga. Jadi, Lia percayakan mereka. Lia tak kesah menunggu, apa yang penting, Eiman setia dan jujur dengan Lia."

"Tiga tahun tu lama, Lia," keluh Puan Dahlia.

Andai benar Eiman pulang ke Malaysia setelah tiga tahun, usia Aulia juga sudah menginjak ke 29 tahun.

"Tak apalah, mak. Lagipun sekarang ni Lia tak bersedia pun nak kahwin." Malas Aulia hendak memanjangkan cerita tentang Eiman sedangkan dia tahu apa yang ada dalam fikiran Puan Dahlia.

Hanya Itu PintakuWhere stories live. Discover now