HAZ
Baju yang comot dan compang-camping menyelimuti tubuh setiap gelandangan termasuk Lia. Rambut yang serabai ditambah lagi dengan wajah agak kotor membuatkan manusia-manusia yang selamat dari arus inflasi tegar memandang jijik kepada setiap gelandangan. Tanpa mereka-mereka ini sedar bahawa gelandangan juga merupakan manusia yang mengimpikan kejayaan dan mungkin mereka ingin sesuatu yang boleh membuatkan hidup mereka lebih tenang daripada manusia-manusia ini, yang hidup mereka dikongkong oleh waktu dan peraturan. Ya... mungkin.
Kotak-kotak terpakai dijadikan alas sebagai tempat untuk merehatkan badan. Berbumbungkan jambatan, Lia mampu lena tidur tanpa masalah dunia. Tanpa memikirkan sikap manusia-manusia yang memandang rupa dan kerakusan manusia dalam semua hal. Terik matahari menyilaukan matanya. Mimpi indah berlalu dengan pancaran matahari yang menyilaukan umpama mahu memberikan satu sinar baharu dalam hidupnya.
Perlahan-lahan dia bangkit dan mendekati sungai di bawah jambatan yang menjadi bumbung tempatnya beradu. Matanya memerhati keseluruhan kawasan tersebut. Pagi-pagi lagi, kawasan ini sudah dihias bingit dan kesibukan warga kota untuk menjalankan rutin yang boleh memberi tekanan. Bangun awal pagi, turun kerja pada masa yang sama hati dan nyawa masih mahu berehat.
Dia berpaling ke kiri. Ada sebuah kotak besar yang di dalamnya kelihatan seperti plastik hitam dikerumuni lalat. Naluri seorang pengemis menggila dengan mendekati kotak besar itu. Satu harapan mula menyinari pagi seorang gelandangan. Kotak besar itu dibuka untuk memudahkan dia melihat kandungan di dalamnya. Bau hamis tiba-tiba menerpa hidungnya. Dia tidak peduli. Nalurinya kuat ingin membuka plastik tersebut. Dibiarkan bau hamis melegari rongga hidungnya. Apabila plastik itu terbuka sedikit, tompok-tompok merah kelihatan. Semakin diselak, bau hamis itu semakin merasuk diri Lia. Akhirnya, dia terundur ke belakang setelah melihat anggota tubuh badan manusia dipenuhi tompok-tompok darah memenuhi ruang plastik hitam itu. Tangan ditindih dengan kaki. Kepala yang hampir-hampir pecah kelihatan di sebelah letaknya kaki, terlindung sedikit dari tangan. Dada Lia berombak deras. Plastik itu mengandungi anggota badan manusia!
***
Seorang lelaki mebuka mata perlahan-lahan lalu melihat-lihat suasana bilik. Kepalanya masih terasa berpusing-pusing. Badannya lemah. Dia merasakan seluruh badannya dilekatkan di atas tilam. Apabila dia cuba untuk menggerakkan tangan, tangannya tidak mampu bergerak. Ternyata, kedua tangannya diikat dengan rantai di kepala katil. Kakinya pula diikat di hujung katil. Manakala badannya dicengkam sesuatu yang berbilah-bilah. Keadaannya sekarang separuh bogel. Dia melihat ke sisi. Kelihatan seorang perempuan memandang sinis kepadanya.
"Kau dah sedar, Zam," senyuman sinis dihadiahkan.
"Apa yang kau dah buat dengan aku ni?" otak lelaki yang dipanggil Zam cuba merungkaikan keadaan yang membingungkan. Dia dirantai separuh bogel dan seorang wanita kini berada di sisinya!
"Shh... Jangan terlalu banyak bergerak, Zam." Jarinya dilentokkan ke seluruh tubuh lelaki yang terbaring itu. Zam meronta-ronta sebagai isyarat ingin dilepaskan. "Kenapa? Bukankah awak suka kalau saya buat macam ni?" suara berintonasi lembut dituturkan.
"Kau dah gila! Apa kau nak buat dengan aku ni?" zam cuba untuk melawan. Perempuan itu memandang dengan sebuah senyuman yang sinis. Perempuan itu toleh ke kiri. Tangan kanannya mencapai tukul yang berada di meja sebelahnya. Kepala tukul itu dilentokkan di tapak tangannya secara perlahan. Kemudian, matanya tajam menerkam mata lelaki bernama Zam itu. "Kau nak buat apa ni, Haz?" belum sempat Zam bersuara, perempuan yang dipanggil Haz itu menghayunkan tukul itu lengan lelaki itu.
"Arhhhh!" jeritan itu menyelimuti suasana yang tadinya sunyi. Sekali lagi tukul itu dihayun ke arah tangan Zam. Jeritan seorang lelaki berkumandang lagi. Perempuan yang bernama Haz bergerak sedikit dari kedudukan tadi. Nafas lelaki itu turun naik, menahan kesakitan apabila tukul dipukul kuat ke arah tangannya. Mata dipejam. Gigi diketap kuat. Belum sempat dia menarik nafas lega, satu pukulan singgah di bahagian paha pula. Jeritan bergema di kerongkong suaranya. Sekali lagi jeritan menerjah suasana bilik itu apabila tukul dihayun semula ke tempat yang sama. Sakit!
YOU ARE READING
HaZ
Mystery / ThrillerDendam. Karma. Percayalah bumi ni bulat je. Kalau kau buat jahat kat orang, satu hari nanti kau akan dapat balasannya. . Ini bukan cerita SAW, tapi ini cerita dendam kematian. Suka tengok filem SAW boleh cuba Haz.
