BAB 4

4K 87 0
                                    

Sampai di Apartmen Puteri, Hanis menggoyangkan lengan Omar. Mengejut Omar yang tertidur sepanjang perjalanan. Dah rasa dirinya tak ubah seperti driver untuk Omar. Nasib baik lelaki itu nampak masih lagi lemah. Nak marah pun, Hanis tak sampai hati.

"Dah sampailah. Bangun." Kerut Hanis. Memandang Omar yang baru membuka mata.

"Kita dah sampai ke?" Ragu-ragu Omar menyoal. Matanya hanya separuh dibuka.

Hanis menarik nafas panjang. "Dah. Melainkan GPS kat kereta aku ni salah."

Omar melihat ke arah cermin hadapan kereta Hanis. Memerhati kawasan sekeliling sebelum dia keluar dari perut kereta.

"Kau tak nak ikut ke?" soal Omar dengan pintu kereta yang masih belum ditutup.

Kepala Hanis laju menggeleng. Dari ikut Omar, lebih baik dia menunggu di dalam kereta. Bukan dia tahu tujuan Omar datang ke sini pun.

"Aku mungkin lama. Aku nak kena ambil barang aku." Omar masih lagi berdiri sambil memandang Hanis.

"Barang apa? Nak aku tolong angkat ke?" Hanis sudah membuka tali pinggang keledar. Enjin kereta turut dimatikan. Kalau dah lelaki itu masih lagi berdiri di situ, maknanya Omar memang mengharapkan bantuan Hanis.

"Kalau kau tak tolong, aku kena naik dua tiga kalilah." Omar menutup pintu kereta. Dia menunggu Hanis keluar dan mengunci kereta.

Perlahan Hanis mengiringi langkah Omar mendaki tangga Apartmen Puteri. Baru sampai di tingkat tiga, nafas Hanis sudah termengah-mengah. Tak ada lif ke apartmen macam ni? Kenapalah dia terpaksa bersusah payah menapak tangga? Paling penting sekali, kenapa dia bersetuju nak mengangkat barang bersama Omar? Kalau tak tolong tadi, mungkin Hanis dapat tidur dalam kereta.

"Barang apa kau nak ambil ni? Kalau berat, aku rasa... Aku tak larat nak tolong," ucap Hanis seakan-akan sudah berputus asa. Baru naik sampai tingkat tiga, dia dah penat seperti berlari untuk dua pusingan.

"Barang rumah aku. Masa bujang dulu kan aku tinggal sini. Tingkat lima. Roommate aku dah bising minta aku ambil barang-barang aku," jelas Omar. Tenang saja dia mendaki tangga. Mungkin sebab lelaki itu sudah biasa.

Tiba di tingkat lima, Hanis mengekori rapat langkah Omar sehingga berhenti di hadapan pintu. Nafasnya dihela panjang. Dia menunggu sahaja pintu rumah di hadapan mereka dibuka. Omar sudah memberikan salam dan mengetuk pintu untuk beberapa kali. Tapi, masih tiada jawapan. Pintu itu masih tertutup rapat.

"Tak ada orang kut. Mungkin roommate kau dah keluar. Kau dah beritahu dia yang kau nak datang?" Hanis menyoal, bercekak pinggang sambil mengejar nafasnya.

"Aku rasa aku dah beritahu." Omar menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Ketika lelaki itu sibuk menyentuh skrin telefon, pintu rumah di hadapan mereka terbuka kecil. Laju Hanis menepuk bahu Omar. Memanggil Omar yang sibuk membelek telefon.

"Pintu dah buka. Jomlah masuk," ucap Omar sambil menolak pintu di hadapan mereka.

Mula datang curiga dalam hati Hanis. Tak nampak pula orang yang membuka pintu tadi. Selalunya bukan tuan rumah menyambut tetamu yang datang ke? Saling bersalaman dan bertanya khabar. Apatah lagi mereka rakan serumah. Kenapa Hanis tak nampak langsung orang yang membuka pintu di hadapannya? Tiba-tiba saja pintu itu terbuka kecil. Misteri.

Melihat Omar tak kesah dengan apa yang berlaku, Hanis tak mahu menyoal panjang. Biar perasaan curiga itu hilang sendiri. Tak jauh dari langkah Omar, Hanis melangkah masuk ke dalam rumah. Meliar mata Hanis mengamati suasana rumah yang agak gelap. Hanya diterangi cahaya dari skrin TV semata-mata.

"Ada orang lain dengan kau, Omar?"

Hanis melihat lelaki yang duduk di hadapan TV. Baru menghentikan game PlayStation buat sementara waktu. Lelaki berpakaian serba hitam itu merenung Hanis untuk seketika sebelum mengalihkan perhatian ke arah Omar.

LELAKI KHAS UNTUK HANISWhere stories live. Discover now