Bab 14

1.1K 18 1
                                    

FIKIRAN Hannan larut dibawa angin galau. Terbang ke langit resah yang padat disaluti awan gelisah. Melayang tanpa hala ditiup desir buncah. Seluruh diri kini dibalut jaring kekhuatiran yang terbit dari segunung kesakitan yang masih menyala baranya. Khuatir jika sakit yang pernah ditanggung dahulu akan kembali menimpa satu-satunya permata hati.

Mama terlalu sayangkan Abid, sayang. Mama tak punya siapa-siapa lagi di dalam dunia ini. Hanya Abid yang mama ada. Ada desir sebak yang terbit dari rongga. Tubuh yang berdiri di jendela dengan dua tangan memaut antara satu sama lain masih tegak tanpa rasa. Tanpa roh. Redup mata hanya menelan segala yang terhidang di depan mata.

Dari tingkap bilik pejabat di tingkat 33 Menara EO, Hannan memerhati langit biru Kuala Lumpur yang dilitupi awan nan memutih seolah-olah melakar kembali bait-bait pertanyaan Abid malam kelmarin. Bait-bait kata yang terus bermain di dalam kepala tanpa belas. Sesak rengkung nafas dibuatnya. Mengapa harus dia kembali semula ke daerah yang tidak ingin dijejaki lagi itu?

Musim berdarah yang penuh sengsara dan luka itu tidak ingin diulangi lagi. Jauh sekali mahu ditoleh semula. Air mata pengharapan sudah lama kering. Jambatan penantian sudah lama runtuh bila hatinya mengucap lafaz selamat tinggal untuk segala yang pernah dilalui dahulu. Sumpah yang terpateri di ujana hatinya yang luluh dan hancur dicincang suatu waktu dulu tidak sewenangnya mahu dipadamkan dari lipatan sejarah pilu hidup. Jiwa yang parah dicincang lumat dek perbuatan jua kata-kata kejam Haniff dan Tengku Bonda takkan mungkin mampu dia lontar jauh-jauh di laut kemaafan walaupun nanti akan didatangi dengan gunung keampunan.

Dia hanya manusia biasa. Manusia biasa yang punya rasa... Punya jiwa... Punya hati. Dia bukan malaikat. Bukan. Hembus nafas berat dilepaskan sedikit demi sedikit. Dua tapak tangan meraup wajah. Lama berpaut. Ya Allah, hamba-Mu ini belum mampu lagi untuk melepaskan semua itu. Ampunkanlah hamba-Mu ini, Ya Allah. Perlahan-lahan dua tapak tangan dijatuhkan. Mata kembali menyusuri deretan kereta yang membelah jalan utama ke pusat bandar.

Izz Arman hanya berdiri di muka pintu. Berdiri tanpa suara. Berdiri menjadi pemerhati sejak tadi. Memerhati sesusuk tubuh yang tenggelam dalam rawang fikiran yang entah ke mana. Namun dia pasti ia bersangkutan dengan apa yang diluahkan Hannan kepadanya kelmarin. Izz tahu Hannan dalam dilema. Antara dua persimpangan. Antara lafaz janji yang terpateri dalam jiwa dengan kemanusiaan rasa yang masih kukuh dalam naluri seorang wanita bergelar mama ini. Demi hati seorang Abid, Hannan benar-benar terpanar tak terkata. Demi jiwa seorang Abid, Hannan goyah menggenggam sumpah.

Biar tidak keseluruhan kisah silam dan sejarah pahit itu diceritakan kepadanya, Izz tahu berat matanya yang menjadi saksi, berat lagi jiwa penuh selirat luka bersalut dendam Hannan yang menanggung. Dia hanya mampu menyalurkan semangat agar Hannan tetap teguh berdepan dengan apa yang sedang dihadapinya.

Hannan lepas desir nafas seraya memusingkan tubuh, mahu kembali semula melabuhkan lelah rasa yang memaut fikiran ke perut kerusi yang setia menanti. Saat melangkah, mata terimbas pandang ke arah sesusuk tubuh yang sedang takzim berdiri di muka pintu. Liur rasa tersekat. Entah sudah berapa lama Izz di situ, dia sendiri tidak pasti. Empat biji bebola mata saling berpandangan. Izz Arman mendahului huluran sejalur senyum. Hannan membalas manis. Dua tubuh saling melangkah ke depan.

"Dah lama you berdiri kat pintu bilik I?"

Senyum kecil meniti di ulas delima milik Izz Arman.

"I tak sempat kerling kat jam. Rasanya kalau tengok pun, jarum dia tak mahu gerak."

Hannan ketawa kecil. Mata Izz Arman yang melontar tatap cekap ditangkap maknanya. Udara bisu mengambil seketika. Hannan gumam nafas sesaat.

"Izz..."

"Hmmm?"

"I dah beritahu Abid." Hannan buka bicara. Akuan dari bibir terluncur akhirnya.

"Haniff?"

Tika Itu... Inai Masih MerahWhere stories live. Discover now