Bab 4

1.3K 19 0
                                    

PINTU bilik ditarik perlahan. Disumbat anak kunci ke lohong mulut kecil yang menanti penuh setia. Diputar sebelum ditarik semula anak kunci.

"Kita perlu berbincang, Hannan. I ada perkara yang nak beritahu you. Perkara yang begitu penting."

Kepala menggeleng bersama desir nafas perlahan yang terhumban. Untuk apa lagi semua tu, Haniff? Dah tak guna. Bisik hati buat Hannan kembali tersedar. Istighfar terluncur. Gangguan Haniff yang makin kerap muncul dalam hidup kebelakangan ini buat Hannan benar-benar separuh gila! Hidup dirasakan huru-hara dek gangguan lelaki yang tak faham bahasa itu. Dilontarkan anak kunci ke dalam mulut Burberry rona rembia yang sedia ternganga. Sandang Burberry di bahu diperkemaskan. Tubuh dipusingkan. Mata menjelajah ke ruang kerja di hadapan yang masih bernyawa dengan suara-suara staf. Langkah kaki dibuka. Tenang. Beberapa staf yang menegur dibalas mesra. Diteruskan langkah pintu keluar dari Jabatan Kewangan. Perut lif dituju. Kepala teringat mahu singgah ke Jabatan Pemasaran. Mahu berbual sebentar dengan Suria. Perut lif yang ternganga dilolos masuk. Butang ke tingkat 11 ditekan.

Kaki singgah ke meja Suria yang tunduk memandang IBM di depan. Langsung tidak menyedari kehadiran Hannan.

"Khusyuknya you, Su."

Kepala Suria terangkat. Senyum kecil terbentuk dari bibir yang sudah hilang warnanya. Mata indah Hannan ditatap.

"Proposal buah hati you la ni, Cik Hannan Zahirah oi. Esok dia balik dari New York. Siap dah tembak reminder e-mail kat I petang tadi cakap benda ni mesti ada atas meja dia pagi esok. Dia tu memang gila kerja, kan? Macam mana la you boleh sangkut dengan dia? Dia tiup apa kat you, Hannan? Jom la kongsi dengan I. Dia tak ada ni, bolehlah kita kutuk dia, kan? Kalau dia ada, I lebih rela terjun gaung daripada kena mengadap dia, Hannan. Bos I yang terhangat dan handsome maut tu kalau dia meletup, Pinatubo pun surrender. Tapi... Dia tu boleh dihangatkan dengan orang depan I ni aje. Sah dia surrender awal-awal. Kau orang ni elok benar. Sorang hangat, sorang menghangatkan. Aduhai... Aku yang tengok ni rentung dibuatnya."

Suria ketawa lepas. Ketawa Hannan pecah sama. Tahu benar dengan sikap gila-gila Suria yang suka mengusik dia dan Izz Arman Khair sejak dahulu.

"Okeylah, I ingat nak borak kejap dengan you. Tapi tengok you sibuk ni, kensel la. Takut juga karang kerja yang bos you suruh tu tak siap, I pula nanti masuk saham kena marah dengan dia sebab ganggu manager kesayangan dia ni buat kerja."

"Hesy. Dia mana boleh marah you, Hannan. Kerat jari la. You kan bakal bantal peluk dia yang menghangatkan. Gila apa dia nak marah you. Kena terajang dari katil nanti baru dia tau."

Pecah ketawa Hannan. Suria ikut ketawa. Hannan toleh Tag Heuer di pergelangan kiri.

"Okeylah, Su. Got to go. Nanti hero I kat rumah merajuk mama dia balik lambat. Dah la dia baru baik dari demam." Hannan buka langkah. Bahu Suria dielus lembut.

Suria angguk. Tangan Hannan ditepuk. Balas.

"Okey. Jumpa esok, madam. Jaga diri. You tu darah manis. Orang darah manis ni angin pun suka nak dekat. Dapat tempias. Boleh tiup angin berbaur manis kat serata alam. Akan manis-manis semua yang hirup angin tu nanti. Termasuklah aku. Aduhai indahnya bercinta, kan?"

Hannan geleng dengan senyum manis yang terjuring di bibir. Kalau berlama-lama lagi, teruklah kena sakat dengan pengurus pemasaran yang satu ini. Tangan diangkat.

"Bye, Su. Jumpa esok."

Hala kaki sudah mencecah pintu keluar. Jari runcing menekan butang lif. Perut lif yang ternganga dihampir. Tubuh terbenam.

Kaki yang melangkah keluar dari perut lif terus dibawa ke kawasan parkir yang terbentang luas di depan mata. Kunci kereta dari Burberry diseluk keluar.

Tika Itu... Inai Masih MerahWhere stories live. Discover now