BAB 11

4.7K 92 1
                                    

SUDAH lama dia tidak berbasikal. Disorongnya basikal itu keluar dari bilik stor. Berdebu sedikit. Irfad mengambil kain, mengelap dan mengibas basikal itu berkali-kali. Sudah hampir pukul enam, matahari sudah mahu merebahkan diri. Masa begilah paling sesuai untuk mengambil angin. Entah apa yang merasuknya hari ini, dia mengamuk di IDUM. Mengamuk pada Aflah yang tidak tahu apa-apa. Dia menunggang basikal itu perlahan-lahan, menyusuri jalan kecil di bawah payung pepohon kelapa. Laut yang membiru membuatnya tenang. Membuat dia menjadi manusia lebih tenteram. Panggilan telefon daripada Saifuddin pagi tadi buat dia tak keruan. Katanya sewaktu enak menjamu selera di Pizza Hut, Nadya datang menegur. Irfad melajukan kayuhan. Rambutnya diikat kemas sedikit terbuai dengan tiupan bayu yang lembut berdesir. Suara kanak-kanak mandi-manda di tepian pantai membuat dia menghentikan kayuhan. Basikalnya disandarkan pada sepohon pokok ru yang tinggi melangit. Dia menyandar pada pohon itu, mengeluarkan sebatang rokok dari tepi telinga. Dikepitnya rokok itu dibibir lalu dinyalakan. Tangannya menekan punat telefon tangan.

"Yo bro, apahal?"

"Assalamualaikum,"ucap Irfad.

Suara Saifuddin ketawa dari corong telefon menyentuh telinga. "Sori bro, waalaikumussalam. Aku bukan apa, terkejut kau call aku ni. Ada apa,bro?"

Irfad menarik nafas. Semahunya dia tidak mahu bertanya apa-apa, namun dia mahu tahu. Dia ingin tahu. "Tadi masa kau jumpa Nadya, dia dengan siapa?"

Terdiam sebentar Saifuddin di talian sana. "Dia seorang diri je,bro."

"Suami dia?" Pedih mahu menyebut gelaran itu. Sepatutnya dia yang menjadi suami Nadya. Dia yang mempunyai anak-anak seperti yang sedang bergelak ketawa di tepi pantai.

"Aku tak nampak pula,bro. Kalau dia tunggu kat luar, aku tak tahulah pula. Tapi kalau tak silap aku, she's alone."

Irfad memandang laut. "Tak apalah, susahkan kau aje,Din. Terima kasih layan call aku ni."

Saifuddin ketawa. "For you my man, aku buat apa saja,"guraunya.

Irfad mematikan panggilan. Dia menekup telefon tangan itu ke muka. Diketuknya telefon itu berkali-kali. Matanya terpejam. Wajah Nadya yang manis mula menguasai fikiran. Melayang-layang, melambai-lambai. Suara gadis itu kembali berbisik kata sayang, kata cinta dan rindu. Dadanya sesak dengan perasaan. Mahu dia menjerit, namun dia masih waras.

Nadya.

Kenapa sekarang gadis itu wujud kembali di muka bumi? Sudah bertahun menyepi, kenapa sekarang mahu dia muncul kembali. Irfad menyedut rokok itu dalam-dalam. Aku bencikan kau,Nadya. I hate you with all my blood! Aku benci semua perempuan.

Pergi jauh-jauh!

Sudah lama azan Isyak berkumandang, namun banglo keluarganya terasa sedikit sunyi. Maghrib tadi walid dan umminya sudah ke masjid. Sewaktu makan malam, Aflah tiada di meja makan. Mungkin gadis itu masih marah padanya. Lantaklah. Kalau gadis itu rela berlapar,biarkan. Dia menuruni tangga, mahu menonton televisyen. Sanggam yang galak membelit di kaki dikuisnya minta ke tepi. Tatkala membuka pintu depan, baru dia tersedar kereta Audi milik Aflah tiada. Pergi shoppingkah? Tak mungkin. Imah masih bercuti, hanya dengan Imah gadis itu suka ke mana-mana. Irfad menutup daun pintu, kembali berbaring di sofa.

Sanggam kembali mengiau. Meminta diisi perutnya.

Dia mendengus kecil. Jadi kucing lagi senang. Minta makan, orang sediakan. Kenyang, tidur dan main. Jadi manusia, segala macam benda perlu difikirkan. Matanya kembali terpacak pada skrin televisyen. Entah apa cerita yang ditayangkan, dia bukannya ambil tahu sangat. Kalau cerita seram atau komedi, boleh dia layan. Kalau yang melalak-lalak,baik dia buka kartun. Mataya berat, suara dari televisyen kian mendayu ditelinganya. Irfad menarik nafas dalam-dalam.

Sudi Jadi Isteri Saya?Where stories live. Discover now