BAB 2

5.7K 105 1
                                    

Tiba di syarikat penerbitan Suria, Hanis menolak pintu kaca yang berada di hadapannya. Syarikat penerbitan itu tidak sebesar mana. Tak popular seperti syarikat penerbitan lain. Masa Hanis memohon kerja di syarikat itu pun, majikannya serba salah hendak mengambil Hanis. Katanya Hanis terlalu berkelayakanlah... Hanis datang dari keluarga mewahlah... Macam-macam. Tapi, Hanis tolak semua alasan dan sanggup membuktikan yang dia tak kejarkan populariti mahupun gaji. Dia pula yang beria-ia memujuk majikan syarikat itu untuk memberi peluang kepada dirinya. Tampak seperti terdesak sangat.

"Yooo... Omar." Hanis menepuk meja Omar, mahu mengejutkan lelaki berambut kerinting itu. Serta-merta badan Omar terangkat. Mulutnya terus beristighfar.

"Kau ni, Hanis. Bagilah salam dulu. Main sergah, aje. Kalau aku mati terkejut, macam mana?" ulas Omar tidak puas hati. Dadanya digosok berkali-kali. Terkejut benar dengan sergahan Hanis.

"Kalau kau mati terkejut, aku ambil gambar. Boleh jadi highlight untuk paper kita. Seorang lelaki mati terkejut ketika disergah." Hanis menarik kerusi. Meletakkan beg sandang dan kameranya di atas meja.

"Highlight la sangat. Kalau aku mati, siapa yang nak tulis cerita tu?"

"Apek ada... Aku paksalah dia tulis." Hanis menuding ke arah seorang lagi pekerja di syarikat kecil ini. Apek. Bukan berbangsa Cina tapi Melayu tulen. Nama panggilan sahaja yang digelar Apek. Nama sebenar lelaki itu, Taufik. Entah macam mana dapat gelaran Apek, Hanis pun tak tahu.

"Tak ada. Aku tak terlibat dalam ini gambar," celah Apek. Meniru dialog Ahmad Nisfu. Telinganya dengar sahaja namanya disebut.

"Diana mana? Aku tak nampak pun?" soal Hanis selepas memerhatikan meja kosong milik gadis itu. Meja bersebelahan dengan meja Apek.

"Entah. Lambat kut. Cirit-birit," jawab Apek. Hanis ketawa kecil. Memandai saja Apek memberikan alasan.

Hanis merapatkan kerusi ke mejanya. Sambil menunggu skrin komputernya bernyala, Hanis membelek kamera yang ada di atas meja. Sesekali matanya melihat ke arah Omar yang berada di meja sebelah. Lelaki itu leka menaip sesuatu di skrin komputer. Laju Hanis menyorong kerusinya dan mendekati meja Omar. Hendak membaca laporan yang disediakan oleh lelaki itu.

"Ni berita pasal kes cubaan bunuh diri tu ke?" soal Hanis.

Omar hampir meloncat mendengar suara Hanis yang tiba-tiba menyoal di sebelah.

"Kau ni dah tak ada kerja betullah. Terkejut aku, tahu tak?"

"Kau yang lemah semangat, asyik nak terkejut aje. Lepas tu, kau nak salahkan aku." Hanis mencebik. Kali ini dia lebih rapat di meja Omar. Siap menongkat kepala memandang skrin komputer yang berada di meja lelaki itu. Naik tak selesa Omar hendak meneruskan kerja.

"Aku tak boleh buat kerjalah. Kau nak apa ni?"

Hanis mula mengangkat tangan. Cuba berbisik kepada Omar. Mahu menyampaikan sesuatu kepada lelaki itu.

"Woi... Jangan dekat-dekat. Aku masukkan berita kau orang berdua dalam paper." Suara Apek mencelah lagi. Memandang Hanis dan Omar dari tempat kerjanya.

"Buat kerjalah, Apek. Kau tak payah sibuk hal orang." Hanis mengeluh lembut. Dia kembali memandang Omar yang tekun menghadap skrin komputer.

"Omar, aku ada benda nak cakap ni... Tapi, kau jangan terasa pula," ucap Hanis seakan-akan berbisik. Cukup untuk Omar seorang sahaja yang mendengar apa yang Hanis mahu katakan. Bahagian jenayah, Hanis dan Omar yang uruskan. Apek dan Diana pula bahagian lain. Jadi, apa-apa cerita, Hanis akan laporkan kepada Omar dulu.

"Apa dia?"

"Tadi, family aku ada bagi kritikan sikit. Dia cakap berita kau boring. Tak padat dengan info. Kau jangan terasa. Anggaplah kritikan membina." Hanis menepuk bahu kanan Omar. Kalau tak ada kritikan, kita takkan tahu kelemahan kita sendiri. Selalunya kelemahan diri kita, orang lain yang nampak. Memandangkan Hanis mahukan syarikat ini terus bersaing, dia perlu beritahu kelemahan yang ada. Walaupun kritikan itu menyakitkan hati Omar sekalipun.

LELAKI KHAS UNTUK HANISWhere stories live. Discover now