Bab 10

1.3K 15 1
                                    

KENAPA you datang kembali dalam hidup I, Haniff? Kenapa?! Pergilah, Haniff. Pergi! You dah cukup sakitkan hati I, Haniff. Tolonglah, pergi.

Kenapa harus mereka dipertemukan lagi? Untuk apa? Hannan tidak ingin langsung mereka dipertemukan dan dia tidak sedikit pun terkilan jika sehingga nafas akhirnya mereka tidak dipertemukan semula. Sekuman pun tidak akan ada rasa kesal yang singgah dalam hati. Cukuplah sejarah paling pilu yang pernah tercatat dalam memori hidup. Semua yang terakam dahulu tidak akan terpadam hingga nafasnya bercerai daripada tubuh. Takkan!

Segala deritanya dahulu tidak mungkin mampu dibayar walau dengan nyawa lelaki itu sekalipun! Jiwa Hannan pernah mati suatu waktu dahulu. Mati dibunuh dengan begitu kejam oleh lelaki bernama Haniff Mirza. Dan jiwa seorang Hannan yang mati suatu waktu dahulu terkubur tanpa nisan. Hannan sudah terlalu banyak menghitung bilah-bilah derita yang ditusuk tanpa belas ihsan ke dalam jiwanya. Menjadi saksi diri kala hatinya dicincang lumat tanpa sedikitpun simpati. Dirinya yang teraniaya oleh dendam manusia ego yang berhati syaitan dan tanpa perbicaraan dihumban keluar dari ikatan perkahwinan dengan cara yang begitu hina.

Tiada langsung ruang untuknya membela diri. Dan lelaki itu... Lelaki yang Hannan cinta suatu waktu dahulu dengan sepenuh raga dan jiwa. Melebihi cintanya kepada yang lain di muka bumi ni telah mengecewakannya. Lelaki yang dia agung-agungkan selama kasih dan cinta bersemi dalam jiwa telah menyakitinya.

Lelaki itu... Lelaki yang sepatutnya menjadi benteng mempertahankan maruahnya kala diinjak-injak tanpa pembelaan, tega benar menjatuhkan hukuman paling berat buat seorang isteri yang tak berdaya. Lelaki itu tega benar menghumban ke laut kebencian segala pengorbanannya selama ini. Sampai hati you, Haniff. Sampai sungguh hati you. Ada bening hangat yang menyapa kolam mata. Bibir diketap.

Kenangan paling perit dalam hidup gagal lagi diusir untuk kesekian kalinya. Segala rentet peristiwa itu kembali bertandang. Menyusup masuk di dalam setiap liang jiwanya yang masih berdarah. Mencarik-carik. Melapah layar fikiran. Menari deras di ruang pandangan. Mata Hannan berbalam-balam. Perlahan-lahan satu per satu wajah kembali. Berlegar-legar mengisi ruang minda.

Mata yang melekat pada kelopaknya terbuka kecil kala pipi terasa ditampar bertalu-talu. Perit. Dalam himpitan rasa di dalam kepala yang memberat bak dihempap bongkah bata, Hannan lihat susuk tubuh suaminya sedang berdiri di depan mata dengan wajah yang cukup lain sekali. Di sisi suaminya berdiri bonda yang mempamer wajah membuntang. Seakan-akan mahu menelan Hannan hidup-hidup. Kelopak mata dipicing. Wajah bonda dipandang bersama fikiran yang keliru.

Kenapa pula bonda tiba-tiba ada di dalam bilik tidur mereka ini? Ada apa ni? Apa yang telah berlaku? Hannan cuba bangun dalam kepayahan tubuh yang dirasakan sakitnya bagai terhumban kasar ke gaung yang dalam. Dan saat diangkat selimut yang membalut tubuh, Hannan terkesima. Pantas ditarik selimut hingga ke leher. Akal pantas berputar mencari jawapan.

Bagaimana boleh dia tidur dalam keadaan tanpa seurat benang begini? Tak mungkin! Dia tidak pernah tidur dalam keadaan tidak berpakaian. Tidak pernah. Mana perginya pakaian tidur yang membalut tubuhnya malam tadi? Tangan menekan pelipis. Kuat. Kepala makin berat. Cuba mengingati. Terakhir yang dia ingat, dia minum kopi selepas makan malam bersama bonda. Ya. Itu yang terakhir singgah dan berlegar-legar dalam kotak memori. Bonda memang lain sekali malam tadi. Melayannya dengan baik benar. Berbual-bual mesra. Bertanya macam-macam dengan Hannan. Dan usai minum kopi yang disediakan bonda, Hannan memang tidak ingat apa-apa. Tidak tahu bila dia masuk ke dalam bilik.

Atau, adakah dia dibawa masuk ke dalam bilik oleh bonda? Kepala digeleng dengan mata yang terpicing kecil. Sungguh dia tidak ingat apa-apa tentang hal itu hingga dia boleh tidur dalam keadaan begini. Mata dibawa singgah ke mata Haniff yang mencerlung. Tajam merenung. Tatapan yang membuatkan Hannan tertanya-tanya. Haniff tidak pernah sekalipun memandangnya dengan pandangan yang sebegini.

Tika Itu... Inai Masih MerahWhere stories live. Discover now