BAB 3

4.6K 83 0
                                    

Leka menyikat rambut, Hanis menarik laci di hadapannya. Kotak cincin yang berada di dalam laci, dikeluarkan. Dibuka untuk tatapan matanya buat seketika.

"Kak Hanis!"

Tergopoh-gapah Hanis meletakkan kotak cincin itu semula ke dalam laci. Dia mengalihkan pandangan ke arah pintu biliknya yang sudah terbuka luas. Hanna sudah berdiri di muka pintu. Termengah-mengah nafasnya seperti nafas kuda.

"Kenapa terjah masuk macam tu? Ada apa?" marah Hanis. Terkejut dengan kedatangan Hanna masih belum hilang.

"Pasal semalam tu..."

Hanis berkerut. "Kenapa dengan semalam?"

"Pasal Fendi. Akak jangan beritahu papa dengan mama pula. Rahsia."

"Kenapa nak rahsia pula? Bukan ada apa-apa pun. Kita cuma pergi makan dengan dia, kan?"

"Memanglah. Tapi selagi Hanna tak ada apa-apa hubungan dengan dia, akak tak payah beritahu mama dengan papa. Rahsiakan dulu," pinta Hanna. Dia melangkah masuk ke dalam bilik Hanis dan berdiri di sebelah kakaknya itu.

"Maknanya, Hanna ada rancanganlah ni? Rancangan nak tackle dia?" Hanis meletakkan sikat di atas laci meja. Dia mengeluarkan stoking dan duduk di hujung katil.

"Ada. Tapi, akak kena janji. Rahsiakan dulu daripada sesiapa."

"Sesiapa tu termasuk abang ke?"

Hanna dan Hanis menoleh ke arah Helmi yang berdiri sambil membetulkan tali leher di muka pintu.

"Abang ni..." Hanna menarik Helmi dan menutup rapat pintu bilik Hanis.

"Sekarang, abang pun kena janji. Jangan beritahu mama dengan papa."

Helmi duduk di hujung katil Hanis.

"Hanna betul nak bercinta dengan budak tu ke?"

"Budak tu? Dia ada namalah, abang. Nama dia Fendi." Hanna membetulkan.

"Ah, whatever his name... Betul ke Hanna nak bercinta dengan dia?" Helmi menyoal sekali lagi. Tali lehernya sudah diikat kemas. Dia mahu masuk ke biliknya semula. Tadi, cadangnya mahu mengintai perbualan mereka berdua memandangkan bilik Hanis berada di sebelah biliknya. Tak tahu pula Hanna nak menariknya masuk dan menjadikan Helmi sebagai salah seorang tebusan.

"Hanna sukakan dia. Kenapa abang tanya macam tu?"

"Abang tak sukakan dia. That's why." Hanis mencelah. Dia berdiri dan mendapatkan beg sandangnya.

"Sebab dia bukan anak Datuk ke? Macam abang bangkitkan isu ni masa akak bertunang dulu?"

Hanis berhenti mengemas begnya. Dia terus memandang ke arah Hanna dan Helmi yang saling berpandangan antara satu sama lain.

"Be careful dengan apa yang Hanna cakap. Jangan bangkitkan perkara yang dah lepas. Abang tak nak dengar. Lagi satu, keadaan Hanna berbeza dengan Hanis." Helmi mula berdiri. Hanna terdiam tidak bersuara.

"Jangan risau. Abang tak halang Hanna nak bersama dengan sesiapa pun," ucap Helmi lagi dan melangkah keluar dari bilik.

Hanna terduduk di hujung katil. Akhirnya perbualan ini bertukar menjadi satu pertengkaran kecil pula. Sebab mulutnya, Helmi marah. Sebab mulutnya, Hanis terasa. Semua ini sebab mulutnya.

"Kak Hanis, sorry. Hanna tak ada niat nak cakap pasal..."

"Akak nak turun bawah. Akak tak nak dengar apa-apa." Hanis mengambil beg sandang dan kameranya. Meluru dia keluar dari biliknya sendiri.

Terganggu mood Hanis pagi ini. Bab isu tunang memang Hanis tak boleh dengar. Apatah lagi dibangkitkan oleh Hanna. Rasa macam nak marah kepada gadis itu. Nak marah sebab tak ada perasaan lain yang tinggal pada tunangnya selain perasaan sedih. Hanis dah pernah suarakan kepada keluarganya agar isu ini tidak dibangkitkan lagi supaya Hanis boleh terus hidup tanpa memikirkan tentang isu tunangnya lagi. Tapi, hari ini Hanna bangkitkan juga. Tepat ketika Hanis teringin untuk melihat cincin tunangnya.

LELAKI KHAS UNTUK HANISWhere stories live. Discover now